Sijil Halal: Antara Penguasa, Pengusaha dan Pengguna

Pada prinsipnya, pensijilan halal melindungi pengguna baik dari segi kesahihan halal dan kebersihan makanan. Kepada pengusaha, pemegang sijil halal semestinya ia memberi kredibiliti kepada jenama dan meluaskan pasaran produk kerana peningkatan keyakinan pengguna terhadap barangan atau produk yang dihasilkan.

Di Malaysia, pelbagai pihak boleh memohon sijil halal. Antaranya, pengeluar produk makanan, minuman, farmaseutikal, kosmetik dan produk lain yang ingin dipasarkan sebagai produk halal, peniaga dan pengusaha restoran, pengeluar bahan mentah atau bahan asas yang digunakan dalam produk halal, pengimport juga pengeksport produk halal. Begitu juga dengan pengeluar produk pertanian dan akuakultur seperti daging, sayuran, serta hasil laut.

Mempunyai sijil halal bukan sahaja bermakna sesuatu produk bebas unsur-unsur yang diharamkan seperti khinzir atau alkohol, ia juga bermaksud produk anda lebih terjamin dari segi kualiti, keselamatan dan kebersihan. Halal yang dipersijilkan bukanlah melihat kepada sembelihan semata-mata, tetapi keseluruhan proses yang melibatkan kualiti, kebersihan dan keselamatan.

Demi mendapatkan sijil tersebut, pemohon harus mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan JAKIM atau badan berkuasa Islam negeri yang berkenaan, termasuk memastikan penggunaan bahan halal, kebersihan dan prosedur pengeluaran yang menepati hukum syarak.

Proses permohonan pula melibatkan penyerahan dokumen yang diperlukan, audit dan pemeriksaan oleh pihak berkuasa untuk memastikan pematuhan terhadap standard halal sebelum sijil dikeluarkan.

Terdahulu, Sinar Harian pada 14 Jun lalu, melaporkan ramai usahawan Islam terutamanya yang terlibat dalam sektor makanan tahu mengenai aspek halal tetapi amat sedikit yang mengerti akan kepentingan dan manfaat memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kepada perniagaan mereka.

JAKIM pula telah mendedahkan hampir 72 peratus atau 165,026 daripada keseluruhan 229,204 produk yang mempunyai sijil halal di negara ini dimiliki oleh syarikat bukan Islam, hanya 37,466 bumiputera memiliki sijil tersebut.

Angka tersebut adalah untuk tempoh dari tahun 2021 hingga 10 April 2023. Untuk rekod berakhir pada 31 Disember 2022 pula, sebanyak 7,742 syarikat menjadi pemegang pensijilan halal Malaysia dengan 59 peratus daripadanya adalah syarikat bukan bumiputera.

Senario ini telah mendapat pelbagai pelbagai reaksi, Ada yang menyangka bahawa usahawan bumiputera Islam kurang berminat mendapatkan sijil penting berkenaan.

Ini kerana sebahagian usahawan Islam meyakini nama orang Melayu selaku pembuat produk atau tukang masaknya beragama Islam sudah cukup sebagai bukti makanan atau produk yang dikeluarkan mereka halal.

Halal sahaja tidak mencukupi

Syariah diturunkan untuk menjaga kepentingan dan keperluan manusia dalam pelbagai aspek. Para fuqaha telah menyimpulkan tujuan-tujuan ini dalam sebuah gagasan yang dikenali sebagai maqasid al-syariah.

Demi menjaga nyawa manusia, syariah memberikan panduan dalam pemakanan dan kepenggunaan iaitu pemakanan yang bukan sahaja halal, malah tayyib iaitu baik dan jauh daripada sebarang kemudaratan.

Pemakanan yang halal bukan sahaja menjaga nyawa, malah menjaga agama, kerana sebarang usaha untuk mendapatkan makanan yang halal dan tayyib dianggap sebagai sebuah kepatuhan dan ketaatan yang mendatangkan pahala dan keberkatan. Oleh itu, sudut pandang maqasid al-syariah dalam hal ini adalah jelas.

Sebagai seorang Muslim yang menjadikan syariah sebagai panduan hidup, aspek pemakanan halal adalah penting. Malah, telah menjadi sentimen dalam masyarakat, mengambil makanan yang tidak halal dianggap sebagai kesalahan paling besar dalam hidup.

Hal ini terserlah sekiranya mereka berkunjung ke negara minoriti umat Islam, boleh dikatakan semuanya akan berusaha sedaya upaya untuk mencari perkataan halal pada kedai dan label makanan.

Berlainan di negara majoriti umat Islam, logo atau label halal tidak menjadi keutamaan lagi. Apa yang dipentingkan mungkin tahap kebersihan atau kualiti perkhidmatan sahaja.

Keyakinan yang ada lebih kepada amalan dan apa yang dilihat, mungkin kepada tuan kedainya, atau pada tukang masaknya, atau pada pengunjung yang rata-ratanya beragama Islam.

Namun, kewujudan pengusaha-pengusaha yang besar yang gagal mendapatkan sijil halal menjadikan masyarakat muslim sendiri tertanya-tanya, mengapa mereka tidak berusaha ke arah itu? Adakah kerana mereka gagal sebelum memohon?

Kerumitan yang boleh diringankan

Konsep pensijilan halal JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) di Malaysia merujuk kepada proses verifikasi dan penganugerahan status halal kepada produk atau perkhidmatan yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan berdasarkan syariat Islam.

Pensijilan ini penting untuk memastikan bahawa produk atau perkhidmatan yang digunakan oleh umat Islam adalah bersih dan halal, serta bebas daripada sebarang komponen atau proses yang haram atau bercampur dengan unsur haram.

Rata-rata pengusaha merungut bahawa proses permohonan untuk mendapatkan sijil halal adalah rumit dan merenyahkan. Selain daripada bahan dan premis yang perlu dipersiapkan, setiap proses perlu didokumentasikan dengan terperinci.

Kerja-kerja ini tidak boleh dibuat oleh sebarang pekerja, malah memerlukan tenaga yang mempunyai kredibiliti dan kompetensinya. Ini bermakna, usaha untuk mendapatkan sijil halal bermaksud pertambahan pada sudut kos dan tenaga.

Tambahan pula, sijil yang diperolehi bukanlah bersifat selamanya. Sijil yang diperolehi bertempoh dua tahun dan perlu diperbaharui dengan proses yang teliti. Dengan itu, sesebuah syarikat mestilah menjalankan audit berterusan dan pendidikan kesedaran halal dalam kalangan staf.

Bukan sekadar sekeping sijil

Sekiranya kerajaan mewajibkan premis makanan mempunyai sijil halal, ia dilihat akan menambah beban kepada peniaga kecil. Pengenalan pensijilan halal secara wajib akan menambah kos pentadbiran.

Pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela, membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran dan bukannya dilaksanakan secara paksa yang akan menambah kesukaran operasi perniagaan.

Memburukkan lagi keadaan apabila isu-isu begini diheret dalam perbincangan yang tidak rasional. Dengan kemudahan penyebaran maklumat tanpa sempadan, siapa sahaja boleh memberikan pandangan. Isu yang boleh diselesaikan dengan baik, boleh terpesong daripada perhatian utama dek kerana komen-komen pihak yang tidak bertanggungjawab.

Namun, sampai bila keadaan begini akan berterusan? Tiga penjuru harus memainkan peranan penting. Penguasa, pengusaha dan pelanggan, kesemuanya mempunyai bahagian yang perlu diambil tahu dan peduli.

Meskipun pemilikan sijil merupakan pilihan, tetapi tidak dapat dinafikan ia penting untuk menaikkan kualiti dan keyakinan pelanggan terhadap produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Menurut kajian,  sekiranya ada dua produk yang sama di tangan pelanggan, 94 peratus  mengatakan bahawa pengiktirafan seperti GMP, Halal dan HACCP mempunyai pengaruh ke atas pelanggan untuk membuat keputusan pembelian.

Tidak terkecuali, pihak penguasa pula haruslah bersikap lebih terbuka dan bersikap inklusif dengan mengurangkan birokrasi serta mencari inisiatif untuk menggalakkan para pengusaha besar mahupun kecil untuk mendapatkan sijil dan pengiktirafan.

Pelanggan pula harus saling mendidik dan memupuk kesedaran tentang kepentingan setiap pendekatan untuk menjaga maslahat, kepentingan diri, nyawa juga agama.

Melangkah ke hadapan, pensijilan halal tidak harus disikapi sebagai penguat kuasa tetapi harus menjadi ‘duta’ kepada syariah yang mementingkan kebaikan dan manfaat dalam apa yang dimakan apalagi digunakan oleh bukan sahaja umat Islam, bahkan semua manusia yang bernyawa.

Barangkali apa yang berlaku akhir-akhir ini disebabkan oleh segelintir masyarakat yang salah memilih kaca mata untuk menilai sesuatu. Jangan nanti, isu halal yang dikendong berciciran, isu politik kebencian akan membiak tanpa hujung pangkal. Nauzubillah.

Dr Hamidah Mat
Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open University Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia