Sering kali kita dapati terdapat sedikit kekeliruan di antara serangan jantung dan serangan strok. Ini mungkin disebabkan kedua-dua situasi boleh menyebabkan seseorang hilang paras kesedaran.
Untuk maklumat yang lebih tepat, strok merupakan sejenis masalah saraf di mana seseorang mengalami hilang paras kesedaran secara tiba-tiba dalam tempoh 24 jam atau lebih, dan boleh menyebabkan kematian.
Menurut laporan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2017, kejadian serangan strok merupakan pembunuh ketiga tertinggi di Malaysia dengan peratusan sebanyak 7.1 peratus (Clinical Practice Guidelines, Management of Ischaemic Stroke, 2020).
Secara umum, strok dikelaskan kepada tiga kategori:
1. Transient Ischemic Attack (berlaku dalam tempoh 24 jam)
2. Strok ischemia (penyumbatan plak kolesterol atau darah)
3. Strok hemorrhagic (strok berdarah)
Faktor risiko dan gejala strok
Individu dengan tekanan darah tinggi, kencing manis, dyslipidemia (kolesterol dan lemak tinggi), obesiti serta merokok mempunyai risiko tinggi untuk mendapat strok.
Berikut ialah akronim bagi mengingati gejala strok:
B – Balance: Hilang keseimbangan badan
E – Eye: Penglihatan kabur
F – Face: Lemah separuh saraf muak
A – Arm: Lengan atau kaki menjadi lemah
S – Speech: Sukar bertutur
T – Time: Segera hubungi 999
Jika anda berhadapan dengan individu yang mengalami gejala strok seperti di atas, segera bawa ke Jabatan Kecemasan kerana tindakan pantas (2-3 jam selepas serangan) boleh menyelamatkan organ otak dan individu tersebut.
Tip jagaan pesakit strok
Prioriti jagaan bergantung kepada darjah keterukan gejala yang dialami oleh pesakit strok tersebut.
Ada pesakit yang memerlukan pemantauan berterusan daripada ahli keluarga atau penjaga (caregiver) disebabkan pergerakan yang terhad. Manakala, sesetengah pesakit boleh berdikari dengan bantuan minima oleh penjaga.
Bagi pesakit yang tidak mampu bergerak (confine to bed), tindakan yang boleh dilakukan oleh penjaga adalah seperti berikut:
1. Pastikan baringan ditukar ke posisi berbeza setiap dua jam sekali untuk melancarkan pengaliran darah
2. Gunakan tilam berudara (ripple mattress) untuk mengurangkan kejadian kudis tekanan
3. Jaga kebersihan tiub pemakanan dengan bilasan yang mencukupi setiap kali selepas pemberian susu untuk mengelakkan jangkitan kuman di paru-paru
4. Lakukan mandi lap sekurnag-kurangnya sekali sehari ke atas pesakit untuk memastikan kebersihan terjamin
5. Tukar pakaian pesakit setiap kali mandi
6. Pastikan cuci bersih kawasan perineum (kemaluan) pesakit setiap kali eliminasi (buang air besar atau kecil)
7. Lakukan senaman sendi (range of motion exercise) sekurang-kurangnya 3 kali sehari dengan 10-15 kali ulangan setiap set
Untuk pesakit yang mampu membantu, tindakan yang boleh dilakukan oleh penjaga adalah seperti berikut:
1. Galakkan pesakit menggunakan anggota yang tidak mengalami kelemahan / kelumpuhan untuk menampung anggota yang lemah / lumpuh ketika menyuap makanan, memakai pakaian dan menguruskan aktiviti hidup harian
2. Jika pesakit mengalami gangguan emosi (jika strok melibatkan kawasan kognitif di otak), pastikan masa pesakit diisi dengan aktiviti yang berfaedah seperti melakukan hobi yang pesakit gemari atau bermain dengan haiwan peliharaaan
3. Motivasikan pesakit untuk melakukan senaman ringan secara rutin untuk mengembalikan fungsi tubuh ke tahap optimum.
4. Amalkan pemakanan yang sihat dan seimbang seperti mengawal pengambilan garam, gula dan lemak. Banyakkan pengambilan serat dari sumber buah-buahan dan sayur-sayuran.
5. Pastikan pesakit mengambil semua ubatan yang diperskripsi oleh doktor
6. Bantu dan temani pesakit untuk hadir janji temu dan rehabilitasi
Tempoh penting
Penyakit strok melibatkan kesan pada saraf di kawasan otak dan ia boleh jadi mengalami gangguan fizikal kekal atau sementara. Amat penting dalam tempoh enam bulan pertama untuk melalui fasa rehabilitasi bagi pesakit dengan strok.
Ia dapat menyelamatkan kawasan penumbra (kawasan jaringan saraf yang boleh dibaik pulih) bagi mengekalkan fungsi fizikal tubuh seterusnya meningkatkan kualiti hidup harian pesakit.
Pada masa yang sama, ahli keluarga dan penjaga perlu bergilir-gilir dalam memberi jaga rawatan kepada pesakit strok agar tidak rasa terbeban (burnout).
Pastikan anda mempunyai masa untuk diri anda juga (me time). Tidak salah jika anda keluar sebentar untuk menikmati secawan kopi dan bergilir dengan ahli keluarga atau perawat lain!
Asst Prof Dr Siti Noorkhairina Sowtali
Department of Professional Nursing Studies, Kulliyyah of Nursing
International Islamic University Malaysia
Rujukan:
- Malaysian Emergency Response Services. 999.gov.my
- Ministry of Health Malaysia (2020). Clinical Practice Guidelines: Management of Ischaemic Stroke.
- Sowtali, S., & Harith, S. (2014). Kertas Asli/Original Articles Educational Needs among Stroke Patients Admitted to Hospital Universiti Sains Malaysia: Preliminary Findings (Keperluan Pendidikan dalam Kalangan Pesakit Strok di Hospital Universiti Sains Malaysia: Data Awalan). Jurnal Sains Kesihatan Malaysia, 12(1), 67–73.
- Sowtali, S. N., Aishah, S., Salleh, M., Hazelin, N., & Halid, H. (2023). Stroke Knowledge and Informational Needs Among International Islamic University Malaysia Nursing Students : A Preliminary Study. 6(February), 29–39.
- Sowtali, S. N., Yusoff, D. M., Harith, S., & Mohamed, M. (2016). Translation and validation of the Malay version of the Stroke Knowledge Test. Journal of Arrhythmia, 32(2), 112–118.