Para hadirin yang memenuhi auditorium tersebut mengikuti perkongsian menarik ucaptama YDP IKRAM Selangor, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus dan forum “Wanita & Keadilan Keluarga di Malaysia” yang telah dikupas oleh Dr Hj Mohd Na’im Hj Mokhtar, Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Selangor, dan Lt Kol (B) Haji Ahmad bin Daud, peguam syarie berpengalaman luas dalam bidang undang-undang keluarga Islam.
Program Seminar Wanita dan Syariah ini merupakan kesinambungan dari siri seminar yang dianjurkan bertujuan mengajak semua ahli masyarakat, terutamanya kaum wanita mempertingkatkan kefahaman tentang Syariah yang diturunkan sebagai rahmat kepada sekalian alam. Siri seminar telah bermula pada tahun 2011 dengan memberikan kesedaran bahawa kesejahteraan diri dan kehidupan seorang wanita akan terpelihara dalam syariah Islam.
Seterusnya pada tahun 2012, siri seminar telah dilanjutkan dengan memberikan kefahaman mengenai keluarga sebagai unit asas yang paling penting dalam pembangunan ketamadunan manusia.
Pelaksanaan program pada tahun ini diharapkan dapat mencapai hasrat murni IKRAM untuk mewujudkan “Rakan Penyokong Syariah’ yang akan bersama-sama memperjuangkan pelaksanaan perundangan Islam yang lengkap di Malaysia kerana Syariah perlu dijadikan sebagai teras kehidupan dan bukan sebagai alternatif kepada sistem yang ada di masa ini.
Kedudukan Syariah di negara ini sememangnya terkesan oleh penjajahan Tanah Melayu. Penjajahan telah meminggirkan sistem kehakiman dan undang-undang syariah yang diletakkan di bawah kuasa kerajaan negeri dengan bidang kuasa yang terhad kepada perkara-perkara berbentuk undang-undang peribadi, undang-undang keluarga dan kesalahan jenayah pemesongan akidah.
Malah keadaan ini menjadi lebih buruk dengan wujudnya perbezaan enakmen antara negeri yang menimbulkan kelemahan dari sudut pelaksanaan hukum syarak di Malaysia. Apatah lagi dari segi struktur pelaksanaannya yang mana dua institusi utama Syariah di negara ini iaitu Mahkamah Syariah dan Pejabat Agama Islam menjalankan tugas yang berasingan dan berada di bawah pentadbiran yang berbeza.
Pejabat Agama |
|
Mahkamah Syariah |
|
|
|
Selain dari itu, kedua-dua institusi Syariah ini yang mempunyai bidang kuasa yang sangat terhad juga sering dikatakan kurang cekap and professional dari segi perjalanan dan pengurusannya. Sebenarnya, di sebalik ruang lingkup kedua-dua jabatan ini yang belum dapat mewujudkan perundangan Islam yang lengkap sepenuhnya, telah banyak usaha-usaha yang dijalankan. Ini bagi membolehkan pelaksanaan undang-undang keluarga Islam dijalankan dengan baik di negara ini.
Banyak pembaharuan telah dibuat oleh pihak berkuasa agama di peringkat Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri selaras dengan perkembangan masyarakat Islam di negara ini. Dari masa ke semasa beberapa pindaan turut dilakukan oleh Badan Perundangan Negeri selaras dengan kepentingan dan kebaikan masyarakat sejauh yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Usaha-usaha untuk menyelaraskan pentadbiran undang-undang Islam di negeri-negeri sedang dan terus dijalankan. Malah, ramai di antara kita mungkin tidak menyedari kewujudan program dan bentuk sokongan keluarga Islam yang telah diadakan.
Atas kesedaran inilah, IKRAM mengambil inisiatif mengadakan Siri Seminar Wanita dan Syariah. Antara objektifnya ialah untuk berkongsi maklumat mengenai perkembangan-perkembangan yang berlaku. Selain ini ia turut menjadi platform untuk memaparkan usaha-usaha yang telah dijalankan terutamanya kemudahan dan program berbentuk sokongan keluarga Islam yang wujud. Kemudahan yang ada adalah untuk dimanfaatkan oleh ummah di samping dapat memulihkan kembali imej kedua-dua institusi penting undang-undang Islam di negara ini.
Dalam menghadapi isu penguatkuasaan penghakiman yang telah dibuat Mahkamah Syariah umpamanya, Dr Hj Mohd Naim yang merupakan Pengarah, Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) menegaskan pihak-pihak yang menuntut perlu merujuk semula kepada mahkamah jika perintah atau penghakiman tidak dipatuhi untuk mendapatkan perintah penguatkuasaan dan pelaksanaan.
Menurut beliau terdapat lebih 12,800 penghakiman mahkamah dari tahun 2000 yang tidak dilaksanakan. Tegas beliau lagi, pihak menuntut tidak boleh menunggu sahaja kerana hakikatnya mereka harus kembali ke mahkamah untuk memaklumkan tentang penghakiman yang tidak dipatuhi. Bukan sahaja untuk memastikan penghakiman dipatuhi dan yang mempunyai hak mendapatkan hak mereka tetapi sebenarnya membantu pihak yang menzalimi atau mengingkari agar tidak terus menzalimi.
Bantuan dan khidmat nasihat juga boleh diperolehi dari BSK, sebuah unit baru di bawah Mahkamah Syariah, yang sehingga kini berjaya mengutip lebih RM2 juta dari tuntutan-tuntutan penghakiman yang tidak dipatuhi. Beliau turut menegaskan agar yang menuntut tidak perlu bimbang dari segi waktu atau tempoh. Berbanding Mahkamah Sivil yang dibatasi waktu enam tahun selepas perintah asal dijatuhkan untuk mendapatkan perintah penguatkuasaan, tuntutan perintah Mahkamah Syariah tidak mempunyai limitasi waktu.
Dari segi membuat tuntutan pula, Lt Kol (B) Haji Ahmad menyatakan perlunya pihak yang menuntut benar-benar tahu apa yang hendak dituntut. Memang boleh menuntut hak tetapi sebelum berbuat demikian, pihak yang menuntut perlu tahu tentang;
1. Di mana tuntutan boleh dibuat. Bagi tuntutan dibawah RM20 ribu umpamanya, tuntutan dibuat di Mahkamah Rendah Syariah.
2. Alasan-alasan yang digunakan untuk membuat tuntutan mestilah boleh dibuktikan
a) Ada saksi contohnya anak atau ibu yang dapat membuktikan alasan-alasan yang dikemukakan. Saksi mestilah memang mengetahui cerita sebenar dan tidak hanya sekadar mengetahui cerita dari yang membuat tuntutan
b) Terdapat dokumen-dokumen yang berkaitan contohnya Sijil Kahwin untuk membuktikan wujudnya perkahwinan
3. Tidak ada fakta yang disembunyikan atau pembohongan dilakukan
Menurutnya lagi, banyak di antara kes-kes yang tertangguh sebenarnya berpunca dari kepincangan maklumat yang diberikan pihak yang menuntut sendiri. Pesan beliau, dalam membuat tuntutan, memang banyak cabaran yang perlu dihadapi untuk mendapatkan maklumat yang tepat untuk membuat tuntutan.
Pihak yang ingin membuat tuntutan tidak boleh berputus asa. Sekiranya tuntutan gagal, buatlah rayuan. Sekiranya ada peguam yang sudah mengambil kes tuntutan tidak melaksanakan tugas mereka, aduan boleh dibuat kepada Jawatankuasa Peguam Syarie. Nasihat beliau lagi, apabila membuat tuntutan, untuk tidak membuka ruang kes tertangguh, penuntut diminta tidak emosi dan mesti cerita fakta kes yang sebenar serta dapatkan alamat terkini pihak dituntut yang tepat.
Menjawab soalan seorang peserta berkenaan isteri yang nusyuz, Dr Hj Mohd Naim menjelaskan bahawa mana-mana suami yang hendak isytihar isteri nusyuz, mestilah terlebih dahulu membuat permohonan di mahkamah untuk failkan kes. Mahkamah yang akan menentukan samada nusyuz berlaku atau sebaliknya.
Tambah beliau lagi, apabila salah seorang pasangan di dalam sebuah perkahwinan keluar dari Islam, perkahwinan tidak serta merta bubar. Bagi membubarkan perkahwinan tersebut, permohonan perlu di”fail”kan. Tegas beliau, hak menentukan nusyuz dan membubarkan perkahwinan terletak pada Hakim Mahkamah Syariah.
Seminar Wanita dan Syariah pada tahun ini sememangnya sarat dengan ilmu. Mudah-mudahan pendedahan dari para ilmuwan yang menjayakannya dapat mengurangkan salah fahaman terhadap kebaikan melaksanakan Syariah dan menangkis tohmahan negative tentang keluarga Islam.
Sama-samalah kita terus menyokong usaha-usaha ke arah pelaksanaan sistem kehakiman dan undang-undang Syariah yang lengkap di Malaysia. Memetik kata-kata Prof Madya Dr Roohaida Othman (Ketua Wanita IKRAM Negeri Selangor):
“Keindahan Islam itu akan terserlah apabila keseluruhan ajarannya dilaksanakan dalam kehidupan kerana tiada kesulitan dalam pelaksanaannya sebagaimana ayat Quran dalam Surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud: “Allah menghendaki kemudahan, tidak menghendaki kesukaran bagimu”.