Dalam perutusan sempena Ramadan 1436 Hijrah, beliau menyatakan bahawa kesedaran berdakwah kepada yang belum Islam masih rendah di Malaysia, hatta dalam kalangan pendakwah masih kurang melakukannya.
Beliau memetik surah Fussilat ayat 33 mengenai dakwah sebagai perkataan terbaik, yang bermaksud:
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang salih, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah daripada orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah).”
Tambah beliau, Rasulullah ﷺ sentiasa menyampaikan dan berusaha menarik semua manusia di sekeliling baginda sehingga semuanya memeluk Islam.
“Hakikatnya baginda Rasulullah ﷺ meninggalkan dunia ini dengan semua manusia di sekeliling baginda telah memeluk agama Islam.
“Bermula dengan hanya diri baginda ﷺ, berakhir dengan tidak ada lagi orang bukan Islam di Mekah dan Madinah,” jelas beliau.
Menurut Nicholas yang juga penerima Augerah Khas Maal Hijrah 1435 Peringkat Wilayah Persekutuan, sejarah menunjukkan bahawa semua orang yang dapat dicapai oleh Rasulullah ﷺ telah dicapai dengan mesej Islam oleh baginda dan para sahabat.
“Yang dekat disantuni dan disampaikan terus risalah Islam kepada mereka, yang jauh seperti Najasyi, Heraclius, Kisra, hatta di negara China dihantar utusan kepada mereka oleh Rasulullah ﷺ dan para sahabat,” ujar beliau.
Katanya lagi, kesedaran berdakwah kepada yang belum Islam ini sebenarnya seharusnya timbul daripada kecintaan kita kepada Allah ﷻ. Ini kerana, jika kita cinta Allah, maka kita pasti cinta kepada Rasul-Nya ﷺ.
Beliau turut memetik surah Ali Imran ayat 31 mengenai cinta Allah, iaitu:
Katakanlah, “Jika kamu mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah akan mencintai kamu, dan mengampuni kamu akan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Mengampuni lagi Maha Mengasihani”.
Sumber: http://bit.ly/1Lk9NqF