Stigma Kesihatan Mental: Bahaya & Cara Menanganinya

Stigma Kesihatan Mental: Bahaya & Cara Menanganinya | IKRAM

Pandemik Covid-19 yang melanda dunia beberapa tahun dahulu sebenarnya merupakan satu rahmat yang tidak terhingga buat kita semua. Dari satu sudut, ia menjadi pelonjak untuk satu dunia pada ketika itu membuka mata terhadap kesan kesihatan mental yang terjejas akibat wabak berkenaan. 

Malahan di pelbagai negara termasuk di negara-negara Asia yang mempunyai stigma yang sangat tinggi terhadap isu kesihatan mental, isu-isu yang dianggap tabu seperti isu bunuh diri, kebimbangan, kemurungan dan pelbagai lagi aspek kesihatan mental turut dibahaskan.

Impak yang terhasil pada ketika itu sangat menakjubkan sehingga menyebabkan pesakit-pesakit dan juga pemandiri-pemandiri kesihatan mental mula berani keluar menceritakan pengalaman berhadapan dengan keadaan kesihatan mental yang merupakan cabaran besar dalam kehidupan mereka.

Komuniti seluruh dunia pada ketika itu mula menerima secara terbuka segala aspek yang dibincangkan terkait isu kesihatan mental.

Bagaimanapun, setelah isu pandemik mula surut dan wabak sudah dapat dikawal dengan baik dan seluruh dunia sudah mula menjalani kehidupan seperti biasa, kita dapat melihat stigma yang telah berkurangan kembali menebal.

Ramai yang seakan-akan sudah melupakan kesan cabaran kesihatan mental yang mengganggu kehidupan mereka seperti stres yang berlebihan, rasa kemurungan dan  kebimbangan.

SAYA ingin mengambil peluang untuk membahaskan hal yang terkait dengan stigma ini dan persoalan yang utama adalah kenapa stigma itu berbahaya dan apakah cara untuk membanterasnya secara konsisten.

Apakah stigma kesihatan mental?

Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan stigma ini sebagai sifat atau sesuatu yang menjatuhkan maruah, kecelaan dan keaiban. 

Menurut Merriam-Webster Dictionary pula, stigma ialah ketidaksetujuan seseorang mahupun kelompok berdasarkan sifat-sifat tertentu yang berlainan atau keberadaan mereka tidak diinginkan dalam lingkungan masyarakat. Stigma juga merupakan keyakinan negatif yang dimiliki seseorang untuk mendasari ketidakadilan yang dimiliki sekelompok orang tentang sesuatu.

Kelab Demokrat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam satu artikel menjelaskan bahawa stigma kesihatan mental ialah ketidaksetujuan masyarakat terhadap sesuatu atau sesuatu keadaan ketika orang ramai memalukan golongan yang mempunyai masalah kesihatan mental atau mereka yang memerlukan pertolongan ketika menghadapi tekanan emosi, sebagai contoh kegelisahan atau ‘anxiety’ (kemurungan), gangguan bipolar atau PTSD. Stigma ini wujud di sekeliling kita terutamanya dalam institusi keluarga, rakan atau masyarakat.

Tambah Demokrat UKM lagi, stigma kesihatan mental ini juga berasal daripada keadaan stereotaip yang bermaksud kepercayaan umum atau gambaran keseluruhan masyarakat yang selalunya menyinggung perasaan orang lain, negatif dan lebih teruk lagi tidak tepat. 

Label seperti gila, malas, mengada-ada, lemah iman atau tidak berdisiplin sangat sinonim dengan stigma yang dilemparkan terhadap pesakit mental. 

Artikel yang diterbitkan oleh laman Hello Doktor (Penyakit mental: Stigma negatif kerana kurang pengetahuan) pula membahaskan bahawa penyakit mental adalah penyakit psikologi yang gejalanya tidak dapat dilihat oleh mata yang tidak terlatih.Ia tidak hanya memberi kesan kepada fungsi, produktiviti dan hubungan di sekeliling pesakit, tetapi juga persepsi mereka terhadap diri sendiri.

Ia turut memberi kesan yang sama terhadap isu-isu yang terkait dengan kesihatan mental secara umumnya. Kesan kepada fungsi dan produktiviti merupakan antara kesan yang utama dalam kalangan warga umum yang sedang berhadapan dengan cabaran kesihatan mental.

Menurut laman Mayo Clinic dalam artikelnya yang bertajuk Mental health: Overcoming the stigma of mental illness pula, stigma boleh menjadi penyebab kepada diskriminasi. 

Diskriminasi mungkin akan tampak lebih jelas sekiranya seseorang membuat satu pernyataan yang negatif terhadap isu kesihatan mental seseorang pesakit atau rawatan yang sedang dijalani oleh pesakit tersebut.

Ia boleh terjadi secara halus, misalnya sesuatu individu menghindari individu lain yang mempunyai masalah kesihatan mental kerana merasakan bahawa individu yang mempunyai masalah kesihatan mental itu sebagai tidak stabil, bahaya dan ganas.

Malah, lebih teruk lagi jika individu yang mempunyai masalah kesihatan mental ini mengkritik dan menilai diri mereka sendiri seperti mana pandangan negatif  yang umum berikan.

American Psychiatric Association dalam artikelnya Stigma, Prejudice and Discrimination Against People with Mental Illness menyebut bahawa stigma boleh diklasifikasikan dalam tiga bentuk iaitu:

1. Stigma awam yang melibatkan sikap negatif atau diskriminasi yang ada pada orang lain tentang penyakit mental.

2. Stigma diri yang merujuk kepada sikap negatif, termasuk rasa malu yang terpendam, yang dimiliki oleh orang yang mempunyai penyakit mental tentang keadaan mereka sendiri.

3. Stigma institusi yang lebih sistemik, melibatkan dasar organisasi kerajaan dan swasta yang secara sengaja atau tidak sengaja mengehadkan peluang untuk penghidap penyakit mental. Contohnya termasuklah pembiayaan yang lebih rendah untuk penyelidikan penyakit mental atau perkhidmatan kesihatan mental yang lebih sedikit berbanding dengan penjagaan kesihatan lain.

Kesan stigma terhadap orang yang mempunyai masalah kesihatan mental

Disebabkan itu, kesan-kesan yang berbahaya daripada stigma yang disenarai pendek oleh American Psychiatric Association adalah seperti berikut:

1. Keengganan untuk mendapatkan bantuan atau rawatan

2. Kesan negatif kepada mereka yang sedang mendapatkan rawatan

  • berkurangan harapan
  • rasa rendah diri
  • peningkatan gejala psikiatri
  • kesukaran dalam hubungan sosial
  • mengurangkan kemungkinan untuk kekal dengan rawatan
  • lebih banyak kesukaran di tempat kerja

3. Kurang persefahaman dalam kalangan keluarga, rakan, rakan sekerja atau orang lain

4. Kurang peluang untuk bekerja, bersekolah atau melakukan aktiviti sosial atau bermasalah mencari tempat tinggal

5. Berlaku kejadian buli, keganasan fizikal atau gangguan secara berterusan

6. Insurans kesihatan yang tidak mencukupi untuk rawatan penyakit mental 

7. Kepercayaan bahawa pesakit tidak akan berjaya dalam cabaran tertentu atau tidak dapat memperbaiki keadaan penyakitnya

Kajian pada tahun 2017 yang bertajuk Self Stigma as a Barrier to Recovery: A Longitudinal Study menyatakan bahawa lebih daripada 200 individu yang mempunyai penyakit mental mempunyai tahap stigma diri yang sangat tinggi yang menyebabkan mereka mengalami kesan pemulihan yang sangat rendah selepas setahun atau dua tahun rawatan. 

Jadi disebabkan itu, SAYA menyeru semua warga di Malaysia untuk bersama-sama berusaha dan berganding bahu membanteras stigma ini. 

Seterusnya SAYA akan membahaskan bagaimana stigma ini boleh dibanteras secara efektif.

Cara membanteras stigma

Kajian menunjukkan bahawa mengenali dan mempunyai hubungan dengan seseorang yang mengalami masalah kesihatan mental atau penyakit mental merupakan antara cara terbaik untuk mengurangkan stigma ini. Ia bak kata pepatah Melayu, “Tak kenal maka tak cinta.” 

Begitu juga ketika individu-individu atau pemandiri kesihatan mental dan penyakit mental keluar menceritakan cabaran kehidupan yang mereka hadapi, ia akan memberikan impak yang positif dan perspektif baru kepada individu lain yang mendengar. Keadaan ini  akan membantu mengurangkan penilaian buruk terhadap isu kesihatan mental secara langsung. 

Selain daripada itu, hebahan di media sosial serta kempen juga memberikan kesan yang efektif dalam membanteras stigma.

Menurut kajian daripada National Library of Medicine yang bertajuk Social Marketing of Mental Health Treatment: California’s Mental Illness Stigma Reduction Campaign oleh Rebecca L. Collins (PhD), kempen sosial media berkenaan antistigma di California telah menunjukkan kesan peningkatan penggunaan medium bantuan yang disediakan kerana kesedaran dapat dipertingkatkan serta membantu masyarakat untuk lebih memahami isu kesihatan mental dengan lebih jelas lagi.

47 peratus orang dewasa yang terdedah dengan kempen ini telah pergi mendapatkan rawatan kesihatan mental.

The National Alliance on Mental Illness (NAMI) telah menyatakan beberapa cadangan yang boleh dilakukan oleh setiap individu untuk membantu menurunkan stigma terhadap isu kesihatan mental dan penyakit mental.

1. Bercakap secara terbuka tentang kesihatan mental – seperti perkongsian di media sosial.

2. Didik diri sendiri dan orang lain – mengurangkan tanggapan salah atau komen negatif dengan berkongsi fakta dan pengalaman.

3. Berhati-hati dengan bahasa yang digunakan – ingatkan orang lain bahawa kata-kata penting dan akan memberikan kesan. 

4. Galakkan kesaksamaan antara penyakit fizikal dan mental – buat perbandingan dengan cara merawat seseorang yang menghidap kanser atau diabetes.

5. Tunjukkan belas kasihan kepada mereka yang mempunyai penyakit mental.

6. Bersikap jujur tentang rawatan – normalkan rawatan kesihatan mental, sama seperti rawatan penjagaan kesihatan yang lain.

7. Beritahu media – media tidak sepatutnya menggunakan bahasa yang mencemarkan nama baik atau menyampaikan cerita tentang penyakit mental dengan cara yang menghina.

8. Pilih pemerkasaan untuk mengatasi rasa malu – “Saya melawan stigma dengan memilih untuk menjalani kehidupan dengan baik dan diperkasakan. Bagi saya, saya memiliki kehidupan dan kisah yang tersendiri yang boleh saya perkasakankan dan tidak membenarkan orang lain menentukan cara saya melihat diri saya atau perasaan saya tentang diri saya sendiri.” – Val Fletcher, menjawab soalan di Facebook, bagaimana anda melawan stigma?

Juga disarankan untuk diperkasakan lagi  kesedaran berkenaan dengan stigma dan isu kesihatan mental di ruangan tempat kerja kerana stigma dan diskriminasi masih berleluasa di tempat kerja.

Majikan perlu berusaha menangani stigma terhadap penyakit mental di tempat kerja kerana ia juga merupakan antara hab kepada masalah kesihatan mental dan penyakit mental jika tidak ditangani dengan baik. 

The APA’s Foundation’s Centre for Workplace Mental Health sangat menekankan kepentingan kedua-dua perkhidmatan penjagaan kesihatan yang mantap dan usaha khusus untuk memecahkan tembok yang menyelubungi topik penyakit mental dan penghalang untuk komuniti di mana-mana tempat kerja untuk memahami dan cakna berkenaan dengannya. 

Mereka mencadangkan beberapa solusi kepada organisasi-organisasi pekerjaan untuk berusaha mewujudkan budaya yang menyebut tentang kemurungan, kebimbangan, pascatrauma dan penyakit biasa lain menjadi sebutan seperti diabetes, hipertensi dan migrain di mana-mana ruangan pekerjaan yang ada atau mewujudkan cabang khas berkenaan hal ini.

Majikan yang telah pun melakukan  usaha untuk menangani stigma ini menawarkan beberapa cadangan sebagai solusi iaitu:

1. Sesuaikan program/pendekatan dengan budaya kerja syarikat anda dan menggunakan kekuatan yang sedia ada.

2. Menyatakan komitmen anda untuk menerajui tempat kerja yang sihat dari segala segi, sama ada secara mental atau fizikal serta menyatakan komitmen untuk memimpin tempat kerja yang mempunyai tingkah laku yang sihat dan memberikan penegasan dan apresiasi kepada pekerja yang menjaga komitmen ini.

3. Latih pemimpin dan ketua-ketua di tempat kerja untuk mengenal pasti tekanan emosi dan membuat rujukan serta bertindak balas dengan segera terhadap prestasi dan tingkah laku di tempat kerja.

Harapan SAYA

SAYA berharap artikel ini dapat memberikan pencerahan yang sewajarnya dan berharap setiap daripada kita dapat bertindak untuk berusaha menurunkan stigma terhadap isu kesihatan mental dan penyakit mental supaya kita boleh menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai masyarakat yang rahmah serta saling mengambil berat antara satu sama lain. 

Jangan tunggu sehingga kita ataupun ahli keluarga berdepan dengan masalah kesihatan mental baru kita mahu bertindak. Tindakan perlu datang segera kerana menimba ilmu dan memperluas peranan kita dalam memahami ilmu kesihatan mental selaras dengan ajaran Islam.

Jadi, SAYA menutup artikel ini dengan satu hadis yang diriwayatkan Ibnu Majah dan disahihkan oleh Syaikh Albani dalam Shahih wa Dha’if Sunan Ibnu Majah no. 224 (maksudnya):

“Menuntut ilmu adalah kewajiban bagi setiap individu Muslim.”

dan juga dua petikan ayat daripada al-Quran yang bermaksud:

“Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah daripada kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.” (Surah Fatir: 28)

“Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Mujadilah: 11)

Nadiah Mansor adalah Presiden Pertubuhan Literasi Kesihatan Mental (SAYA), inisiatif advokasi tentang kesedaran isu kesihatan mental dalam kalangan orang muda.

Artikel ini telah disemak oleh Dr Nurfarahain Nordin, Pegawai Perubatan Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Sungai Buloh.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia