Semarak kesihatan, kebajikan era Malaysia Baharu

Ini merupakan suatu inisiatif yang tepat dan berani yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam usaha negara menuju sebuah negara bebas asap rokok menjelang tahun 2045, setelah tertangguh sekian lama lantaran halangan dan tentangan tertentu.

Pewartaan ini sebenarnya memberikan nafas baru bagi mereka yang mahu menjauhi bahaya asap rokok, kerana ia mengembalikan norma masyarakat agar sesuatu yang buruk itu dihindari dan yang baik diperkasakan.

Umum mengetahui betapa terseksanya pihak yang tidak merokok sebelum ini yang sentiasa terpaksa ‘beralah’ dan beralih tempat apabila berdepan dengan mereka yang merokok dalam premis umum seperti restoran tanpa mempedulikan orang di sekeliling.

Malah tidak pelik sebelum ini, ada pula si bapa yang dengan tidak berasa apa-apa pun bersenangan menghisap rokok sedangkan di meja yang sama terdapat anak-anaknya sendiri yang kecil termasuk bayi sedangkan bahaya rokok terhadap kesihatan dan keselesaan umum sudah jelas maklum.

Sebenarnya kejayaan pewartaan ini bukan hanya dengan penguatkuasaan oleh pihak berwajib sahaja, malah hendaklah disertakan oleh pendidikan dan pemupukan kesedaran dalam masyarakat terhadap bahaya rokok, dan menghormati hak orang lain.

Setiap kita hendaklah mengambil peranan yang proaktif dalam membentuk sikap masyarakat dan perokok, dengan menyemarakkan kesedaran mengenai bahaya rokok dan juga undang-undang mengenainya.

Pengusaha restoran hendaklah lebih berani menegaskan larangan merokok dalam premis mereka dan para perokok juga hendaklah lebih bertanggungjawab untuk mengasingkan diri daripada khalayak sekiranya tetap mahu merokok. Budaya menghormati hak sesama warga ini harus sentiasa dipupuk dan diraikan.

Pertubuhan IKRAM Malaysia, dan Yayasan Ikram Malaysia sebagai institusi khidmat masyarakatnya, akan terus menyokong kempen Malaysia yang bebas asap rokok dan sihat dengan usaha-usaha advokasi yang dijalankannya.

Khususnya di Selangor, kempen Selangor Bebas Asap Rokok (SelBAR) akan terus disemarakkan dengan memberikan penerangan kepada umum dari perspektif kesihatan, di samping meningkatkan kecelikan terhadap penguatkuasaan undang-undang ini ke restoran-restoran di seluruh negeri melalui brosur, poster dan bunting. Kempen ini akan turut digerakkan di negeri-negeri lain juga.

Selain daripada isu larangan merokok, kedatangan tahun baharu 2019 ini juga memaparkan pelbagai cabaran bagi semua pihak yang terlibat dengan kebajikan masyarakat. Kos sara hidup yang semakin meningkat akan terus menghimpit golongan berpendapatan rendah terutamanya dalam kalangan miskin bandar dan gelandangan.

Inisiatif membantu mereka bukan sahaja perlu dalam bentuk pemberian bantuan bagi menampung sara hidup, tetapi yang lebih penting ialah penggubalan polisi negara yang lebih manusiawi dan tidak semata-mata berpaksi kepada pencapaian kebendaan semata-mata. Ini termasuk akses kepada kediaman yang mampu milik atau mampu sewa serta sistem pengangkutan awam yang berpatutan kosnya.

Di samping itu juga, pembangunan anak-anak daripada keluarga golongan ini harus tidak diabaikan agar mereka dapat turut mencapai kemandirian sosial dan keluar daripada kitaran kemiskinan ini, terutamanya melalui akses kepada pendidikan yang baik.

Satu lagi perkara yang seharusnya diberikan perhatian dalam tahun 2019 ialah kesedaran masyarakat terhadap hak-hak orang kelainan upaya (OKU). Warga OKU bukan hanya perlu diberikan simpati dan dibantu dalam kehidupan, tetapi lebih penting lagi mereka hendaklah diperkasakan agar dapat menjadi mandiri dan bebas daripada pergantungan terhadap yang lain.

Kemudahan umum hendaklah direka bentuk mengambil kira warga OKU dengan melakukan penyesuaian yang perlu. Mereka hendaklah mendapat akses kepada setiap peluang untuk meningkatkan diri mereka, baik dari segi pendidikan mahupun pekerjaan, kerana itu merupakan hak mereka sama seperti insan lain. Persepsi terhadap OKU hendaklah diubah daripada orang kurang upaya kepada orang kelainan atau kepelbagaian upaya.

Semoga tahun 2019 ini akan membuahkan Malaysia Baharu yang lebih penyayang dan berkebajikan, dengan warga yang sentiasa bersedia untuk saling bantu membantu dan menyumbang bakti, bersemarak dengan semangat kesukarelawanan. Pertubuhan IKRAM Malaysia dan Yayasan Ikram Malaysia, akan terus mengorak langkah menyumbang ke arah mencapai objektif ini, insya-Allah.

Perutusan Tahun Baru 2019
Prof Madya Hj Ainullotfi Abdul Latif
Ketua Kluster Kebajikan dan Khidmat Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia