Program ini mendapat sokongan padu daripada pihak sekolah terutamanya Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (GPK HEM) SMK Bekenu, Puan Bibi dengan sokongan peneraju utama program, Ustaz Asyraf, para ustazah dan guru yang sama-sama memberikan komitmen yang baik dalam menjalankan tugas masing-masing untuk menjayakan program.
Peserta terdiri dari lebih 90 orang pelajar SMK Bekenu telah bersiap sedia dan Ustaz Asyraf dengan lancar memulakan program. Dr Hafidzah dan Che Rahimi mengendalikan program tersebut selama empat jam itu secara bergilir dan berselang seli.
Penglibatan dan kerjasama pelajar yang majoritinya Muslim amat memberangsangkan. Permainan dan senaman diselitkan sambil memberi maklumat, nasihat dan kesedaran supaya menjauhi zina yang merosakkan keturunan, penyakit dan pelbagai implikasi negatif.
Program diakhiri dengan bacaan ikrar untuk menjauhi zina yang diketuai oleh wakil pelajar. Sewaktu perasmian penutup program Puan Bibi berucap ringkas tapi penuh bermakna mengingatkan pelajar agar memastikan mereka menjadi bijak dengan menjauhi zina.
Apa yang menarik, para fasilitator berkesempatan menganalisa kaji selidik yang dijalankan ke atas peserta. Hasil tersebut menunjukkan bahawa secara umum pengetahuan pelajar tentang zina masih positif, namun terdapat segelintir pelajar yang mengaku telah berzina dan mengamalkan aktiviti yang akan menyebabkan mereka menghampiri zina seperti bercinta, berdua-duaan, bersentuhan dan menonton video dan bahan lucah.
Tentunya ini membuka mata kita tentang kepentingan untuk kita terus gigih dan tidak berhenti menjalankan usaha pendidikan dan pencegahan ini. Jom jadi bijak jauhi zina!