Stoking Kalimah Allah: Henti Provokasi Umat Islam!

Stoking Kalimah Allah: Henti Provokasi Umat Islam! | IKRAM

Masih ingat kes dua individu itu, Ghazi bin Muhammad al-Baji, yang telah menerbitkan sebuah buku bertajuk ‘The Illusion of Islam,’ yang diterbitkannya di scribd.com, tapak percuma untuk menerbitkan tulisan sosial. 

Ghazi al-Baji berkata dalam pengenalan bukunya bahawa dia berhasrat untuk mendedahkan ‘wajah hodoh Islam.’ Artikel tersebut secara sindiran menyentuh aspek biografi Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Individu kedua, Jaber bin Abdullah al-Majiri pula menerbitkan karikatur Nabi Muhammad di laman Facebooknya berdasarkan petikan daripada buku Ghazi Al-Baji, di samping tulisan satira tentang Islam dan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam.

Dan dua warga Tunisia ini telah dikenakan hukuman penjara tujuh tahun pada 28 Mac 2012 oleh mahkamah Tunisia kerana menerbitkan tulisan yang dianggap menyinggung perasaan umat Islam.

Tahukah kita, penghinaan kalimah Allah dikenakan hukuman yang berat di Dubai iaitu didenda hingga RM2 juta dan boleh dipenjara hingga lima tahun? Bahkan, hukuman tegas dikenakan terhadap mereka yang menghina kalimah Allah sama ada secara sengaja mahupun tidak.

“(Di sini), menghina agama di Facebook pun dikenakan hukuman. Dan beberapa kali juga perkara ini berlaku sepanjang beberapa tahun ini saya di Dubai. Undang-undang di sini sangat strict (tegas)!” ujar seorang jutawan dan ahli perniagaan ternama, Irfan Khairi.

Teringat saya dengan kata-kata Buya Hamka:

“Jika diam saat agamamu dihina, gantilah bajumu dengan kain kafan.”

Pada 13 Mac lalu, tular di media sosial stoking yang tertera kalimah Allah dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik oleh pengguna.

Adakah ini isu kecil? Jawapannya, tidak!

Isu ini adalah isu besar yang perlu diambil tindakan tegas dan keras sebagaimana beberapa negara lain mengenakan hukuman kepada mereka yang mencetuskan isu berkaitan agama.

Sebagai warga dalam masyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya, sikap berhati-hati dalam perkara yang sensitif amatlah penting. Kepekaan ini mesti dipupuk dengan ilmu dan sikap saling memahami antara satu sama lain. Yang memperkukuh kefahaman ini ialah sikap hormat-menghormati antara satu sama lain.

Menurut Penasihat Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN), Dr Hamidah Mat, undang-undang dan peraturan berperanan sebagai rujukan dan kawalan.

“Ia bermakna, kedua-dua aspek iaitu sikap setiap daripada kita dan undang-undang perlu seiring demi menjaga keharmonian semua pihak,” jelasnya.

Menurutnya, alasan-alasan lapuk atas tindakan yang mengetepikan unsur menghormati agama lain, terutamanya agama Islam sebagai agama rasmi negara memang tidak boleh diterima.

“Maka, satu tindakan dan langkah yang tegas daripada pihak berkuasa perlulah diambil bagi mengelakkan perkara sebegini berulang lagi.”

Tegasnya yang juga Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial Open University Malaysia (OUM), apa pun, menyikapi perkara ini dengan meletakkan kepentingan yang lain seperti politik mahupun ekonomi, atau apa-apa sahaja, tidak akan membantu, malah akan memburukkan lagi keadaan dan mencacatkan keharmonian yang sedang dibina.

Kenakan tindakan sekeras-kerasnya!

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda bertitah sewaktu berangkat ke Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Parlimen pada bulan lalu. Baginda mengingatkan semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan raja-raja.

Berikutan itu, Seri Paduka Baginda bertitah mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu ini berdasarkan siasatan pihak berkuasa.

“Kalimah Allah itu dipandang sangat tinggi pada sanubari umat Islam, tambahan pula kita berada dalam bulan Ramadan. Tidak patutlah timbul perkara yang membangkitkan kemarahan.” 

Dalam pada itu, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berasa dukacita dengan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah, apatah lagi ia berlaku ketika bulan Ramadan.

“Terdapat pihak yang menyatakan jangan terlalu sensitif berkenaan isu itu, namun disebabkan kalimah Allah, ia sesuatu yang sangat tinggi di mata umat Islam,” kata Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Tegas beliau, Allah adalah pencipta dan meletakkan Allah di kaki adalah satu penghinaan dan isu itu juga tidak boleh diremehkan.

“Perkara sensitif membabitkan umat Islam sukar untuk dimaafkan, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan. Syarikat terbabit serta pemborong perlu mengambil iktibar atas apa yang berlaku.”

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh turut memulakan Kempen Boikot KK berikutan isu yang dicetuskan oleh kedai serbaneka itu.

Sebelumnya, beliau telah memberi tempoh dua hari kepada pengurusan KK Super Mart untuk memasang kain rentang di semua 881 cawangan kedai serbaneka itu di seluruh negara bagi memohon maaf atas penjualan stoking tertera kalimah ‘Allah’ itu.

“Saya akan memulakan boikot lebih kuat terhadap KK Super Mart sekiranya pengurusan kedai serbaneka itu gagal mematuhi tuntutan pergerakan itu,” tegas Akmal.

Ini soal agama kita

Dalam perkembangan lain, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, menempelak tindakan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon meminta supaya tidak di perbesarkan isu tersebut

“Sin Woon dilihat seperti cuba memandai-mandai menjadi pembela kepada KK Mart, sedangkan isu itu adalah besar dan melukakan hati umat Islam.”

Tegas Fuad, MCA harus menegur kecuaian KK Mart itu dan bukannya menjadi pembela yang disifatkan sebagai membabi buta, sekali gus tidak menghormati kuasa pembeli umat Islam negara ini.

“Ini bukan membesar-besarkan isu. Ini soal agama. Ia menghina umat Islam. Umat Islam adalah pelanggan utama KK Mart.

Ketika ditanya kepada Pengerusi ILMAN, Ustaz Dr Syazalie Hirman Ahmad Najib berkata, ia termasuk isu sensitif iaitu 3R (Institusi Diraja, Agama, Bangsa) yang sepatutnya tidak boleh disentuh.

“Isu penggunaan kalimah Allah dulu pun dah cetuskan polemik yang hangat dan panjang, apatah lagi apabila kalimah Allah diletakkan di stoking.”

Justeru, beliau menggesa semua pihak menyokong titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang bertitah, perlu ada tindakan tegas diambil terhadap pihak yang terbabit.

Pensyarah Kanan Jabatan Kenegaraan Kepimpinan dan Pengajian Islam, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan UPNM, Dr Amnah Saayah Ismail menjelaskan bahawa sepatutnya isu sebegini tidak berlaku di Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara.

“Namun apabila berlaku, ia sudah pasti menyebabkan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat Muslim.”

Beliau turut menekankan aspek keprihatinan seluruh masyarakat terhadap perkara-perkara yang sensitif pada sebuah agama kerana di Malaysia terhadap pelbagai agama anutan masyarakat.

“Untuk mengetahui perkara-perkara sensitif ini adalah melalui pendidikan. Ia tidak terhad hanya di sekolah atau institusi pendidikan sahaja namun perlu bermula dari rumah,” tegas Amnah.

Beliau berkata, masyarakat di Malaysia tentu tahu apa yang boleh diperkatakan atau dilakukan yang merangkumi perkara-perkara sensitif dan tidak sensitif dalam mana-mana agama.

“Sekiranya ia dipelajari dan dikuasai, sudah pasti isu-isu seperti kalimah Allah di stoking seperti yang tercetus ini tidak terjadi,” jelasnya.

NGO Islam terus bersuara

Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) menggesa semua pihak tidak memandang ringan isu stoking tertera nama Allah kerana ia adalah isu yang sangat sensitif bagi umat Islam.

“Sebarang penyalahgunaan kalimah Allah boleh mengundang reaksi yang berat daripada umat Islam,” ujar HIKAM.

Tegas gabungan NGO Islam itu lagi, KK Mart dan mana-mana pengeluar, pembekal, pengedar dan peniaga lain perlu memastikan insiden seperti ini tidak berulang lagi bagi apa-apa sahaja produk yang dijual.

HIKAM dianggotai oleh Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) menekankan perundangan berkaitan isu tersebut perlu diperkukuhkan lagi agar sebarang pelanggaran seperti ini boleh diambil tindakan yang sewajarnya.

Solidariti dan amaran

Ketika umat Islam bergembira meraikan kehadiran awal Ramadan pada minggu lalu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan insiden penghinaan terhadap agama Islam berkaitan nama Allah yang tular di media sosial dan tidak dapat diterima oleh sesiapa pun. 

Islam amat menekankan agar kesucian agama ini dipertahankan sehingga ia turut melarang umat Islam menghina agama lain bagi mengelakkan Islam dihina kembali sebagaimana firman Allah Subhanahu Wa Taala dalam Surah al-An’aam ayat 108 yang bermaksud:

“Janganlah kamu mencerca benda yang mereka sembah selain daripada Allah kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.”

Justeru, bagi mengelakkan perkara sebegini terus berulang, sudah tiba masa umat Islam bersatu, bertegas, bersama-sama membela agama ini. Selain itu, langkah pencegahan proaktif dan efektif perlulah dikuatkuasakan. 

Antara langkah-langkah yang boleh diambil  ialah mengenakan hukuman maksimum terhadap pelaku.

Kedua, tindakan yang wajar dilakukan adalah menerusi pendidikan dan pembangunan sahsiah holistik sejak dari sekolah rendah lagi.

Dalam pada itu, solidariti umat Islam di Malaysia bagi menghadapi isu seperti ini wajar digembleng. Semua pihak perlu berganding bahu menzahirkan solidariti terhadap isu penghinaan terhadap agama Islam dengan mengetepikan perbezaan ideologi mahupun politik.

Solidariti ini penting bagi memberi amaran kepada pihak yang melakukan provokasi ke atas umat Islam supaya tidak mengulangi kesilapan sama dan menarik perhatian pihak kerajaan supaya mengambil berat isu serta dan tidak membiarkan agama Islam dihina begitu sahaja.

Ayuh, kita pertahankan agama Islam!

Atriza Umar
Pegawai Kanan Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Duat Al-Falah

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia