BANDAR BARU BANGI – Wanita IKRAM Selangor memperkenalkan flipchart 1000 Hari Pertama Kehidupan yang mengandungi lima bab sebagai panduan mengenai fasa kritikal perkembangan anak.
Ini termasuk panduan penjagaan prakehamilan, penyusuan susu ibu, pemakanan bayi dan kanak-kanak berusia 0 hingga 23 bulan, serta pemantauan pertumbuhan anak.
Carta selak itu diperkenalkan ketika “Seminar Flipchart 1000 Hari Pertama Kehidupan: Maklumat Tepat untuk Tumbesaran Sihat Kanak-Kanak” yang dirasmikan Timbalan Pengarah (Pemakanan), Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Puan Zaiton Haji Daud.
Beliau berkata, penjagaan anak dalam 1000 hari pertama kehidupan adalah sangat penting bagi memastikan mereka membesar secara sempurna dan berdaya tahan, di samping mengurangkan morbiditi, ketidakupayaan serta kematian kanak-kanak yang boleh dicegah.
“Penganjuran seminar ini selari dengan visi Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membangunkan generasi yang sihat melalui program pemakanan yang berkesan serta kerjasama antara agensi dan penglibatan aktif masyarakat,” ujarnya.
Seminar tersebut dianjurkan Wanita IKRAM Selangor dengan kerjasama IKRAM Health dan Malaysian Nurses Association (MNA) Cawangan Negeri Selangor pada Sabtu, 17 Januari lalu, yang dihadiri hampir 30 peserta, terdiri daripada petugas kesihatan sektor kerajaan dan swasta, pengusaha tadika, ibu bapa muda serta pelajar.
Menariknya, seminar ini menampilkan barisan pakar pelbagai disiplin, termasuk pakar pemakanan, pakar obstetrik dan ginekologi, serta pakar pediatrik, dengan pendekatan berfasa dan berstruktur.
Pendekatan ini membolehkan peserta memahami kesinambungan penjagaan kesihatan ibu dan anak, serta mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam persekitaran keluarga, institusi pendidikan awal dan perkhidmatan kesihatan.
Hadir menyerikan majlis adalah Ketua Wanita IKRAM Selangor, Prof. Dr. Norhasmah Sulaiman, merangkap Pensyarah Pemakanan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Turut bersama Pengarah Seminar, Dr. Wardah Mustafa Din, yang juga Ahli Jawatankuasa Advokasi Wanita iKRAM Selangor dan Caroline @ Barbara Peter Nari, daripada Persatuan Jururawat Malaysia (MNA) Cawangan Selangor.
Orang awam dan petugas kesihatan yang berminat untuk mendapatkan flipchart 1000 Hari Pertama Kehidupan ini dengan menghubungi Wanita IKRAM Selangor melalui laman Facebook rasmi atau Instagram pada harga RM69 senaskhah.




