SIS Forum: Perkasa Martabat Syariah dalam Perundangan

SIS Forum: Perkasa Martabat Syariah dalam Perundangan | IKRAM

Keputusan Mahkamah Persekutuan Malaysia pada 19 Jun 2025 yang mentafsirkan fatwa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terhadap Sisters in Islam (SIS) Forum menjadi titik penting dalam landskap perundangan dan hubungan antara undang-undang sivil dengan pentadbiran Islam di negara ini.

Keputusan ini mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat, termasuk dalam kalangan gerakan Islam yang memandang isu ini bukan sekadar soal teknikal perundangan, tetapi berkait rapat dengan martabat syariah, kedaulatan agama serta tanggungjawab memelihara akidah dan moral umat Islam.

Mahkamah Persekutuan dalam penghakimannya memutuskan bahawa fatwa tersebut tidak boleh dikuatkuasakan terhadap SIS, kerana SIS merupakan sebuah entiti korporat berdaftar, yang tidak termasuk dalam takrifan “orang yang menganut agama Islam” seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Secara undang-undang, entiti perniagaan tidak boleh dipertanggungjawabkan atas dasar pegangan agama kerana ia tidak memiliki identiti individu beragama.

Namun, keputusan ini membuka ruang perdebatan yang lebih luas. Apakah implikasi keputusan tersebut terhadap pemeliharaan nama Islam? Bagaimana pula dengan usaha membendung fahaman atau ideologi yang bertentangan dengan asas ajaran Islam tetapi beroperasi atas nama Islam?

Islam sebagai sistem kehidupan, bukan sekadar ritual

Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) sepakat menegaskan bahawa Islam bukan sekadar agama berbentuk ritual peribadi. Sebaliknya, Islam adalah sistem kehidupan yang syumul iaitu mencakupi aspek akidah, ibadah, akhlak, muamalat, perundangan, tata kelola masyarakat dan pembinaan negara.

Oleh itu, kewujudan fatwa adalah instrumen penting dalam kerangka syariah untuk menjaga kemurnian agama, melindungi umat Islam daripada kesesatan dan memastikan kesucian ajaran Islam terus terpelihara.

Fatwa bukan sekadar satu bentuk pengisytiharan, tetapi berperanan sebagai panduan komprehensif yang membimbing umat Islam dalam soal akidah, etika dan hukum kehidupan seharian.

Tanggungjawab individu kekal tidak terhapus

Meskipun mahkamah memutuskan bahawa entiti korporat tidak termasuk dalam ruang lingkup fatwa, ia tidak bermakna individu Muslim dalam organisasi tersebut bebas daripada pertanggungjawaban syariah.

Prinsip asas dalam Islam menegaskan bahawa setiap individu bertanggungjawab atas keimanan dan tindakannya sendiri, sama ada dalam kapasiti peribadi mahupun dalam peranan mereka dalam organisasi.

Dengan kata lain, jika terdapat individu Muslim dalam SIS sama ada pengasas, ahli lembaga pengarah atau anggota aktif yang terlibat dalam penyebaran pemikiran yang bercanggah dengan asas Islam, maka mereka tetap tertakluk kepada hukum syarak, termasuk dikenakan fatwa atau tindakan berdasarkan enakmen syariah negeri.

Hal ini adalah satu garis pemisah yang penting. Keputusan mahkamah tidak sama sekali menafikan kuasa institusi agama terhadap individu Muslim.

Ia hanya membataskan kuasa tersebut daripada dikenakan kepada entiti perundangan yang berbentuk korporat. Namun, amanah menegakkan akidah dan hukum tetap berjalan ke atas individu Muslim yang terlibat.

Ancaman eksploitasi atas nama entiti korporat

Satu lagi keprihatinan yang diketengahkan oleh HIKAM ialah potensi penyalahgunaan struktur korporat untuk menyebarkan fahaman yang bertentangan dengan Islam. Di sinilah cabaran baharu muncul dalam era moden ini.

Entiti seperti syarikat, pertubuhan atau yayasan boleh berfungsi sebagai alat untuk menyebarkan ideologi, naratif atau gagasan yang mungkin kelihatan sah di sisi undang-undang perniagaan, tetapi pada masa sama membawa kesan merosakkan kepada akidah dan pemikiran masyarakat Islam.

Dalam konteks ini, walaupun langkah MAIS terhalang dari sudut perundangan, usaha tersebut tetap mencerminkan komitmen mempertahankan kesucian agama. Namun realitinya, keputusan mahkamah juga mendedahkan kelemahan pada sisi perundangan pentadbiran Islam dalam menghadapi model cabaran kontemporari.

Kerangka undang-undang Islam semasa perlu diteliti dan dipinda. Tidak memadai bergantung semata-mata pada takrif klasik “orang Islam” tanpa mengambil kira cara baharu ideologi disebarkan iaitu melalui syarikat korporat, media sosial dan penerbitan digital.

Menjunjung titah Sultan Selangor: Isu nama “Islam”

Pendirian HIKAM turut selari dengan titah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menegaskan supaya Sisters in Islam menggugurkan perkataan “Islam” daripada nama pertubuhan mereka.

Titah ini bukan sekadar berkaitan isu perundangan atau semantik, tetapi berkait langsung dengan maruah dan integriti nama Islam itu sendiri.

Nama “Islam” bukan milik sesiapa secara individu atau organisasi. Ia adalah nama yang membawa amanah akidah, syariah dan akhlak.

Apabila sebuah entiti menggunakan nama “Islam” tetapi pada masa yang sama mempromosikan idea atau pandangan yang bertentangan dengan prinsip Islam, maka ia membawa kepada kekeliruan awam, pencemaran “kefahaman” dan akhirnya melemahkan kewibawaan Islam di mata masyarakat.

Isu ini lebih besar daripada sekadar pertikaian hukum di mahkamah. Ia adalah soal penjagaan martabat agama dan memelihara kesucian syariat daripada dicemari oleh fahaman yang bertentangan dengan maqasid syariah.

Mengukuhkan perundangan dan pentadbiran Islam

Keputusan mahkamah ini harus dijadikan peluang untuk institusi agama memperkukuh pentadbiran dan perundangan Islam secara menyeluruh.

Antara langkah yang boleh diambil termasuk menuntut penstrukturan semula bidang kuasa fatwa dengan memperjelas kedudukan fatwa ke atas individu dalam organisasi serta mekanisme untuk menangani penyebaran fahaman sesat secara sistematik.

Pindaan kepada enakmen syariah negeri juga perlu dipertimbangkan dengan memperkenalkan peruntukan yang membolehkan semakan syariah ke atas entiti yang menggunakan nama Islam, tanpa melanggar kerangka Perlembagaan.

Pada masa yang sama, kerjasama  antara badan kehakiman sivil dan institusi agama perlu diperkukuh supaya tidak berlaku pertindihan atau konflik bidang kuasa yang merencatkan pentadbiran agama.

Pendidikan agama masyarakat awam perlu dicelikkan agar umat Islam dapat membezakan antara pandangan yang selari dengan syariah dan pandangan yang bercanggah walaupun datang daripada individu atau organisasi yang kelihatan berautoriti.

Negara Rahmah: Tegas pada prinsip, lembut pada pendekatan

IKRAM secara konsisten menegaskan bahawa dalam mendepani isu ini, pendekatan yang paling sesuai ialah mendidik dan membina, bukannya menghukum secara melulu.

Prinsip ini selari dengan konsep Negara Rahmah agar ketegasan terhadap prinsip syariah berjalan seiring dengan hikmah, ihsan dan dialog terbuka.

Teguran terhadap mana-mana pihak yang dianggap menyimpang harus dilakukan dengan hujah ilmiah, dialog intelektual dan proses islah yang berterusan. Menghukum tanpa mendidik hanya akan melahirkan lebih banyak jurang, prasangka dan penentangan dalam masyarakat.

Islam sendiri mengajar bahawa membetulkan kesilapan adalah tanggungjawab kolektif, tetapi ia mesti dilakukan dengan adab, hikmah dan kasih sayang.

Jalan ke hadapan

Pemeliharaan akidah, maruah agama dan integriti nama Islam adalah amanah bersama yang wajib dipikul oleh semua pihak.

Keputusan Mahkamah Persekutuan ini harus dilihat sebagai sentakan untuk mengukuhkan kedudukan institusi agama dalam mempertahankan kesucian agama, melindungi umat daripada ancaman fahaman menyeleweng serta memastikan institusi agama kekal berwibawa, dihormati dan berperanan sebagai benteng akidah umat Islam.

Apa yang paling penting, umat Islam perlu sedar bahawa cabaran kepada agama bukan hanya datang dari luar, tetapi juga dari dalam iaitu sama ada dalam bentuk fahaman liberal, ekstremisme ataupun penyalahgunaan nama Islam untuk tujuan yang bertentangan dengan maqasid syariah.

Maka, menjadi amanah kepada seluruh masyarakat Islam termasuk badan kehakiman, institusi agama, gerakan Islam dan masyarakat sivil untuk terus memperjuangkan Islam sebagai rahmat kepada seluruh alam dengan penuh hikmah, ketegasan dan kasih sayang.

“Dan Kami tidak mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam.” (Surah al-Anbiya’: 107)

Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden 
Pertubuhan IKRAM Malaysia 

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia