Seminar anjuran IKRAM Hulu Selangor, Hidayah Centre Hulu Selangor, Masjid As-Salam Bukit Beruntung dan Majlis Agama Islam Negeri Selangor (MAIS) ini telah dihadiri oleh kira-kira 80 peserta yang terdiri daripada generasi pendakwah pelatih muda dari Pusat Dakwah Serantau (PDS) Yayasan Amal, saudara baru bekas penganut Kristian, Hindu dan Buddha serta individu yang berminat menjalankan usaha dakwah.
Para peserta dibimbing dengan ilmu aspek asas kepercayaan dan amalan masyarakat non-Muslim di Malaysia, kesedaran dan semangat berdakwah dan teknik asas berdakwah untuk memberi keyakinan diri menjawab persoalan ketika berdakwah.
Ustaz Romzi, Cikgu Kamarul Zaman dan Bro Lim Joi Soon
Seminar dirasmikan oleh Ustaz Muhammad Romzi Abdullah Sani mewakili MAIS, yang amat mengalu-alukan peranan pihak NGO mengadakan seminar ini supaya dapat melahirkan lebih ramai pendakwah bagi membantu menyokong usaha pihak MAIS menyampaikan risalah dakwah Islam dengan lebih berkesan.
Beberapa slot ceramah telah diatur, yang disampaikan oleh pendakwah-pendakwah pakar yang sangat berpengalaman dalam menjalankan kerja-kerja dakwah kepada rakan bukan Islam.
Penceramah tersebut adalah Cikgu Kamarul Zaman Noor Muhammad (Kewajipan Berdakwah, Bible Study), Bro Lim Joi Soon (Salah Faham Terhadap Islam, Kepercayaan dan Amalan Cina), Ustaz Mohammed Amin Yaacob (Kepercayan Agama Kristian), Ustaz Muhammad Fitri Abdullah (Kepercayaan Masyarakat Hindu), Puan Munirah (Teknik-Teknik Berdakwah) dan Puan Hanita Rahim (Perkongsian Dakwah).
Ustaz Fitri, Ustaz Amin dan Puan Munirah
“Tugas berdakwah adalah tugas Kita. Namun yang lebih tepat adalah tugas Saya”. Begitulah yang diperkatakan oleh Pengarah Seminar, Cikgu Kamarul Zaman dalam pembentangannya. Menurutnya, setiap individu perlu mengambil tanggungjawab memulakan usaha dakwah dan bukan menunggu orang lain.
Menurut Rizwan, salah seorang peserta dari PDS, beliau berazam untuk berdakwah kepada masyarakat kampungnya apabila pulang ke Sarawak nanti. Jamel, dari Perkim, berazam membentuk kumpulan street dakwah secepat mungkin di tempatnya dengan kemahiran yang diperolehi dalam seminar ini.
Pada petang hari kedua seminar, satu sesi street dakwah secara praktikal dilakukan di mana peserta ditugaskan berdakwah menggunakan teknik-teknik yang dipelajari di sepanjang seminar. Peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil untuk berdakwah kepada bukan Islam secara rawak di beberapa lokasi pusat membeli belah di sekitar Hulu Selangor.
Seminar dan street dakwah
Hasilnya, lebih 135 orang bukan Islam telah ditemui bagi mendapatkan maklumbalas mereka tentang Islam. Ramai di antara mereka menunjukkan keterbukaan mereka terhadap Islam dan ada yang bersedia atau berminat menerima maklumat lanjut tentang Islam. Lebih bermakna, seorang warga asing yang telah kembali fitrah dengan melafazkan syahadah di Batang Kali.
Seminar ditutup secara rasmi oleh Ustaz Faruk Faisal, Penyelaras Masjid dan Surau Hulu Selangor mewakili pihak JAIS. YDP IKRAM Hulu Selangor, Ustaz Dr Azhar Muhammad Zailaini turut hadir dalam perasmian penutup tersebut.
Dalam ucapan penutup, Ustaz Faruk berkata, dakwah adalah pekerjaan mulia kerana ia adalah kerja para Nabi dan konsep dakwah perlu diperluaskan dengan idea yang kreatif. Beliau percaya generasi muda boleh memainkan peranan utama dalam usaha dakwah masa kini.
Menurutnya, pendakwah mestilah mempunyai kefahaman Islam yang jelas dan juga menguasai penyampaian Islam dengan bahasa yang baik bagi memikat hati rakan bukan Islam .
Semoga peserta mendapat manfaat dan terus berdakwah selepas seminar ini dengan saranan mulia daripada al-Quran:
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang- orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah).” (Fussilat: 33)
Sumber: http://ikram-hs.blogspot.com/2014/02/seminar-ddmm-di-pulapol-bukit-sentosa.html#more