Semangat Kejiranan Semakin Pupus?

Semangat Kejiranan Semakin Pupus? | IKRAM

Seikat bak sirih, serumpun bak serai. Jiran bagaikan adik beradik, bagaikan saudara terdekat. Cubit paha kiri, paha kanan terasa juga.

Susah senang bersama, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Ke gunung sama didaki ke lurah sama dituruni, membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh.

Dalam hidup berjiran, kita tidak mahu hidup mementingkan diri sendiri bagaikan enau melepaskan pucuk masing-masing. Sikap individualistik akan menggugat keharmonian hidup bermasyarakat. Bersikap hidung tinggi juga dapat merenggangkan hubungan sesama insan.

Kejiranan didefinisikan sebagai hubungan erat dalam kalangan masyarakat yang hidup berbaik-baik, bertolak ansur, tolong-menolong dan bekerjasama dengan jiran tetangga.

Jiran ialah orang yang tinggal berdekatan dengan rumah kita. Masyarakat yang mengamalkan sikap kejiranan dapat mewujudkan suasana harmoni dan aman.

Hubungan kejiranan bagaikan isi dengan kuku, umpama dakwat dan kertas mencetuskan toleransi dan keharmonian hidup. Hal ini juga membantu negara dalam usaha membangun dan memajukan negara kita. Peranan setiap individu terhadap jiran adalah sangat penting.

Jiran merupakan tetangga atau jiran tetangga yang tinggal sebelah menyebelah dan berdekatan dengan kediaman kita. Jiran juga bukan sekadar yang tinggal di sebelah kedua- dua rumah kita, tetapi orang yang tinggal berdekatan dengan rumah kita sama ada di kanan, kiri, depan, belakang, tingkat atas, tingkat bawah hingga 40 buah rumah dari setiap sudut. 

Sejak zaman berzaman manusia secara fitrah hidup bermasyarakat dan berkelompok kerana setiap orang saling memerlukan dalam menjalani kehidupan.

Hidup berjiran juga merupakan amalan mulia serta memberi manfaat kepada manusia. Dalam hidup berjiran, mestilah saling mengenali antara satu sama lain dan berbuat baik sesama mereka. Hakikatnya Allah SWT sendiri memerintahkan umat Islam supaya saling berbuat baik dengan jiran tetangga.

Justeru, masyarakat perlu menghayati tentang suruhan agama supaya memelihara hubungan kejiranan sebagai satu cara ke arah perpaduan ummah. Tambahan pula, mana- mana kawasan perumahan kebanyakannya dihuni penduduk pelbagai kaum.

Kategori Jiran

Nabi SAW telah menyatakan dalam hadisnya bahawa jiran tetangga mempunyai tiga kategori iaitu:

1. Jiran Muslim yang ada hubungan kekeluargaan baginya, maka dia mempunyai tiga hak iaitu sebagai jiran, keluarga (kerabat) dan seorang Muslim.

2. Jiran Muslim yang mempunyai dua hak, iaitu sebagai hak jiran dan hak seorang Muslim.

3. Jiran bukan Islam, yang mempunyai satu hak iaitu sebagai hak jiran.

Hadis Nabi SAW juga banyak yang memberi penekanan kepada jiran, antaranya hadis baginda yang bermaksud, “Sesiapa beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia menghormati tetamunya. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berkata yang baik dan hendaklah ia diam.” (HR Muslim)

Adab Berjiran

Begitulah tingginya kedudukan jiran dari sudut pandangan Islam. Maka Islam menganjurkan adab- adab yang baik dalam kehidupan berjiran iaitu:

1. Sentiasa mewujudkan suasana kemesraan melalui usaha kenal-mengenal dan hormat- menghormati antara satu sama lain.

Mulakan salam dan senyuman jika bertemu sesama Muslim atau ucapan penghormatan yang baik jika bertemu dengan bukan Muslim. Hendaklah sentiasa bertoleransi yang melibatkan urusan keagamaan, adat resam, budaya, cara hidup dan lain-lain lagi.

2. Tidak menyakiti mereka sama ada melalui perkataan, perbuatan atau sekadar bersangka buruk.

Jiran yang tidak berakhlak terhadap sesama jiran seperti menganiaya, mengumpat, sehingga ia tergamak melakukan kejahatan dan kedurjanaan yang menimbulkan ketakutan dan kegerunan kepada insan lain.

Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud, “Demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman”. Sahabat bertanya, “Siapakah (yang tidak beriman itu) ya Rasulullah?” Rasulullah SAW menjawab, “Orang yang menyebabkan jirannya tidak merasa aman (selamat dan tenteram) lantaran kejahatannya.” (HR Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang lain dinyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tidak masuk syurga sesiapa yang jirannya tidak merasa aman (selamat dan tenteram) lantaran kejahatannya.” (HR Muslim)

3. Tidak membina bangunan yang tinggi sehingga menutup laluan angin ke dalam rumahnya.

Jangan menyusahkan mereka seperti meletakkan sesuatu yang boleh menghalang laluan ke rumah mereka kecuali setelah mendapat restu dan izin daripadanya.

Sepertimana yang disebut dalam hadis, Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Demi Allah, sesungguhnya mereka yang membuatkan jiran tetangga tidak selesa dan tidak aman dengan gangguan yang mereka lakukan, mereka itu adalah orang yang tidak sempurna imannya.” (HR Muslim)

4. Sentiasa berusaha mewujudkan suasana aman, damai, tenteram, sejahtera dan ceria dalam kehidupan berjiran. Faktor inilah juga yang menyebabkan Rasulullah SAW menyatakan bahawa antara rukun-rukun kebahagiaan ialah ‘jiran yang baik’.

Hidupkan Semangat Kejiranan

Kemuncak hubungan kejiranan yang baik adalah apabila sanggup mengetepikan kesenangan dan kerehatan diri semata-mata untuk membantu jiran pada masa diperlukan.

Jiran adalah orang yang paling dekat untuk meminta pertolongan pada saat kita ditimpa bencana atau musibah seperti kebakaran, kecurian, kemalangan dan kematian.

Pertolongan seperti ini amat diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak-pihak berwajib atas sanak-saudara.

Pengorbanan seumpama ini sememangnya tidak mudah dilupakan oleh sesiapa pun apatah lagi jiran yang terdekat. Semakin kerap kita menolong jiran maka pada masa yang sama semakin kuat pula ikatan kejiranan.

Dengan sebab itu, amalan menolong jiran adalah amalan yang paling berkesan dalam mengekalkan hubungan kejiranan yang baik sekalipun telah berpindah rumah.

Seharusnya amalan ini dilakukan oleh setiap daripada kita. Kita juga haruslah mengamalkan amalan bertegur sapa sesama jiran yang menjadi titik permulaan terjalinnya hubungan yang erat dan mesra.

Membiasakan diri bertanya khabar dan kesihatan diri serta anak-anak jiran dapat menjadi penghubung kepada amalan bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman sesama jiran apabila ditimpa masalah atau kesulitan yang akhirnya memberi jalan penyelesaian kepada kesejahteraan dan kebahagiaan hidup.

Oleh itu, amalan bertegur sapa perlu dilakukan oleh setiap orang dan menjadi syarat utama dalam membentuk hubungan akrab sesama jiran.

Kita sepatutnya meluangkan masa untuk berkunjung ke rumah jiran yang dapat mengeratkan dan menghidupkan lagi semangat hidup berjiran. Kita akan lebih mengenali jiran apabila berkunjung atau menziarahinya.

Hal ini kerana, peluang masa berbicara yang lebih panjang dan suasana rumah yang lebih tenteram memungkinkan kita mengenali dan menyelami suka dan duka jiran secara lebih dekat.

Namun demikian, kita perlulah pandai memilih waktu yang sesuai agar kunjungan kita itu tidak menganggu waktu rehat mereka yang boleh mengakibatkan kesan yang negatif pula. 

Sekurang-kurangnya amalan berkunjung ke rumah jiran dilakukan pada hujung minggu atau sempena hari-hari perayaan tertentu. Jiran yang baik ialah jiran yang berjaya memupuk semangat toleransi, percaya mempercayai dan perkongsian pendapat antara mereka.

Selain itu, mengadakan aktiviti bergotong-royong membersihkan kawasan kampung, masjid, balai raya, longkang dan sebagainya ataupun membaiki rumah atau jambatan akibat bencana alam seperti banjir, ribut, kebakaran dan sebagainya sememangnya dapat memupuk dan meyemai hubungan baik dan semangat kejiranan.

Aktiviti bergotong-royong ini dapat menyatupadukan penduduk setempat kepada satu tujuan yang murni seperti menjaga kebersihan, memelihara alam sekitar, membantu jiran dan lain-lain lagi. Sewajarnyalah amalan ini dihidupkan bagi menjana satu masyarakat yang bersatu padu dan hidup harmoni sesama mereka.

Kesan Tiadanya Amalan Kejiranan

Semangat kejiranan yang semakin pupus merupakan satu perkara yang amat membimbangkan dewasa ini. Mungkin ada yang terlepas pandang terhadap kesan-kesan yang akan berlaku jika semangat ini dibiarkan terus lenyap dalam jiwa setiap ahli masyarakat.

Terdapat beberapa kesan yang akan terjadi jika seluruh masyarakat tidak mengamalkan semangat kejiranan. Di sini kita dapat bahagikan kepada tiga kesan iaitu kesan ke atas individu, masyarakat dan negara.

Semangat kejiranan yang semakin hilang akan melahirkan individu yang mementingkan diri sendiri atau dengan kata lain individualisme. Ini akan memburukkan lagi keadaan apabila berlaku kecemasan dan memerlukan pertolongan orang lain.

Contohnya, salah seorang ahli keluarga sakit dan memerlukan kenderaan dengan segera. Tanpa jiran, siapa lagi yang kita mahu meminta pertolongan dengan keadaan yang segera? Di sini jelaslah bahawa semangat kejiranan amat penting untuk terus dipupuk dan diamalkan.

Selain itu, hal ini juga memberi impak yang secara langsung mahupun tidak langsung kepada masyarakat yang akan wujudnya pelbagai gejala sosial.

Dewasa ini, ramai remaja menghabiskan usia remaja mereka dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan yang merugikan diri mereka sendiri. Antara perkara atau aktiviti yang tidak berfaedah itu ialah melepak, merempit, vandalisme pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dan lain-lain lagi.

Hal ini kerana, tiada pihak yang akan memantau kawasan perumahan atau kawasan-kawasan tertentu kerana masing-masing sibuk dengan urusan masing-masing.

Selain itu, mereka juga menggunakan istilah tidak menjaga tepi kain orang lain membuatkan mereka tidak menghiraukan masalah gejala sosial yang kini kian merunsing.

Selain itu, masalah kecurian juga akan terus berlaku. Antara punca ialah tidak ada pihak yang akan bertugas sebagai pemantau seperti yang dilakukan dalam program Rukun Tetangga.

Kesan yang terakhir ialah kepada negara. Salah satu kesan terhadap negara ialah negara tidak akan aman dan harmoni kerana masyarakat lebih mementingkan diri sendiri. Keharmonian sesebuah negara akan membantu sesebuah negara itu meningkat maju.

Keharmonian negara amat penting untuk mengekalkan keamanan dan kewujudan sebuah negara bangsa yang berjaya. Ia juga akan menarik minat pelabur asing dan pelancong untuk datang melawat serta melancong ke negara ini kerana keamanan yang diperolehi Malaysia.

Kesimpulan

Maka dengan ini, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. Impian mempunyai jiran yang baik tidak akan terlaksana sekiranya kita sendiri belum menjadi seorang jiran yang baik terlebih dahulu.

Walau sebesar mana sekalipun gelombang perubahan yang melanda masyarakat kita, namun semangat kejiranan tetap menjadi keutamaan. Hiduplah kita bagai aur dengan tebing, saling memerlukan, saling mengukuhkan.

Sinergi dan usaha sama sebeginilah sewajarnya dijadikan panduan dan diaplikasikan  dalam institusi masyarakat  bagi mencetuskan semangat kejiranan yang utuh persis peribahasa Melayu, ‘Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semua’.

Abd Aziz bin Ishak
Pesara Pensyarah

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia