Serahkan kepada yang ahlinya

Pernahkah kita terfikir, apa akan terjadi sekiranya kita dapat mendengar semua suara di dunia ini tanpa frekuensi, jarak mahupun dinding yang memisahkan? Sudah tentu kita tidak akan mengecapi ketenangan kerana setiap masa hidup dengan pelbagai bunyi.

 

Bayangkan semua makhluk dapat kita lihat, dari seseni bakteria dan kuman apalagi makhluk yang bukan bernama manusia dapat dilihat dengan penglihatan mata biasa, sungguh serabut dan sukarlah kehidupan yang dilalui.

 

Begitu jugalah dengan ilmu pengetahuan. Apabila diri seseorang mempunyai banyak ilmu tanpa dikawal, tentu otak juga akan penat dan fikiran akan terganggu kerana jutaan maklumat dan toksik yang perlu diingat tanpa tapisan. Bayangkan tiada sifat lupa itu, maka akan berjuta-juta ‘terabyte’ diperlukan untuk menyimpan segala memori yang pernah dijejaki.

 

Begitulah analogi yang boleh dikaitkan dengan isu yang hangat diperkatakan baru-baru ini tentang mengeluarkan sesuatu kenyataan daripada seseorang yang bukan ahli dalam bidang tersebut. Inilah keterbatasan yang perlu ada dalam setiap diri manusia, apalagi dalam displin ilmu yang kita miliki.

 

Tentunya hadis ini sering kita dengar:

Daripada Abu Hurairah radiallahuanhu mengatakan; Rasulullah Salallahualaihiwasallam (SAW) bersabda, “Jika amanat telah disia-siakan, tunggu saja kehancuran terjadi.” Ada seorang sahabat bertanya, “Bagaimana maksud amanat disia-siakan?” Nabi menjawab, “Jika urusan diserahkan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kehancuran itu.” [Hadis Riwayat Bukhari]

 

Sesuatu batasan akan menjadi bencana bagi seseorang yang tidak menyedari kegunaannya. Setiap saat yang timbul adalah salah faham, persepsi dan keluhan. Macam mana boleh demikian? Lihat sahaja sejauh mana pengetahuan seseorang itu terhadap sesuatu, ketika ia berusaha untuk membuat kenyataan atau kesimpulan.

 

Dalam buku Falsafah Ilmu yang ditulis oleh S. Suriasumantri (1998) mengatakan:

Suatu ketika seorang masyarakat awam bertanya kepada seorang ahli falsafah yang bijak, “Beritahu saya berapa banyak orang yang ada dalam hidup ini berdasarkan pengetahuannya?”

 

Ahli falsafah itu menarik nafas panjang dan melaungkan:

“Ada orang yang tahu dirinya tahu.

Ada orang yang tahu dirinya tidak tahu.

Ada orang yang tidak tahu dirinya tahu.

Ada orang yang tidak tahu dirinya tidak tahu.”

 

Kata-kata ahli falsafah di atas jika boleh diterjemahkan ke dalam bahasa yang mudahnya, adalah seperti berikut:

 

“Ada orang yang memahami mengikut pengetahuan mereka, ada orang yang merasa mereka memahami walaupun mereka tidak mempunyai pengetahuan atau pengetahuan mereka salah, ada orang yang gagal memahami pengetahuan mereka, dan ada orang yang gagal memahami kerana mereka kekurangan pengetahuan.”

 

Demikianlah, janganlah memandai-mandai dalam sesuatu hal yang bukan bidang kita.

 

Jangan memperbodohkan orang lain

 

Seseorang itu biasanya dipanggil berpengetahuan apabila ia dianggap mempunyai pengetahuan atau ilmu dalam sesuatu bidang tersebut.

 

Makna ilmu di sini sangat tidak terbatas kerana pengetahuan dapat diperoleh melalui pendidikan formal mehupun secara tidak formal, bahkan ia juga diperoleh melalui pergaulan, pembacaan, perbincangan, penyelidikan, perjalanan, pelbagai pengalaman hidup, termasuk dengan melayari berita atau maklumat di Internet, sehingga seseorang itu dapat meneroka ruang, waktu serta merentasi dunia tanpa sempadan.

 

Seringkali pengetahuan yang diperoleh melalui pelbagai sumber membuatkan seseorang merasa tahu dan paling benar, sehingga ia merasa berhak untuk ‘memperbodohkan’ orang lain. Apalagi jika ia telah banyak ‘follower’ atau pengikutnya di medium sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan telah dikenali dalam masyarakat sebagai orang yang berpengaruh.

 

Sebagaimana hadis riwayat al-Hakim bahawa Nabi SAW bersabda:

“Barang siapa yang memegang kuasa tentang sesuatu urusan kaum Muslimin, lalu ia memberikan suatu tugas kepada seseorang sedangkan ia mengetahui bahawa ada orang yang lebih baik daripada orang itu, dia telah mengkhianati Allah, Rasul-Nya dan kaum Muslimin.”

 

Oleh itu, kompetensi menjadi faktor utama yang perlu diperjuangkan. Hakikatnya, berdasarkan hadis tersebut, serahkan hal-hal kepada para ahli, berdasarkan kemampuan, pengetahuan mereka, bukan berdasarkan kolusi, nepotisme, imbuhan atau pembagian kedudukan.

 

Dalam situasi ini juga, selayaknya seseorang yang berilmu itu berhati-hati dalam penyampaian ilmu yang bukan bidangnya sehingga boleh mencemarkan nama baik dan reputasi yang ia miliki.

 

Lihat sahajalah dalam dunia sains, setiap saintis mempunyai kepakarannya sendiri. Namun etikanya, mereka  tidak dibenarkan meremehkan antara satu sama lain. Tidak terkecuali dalam profesyen apa pun, ada etika dan displin ilmu yang perlu diikuti.

 

Seseorang itu perlu berfikir sebelum bertindak atau melepaskan sesuatu bicara. Boleh jadi dengan apa yang kita lepaskan dalam tindakan mahupun bicara itu membuatkan orang lain terkesan kerana seakan-akan memperlekehkan apa yang dihidapinya.

 

Mengetahui batasan diri

 

Tahukah kita apa sebenarnya ciri berfikir? Menurut konteks falsafah sains, terdapat tiga ciri berfikir iaitu komprehensif, asas dan spekulatif. Pada dasarnya, perkataan ini dapat difahami dengan memulakan soalan, adakah ilmu itu benar?

 

Sama ada sesuatu ilmu itu benar atau tidak, tidaklah boleh dianggap begitu sahaja. Dan untuk menilai kebenaran ilmu, kriteria diperlukan sedangkan kriteria itu sendiri belum tentu benar.

 

Ketika makna kebenaran dipersoalkan, manusia seperti mencari jawapan dalam sebuah lingkaran. Tempat di mana soalan diajukan adalah dalam bulatan, jadi mencari jawapannya memerlukan titik permulaan dan titik akhir.

 

Cabarannya adalah, bagaimana untuk mempercayai bahawa titik itu adalah titik permulaan yang benar? Dengan kata lain, di mana-mana titik permulaan yang kemudian ditentukan, selalunya ada watak spekulatif.

 

Kualiti ketiga iaitu spekulatif ini tidak dapat dielakkan kerana sesuatu itu bermula dengan spekulasi. Di sini ia bermaksud, manusia dapat memilih titik permulaan untuk memulakan penerokaan pengetahuan. Namun, kriteria untuk apa yang benar itu mesti ditetapkan agar pengetahuan seseorang itu terus berkembang.

 

Begitu juga ketika berbicara tentang moral atau keindahan, kriteria diperlukan mengenai baik atau buruk, atau apa yang dikatakan cantik dan sebaliknya. Oleh itu, apakah intipati orang yang paling mengetahui atau pengetahuan yang benar?

 

Sebagaimana kata-kata ahli falsafah, “Ketahui apa yang dirimu tahu dan tahulah apa yang dirimu tidak tahu.”

 

Dengan itu, seseorang itu akan tahu batasan yang perlu dirinya ikuti apalagi apabila ia tidak mempunyai pengetahuan akan sesuatu perkara itu dan menyerahkan kepada yang ahlinya memberikan maklum balas.

 

Sewajarnya sesuatu batasan itu harus mendorong seseorang itu untuk berusaha mempercayai apa yang ada di depan mata, apa yang didengar oleh telinga, apa yang dijelaskan oleh pengetahuan tanpa menafikan adanya semua perkara yang berada di luar tembok pengetahuannya.

 

Dengan cara ini, pastinya seseorang itu berusaha untuk yakin tanpa merasa bangga menyampaikan sesuatu yang ia tidak tahu tentangnya.

 

Ayuh, kita jadikan pengetahuan yang ada pada diri sebagai penggera dalam kehidupan ini agar selalu terpelihara dan waspada tanpa menimbulkan rasa curiga serta persepsi yang tidak baik dalam kalangan masyarakat.

 

Solusi mudahnya, kita menyerahkan segala sesuatu bidang ilmu mahupun kepakaran kepada yang ahlinya tanpa prejudis dan mengelakkan daripada mengatakan sesuatu yang tidak diketahui. Serahkan urusan pada ahlinya dan serahkanlah jawatan kepada yang mampu dan kompeten melaksanakannya.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia