Seminar tersebut telah dirasmikan Ustaz Jamali Mohd Adnan, Ketua Penolong Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diikuti dengan pelancaran “2014 Tahun Solidariti Bersama Rakyat Palestin” sepertimana yang telah diisytiharkan PBB pada 25 November tahun lalu.
Majlis pelancaran diserikan dengan deklamasi sajak oleh Saudara Amin yang bertajuk “Palestin Itu Jauh Dari Kita” dan Dr Tengku Shahrom dengan sajak yang bertajuk “Gaza Itu Memanggilmu!” karangan Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Sidang media turut diadakan sempena pelancaran tersebut di samping seruan supaya seluruh rakyat Malaysia terus membantu dan berjuang membebaskan rakyat Palestin daripada cengkaman Zionis.
Aqsa Syarif juga akan mengadakan persidangan antarabangsa melibatkan hampir keseluruhan pertubuhan pembebasan Palestin seluruh dunia di ibu negara pada Mei depan bagi menunjukkan bahawa Malaysia sangat komited dalam isu pembebasan Palestin.
Seminar AQSA 2014 sarat dengan pelbagai pendedahan dan kajian ilmiah berkisar tentang Perang Dunia Pertama, kesannya terhadap kemerosotan Empayar Uthmaniyyah serta penjajahan Palestin oleh Zionis, peranan Amerika serta rundingan demi rundingan damai yang tidak berkesudahan.
Dalam ucapan Pengerusi Aqsa Syarif, Dr Hafidzi Mohd Noor yang bertajuk “The Centennial of Jihad Akbar Fardhu Ain (1914-2014)”, beliau berkata bahawa umat Islam perlu cakna tentang Perang Dunia Pertama untuk memberi motivasi dalam memperjuangkan Al-Aqsa.
“Ketika Perang Dunia Pertama yang melibatkan kuasa-kuasa Barat dan kuasa Empayar Uthmaniyyah, kuasa Barat mengisytiharkan perang walhal Uthmaniyyah mengisytiharkan jihad.
Namun, Israel lebih bersifat kejam dan kurang ajar dengan menindas Palestin tanpa apa-apa pengisytiharan perang.”
Tambahnya, daripada Perang Dunia Pertama, dua blok telah wujud iaitu blok Sekutu (Alliance) yang yang dikawal oleh Britain, Russia dan Perancis, dan blok Kuasa Tengah (Centre Power) yang dikawal oleh Jerman, Hungary, Russia dan Uthmaniyyah.
Empayar Uthmaniyyah merudum pada 1798-1802 dan kawasannya kemudian diambil oleh kuasa-kuasa Barat silih berganti. Pada tahun 1875, hanya 40% sahaja yang kawasan dimiliki Uthmaniyyah.
“Sebab itu kuasa Barat boleh dan dapat menguasai di sana. Akan tetapi mereka tetap tidak berpatah arang dan berusaha mempertahankan Islam sehingga ke titisan darah terakhir.”
Dr Hafidzi turut mendedahkan, pada tahun 1919, Faisal Hussein iaitu anak kepada Hussein bin Ali yang menjaga Mekah dan berketurunan Bani Hasyim bersama-sama dengan T.E. Lawrence untuk menjatuhkan Khilafah Uthmaniyyah dengan semangat nasionalisme Arab.
“Beliau juga berjumpa dan bersengkokol dengan Chaim Weizmann seorang pemimpin gerakan Zionis,” dedahnya lagi.
Katanya, PBB telah mengisytiharkan ulangtahun yang ke-100 solidariti Palestin di mana Britain juga mengisytiharkan ulangtahun ke-100 Perang Dunia Pertama.
“Oleh itu, sempena menyambut solidariti bersama Palestin, perlulah kita sebagai umat bersama-sama berjuang dan membantu atas dasar kemanusiaan dan persaudaraan sesama Islam,” jelasnya.
Turut membentangkan dalam seminar ini ialah Dr Afandi Salleh, Timbalan Dekan Fakulti Undang-Undang UNISZA dengan tajuk “The Role of Christian Movement in US-Israel Special Relationship”.
Katanya, Amerika memerlukan “special relationship” dengan Israel walaupun dari sudut moralnya jatuh mendadak disebabkan kebencian penduduk dunia kepada Amerika dan Israel berdasarkan faktor-faktor berikut:
1) Geopolitik/keselamatan – memperluaskan kuasa Amerika dan Israel di Timur Tengah.
2) Minyak – perlu menjalin hubungan dengan Israel untuk kepentingan ekonomi Amerika.
3) Kuasa lunak (soft power factor) – kumpulan yang berkepentingan.
Tambahnya, seperti mana umat Islam di Malaysia mempercayai bahawa Palestin adalah sebahagian daripada kepercayaan mereka, begitu juga dengan “American Christian” yang menyokong Israel disebabkan keimanan kepada agama mereka.
Dr Tahir Abdul Rahman (Felo PACE) pula membentangkan tajuk “Framework for Peace: The Last Nail in the Coffin?”
Katanya, kononnya “perdamaian” adalah kata kunci untuk menamatkan konflik antara Palestin-Israel setelah berabad lamanya seperti objektif mana-mana rundingan damai adalah untuk mencapai perdamaian.
“Malangnya, rundingan damai Palestin-Israel contohnya perjanjian Oslo 1993 hanya menangguhkan ‘contentious issue’ dan sengaja mengelak untuk merundingkan apa yang tidak boleh dirunding (avoid negotiating the non-negotiables) malahan dicanang oleh Israel bahawa ianya adalah perjanjian win-win situation,” jelasnya.
Tambahnya, perjanjian damai hasil daripada kepura-puraan AS, Israel dan Fatah selama 20 tahun sering mengulang-ulang pelbagai inisiatif yang diberi nama muluk-muluk (Roadmap, Declaration of Principle, Two State Solution) yang hakikatnya adalah perkara yang sama, menghasilkan hasil yang sama, iaitu kegagalan mencapai perdamaian.
Jelasnya, “Framework for peace” adalah sekuel rundingan damai yang diketengahkan oleh Barack Obama melalui Setiausaha Negaranya, John Kerry.
Terdapat tujuh syarat yang diletakkan di atas meja perundingan di mana John Kerry mensasarkan 4 Mei 2014 sebagai tarikh akhir untuk kedua-dua pihak menerima syarat tersebut iaitu:
1) Demilitiraziation of Palestine – Palestin tidak boleh ada hak ketenteraan.
2) AS akan memantau proses demilitiraziation tersebut.
3) Israel akan kekalkan pasukan keselamatannya di sepanjang sempadan Tebing Barat-Jordan.
4) Rondaan bersama Israel-PA di sempadan pintu masuk Jordan-Tebing Barat
5) Pemasangan sistem amaran awal keselamatan (early warning system) di sepanjang sempadan Tebing Barat-Jordan
6) Gaza dikecualikan dalam “Framework for Peace”
7) Kesemua syarat ini adalah dengan syarat semua penempatan Yahudi di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur akan terus dikuasai oleh Israel
Menurut Dr Tahir, “Framework for Peace” ini mendapat kecaman daripada Prof Richard Falk, pakar undang-undang antarabangsa dari Princeton University. Beliau menggunakan istilah creeping annexation (aneksasi beransur-ansur) di Tebing Barat, ethnic cleansing (penghapusan etnik) di Baitul Maqdis Timur dan politics of fragmentation (politik pemecahan) untuk membongkar persengkokolan AS-Israel bahkan Fatah (PA) untuk menjayakan “Framework for Peace”.
Tambahnya, syarat-syarat yang ditetapkan jelas berat sebelah dan pasti menyumbang ke arah kegagalan untuk mencapai perdamaian.
“Sudah tiba masanya Palestin mengambil langkah penentangan berbanding perjanjian damai yang palsu,” tegas Dr Tahir.
Berkenaan hala tuju Palestin, Dr Hafidzi berkata, selagi Hamas bertahan di Gaza, maka selama itulah “Final Status” seperti yang dikehendaki AS dan Israel tidak akan terlaksana.
“Fatah tidak akan menentukan hala tuju atau kesudahan kepada konflik Palestin-Israel, sebaliknya Hamas yang akan menjadi kuasa penentu.
Satu senario yang mungkin ialah Fatah terpaksa bergabung dengan Hamas demi mempertahankan ‘Palestine National Constant’,” ujarnya.
Seminar tersebut berakhir dengan satu resolusi bersama iaitu:
“Ahli Seminar AQSA 2014 berganding bahu menjayakan kempen Tahun Solidariti Dunia Bersama Rakyat Palestin.”
Rata-rata peserta sangat berpuas hati dengan seminar ini yang banyak membuka minda dan memberi pencerahan yang sebenar yang selama ini terlalu mengikut naratif-naratif Barat di samping mendedahkan perkara sebenar serta situasi terkini yang berlaku di Palestin.
Semoga seminar sebegini diperbanyakkan lagi untuk menambahkan lagi ilmu, kesedaran dan usaha dalam perjuangan membebaskan bumi Palestin yang telah dijanjikan kemenangannya, insya-Allah.
Sumber: FB PACE – https://www.facebook.com/palestinecentreofexcellence