Berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 bukan sekadar meraikan karya dan penulis, tetapi menjadi medan penting untuk menyemarakkan budaya ilmu dan pembacaan dalam masyarakat.
Di tengah limpahan bahan bacaan pelbagai genre, marilah kita kembali merenung hakikat paling asas yang membentuk kekuatan sesuatu tamadun iaitu seruan “Iqra’” yang menjadi titik mula kebangkitan Islam sebagai tamadun ilmu.
Mari menelusuri makna dan kesan besar di sebalik ayat pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, yang menjadi asas kepada kemajuan intelektual, spiritual dan peradaban umat Islam sepanjang zaman. Allah berfirman dalam Surah al-’Alaq pada awal ayat 1 (maksudnya):
“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.”
Inilah ayat pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, menandakan bermulanya episod agung dalam sejarah kemanusiaan iaitu kebangkitan Islam sebagai agama yang bukan hanya menekankan aspek ibadah semata-mata, tetapi juga sebagai asas kepada pembinaan tamadun berteraskan ilmu dan petunjuk yang menerangi segenap dimensi kehidupan manusia.
Menariknya, wahyu pertama ini bukan seruan untuk berperang, berkuasa atau memerintah, tetapi perintah untuk membaca. Satu arahan ringkas yang menjadi akar kepada seluruh perkembangan ilmu, budaya dan tamadun dalam dunia Islam.
Ilmu: Asas kerasulan dan perubahan
Ayat pertama ini menjadi titik mula kepada misi kerasulan Nabi Muhammad SAW. Ia juga menjadi isyarat bahawa perubahan besar hanya akan berlaku apabila umat manusia kembali kepada ilmu.
Perintah Iqra’ tidak berdiri sendiri, sebaliknya diiringi dengan seruan yang mengaitkan pembacaan dengan Tuhan iaitu “Bacalah dengan nama Tuhanmu.” Hal ini menunjukkan bahawa pencarian ilmu dalam Islam tidak terpisah daripada kerangka tauhid dan ketundukan kepada Ilahi, mengharmonikan antara pencapaian akal dan kesedaran rohani.
Ilmu tidak boleh dipisahkan daripada petunjuk Ilahi. Dalam tafsir Ibnu Kathir, ayat ini diangkat sebagai bukti bahawa Islam menjadikan ilmu sebagai asas kepada semua bentuk amal dan ibadah.
Para ulama seperti Imam al-Ghazali dan Ibnu Khaldun menegaskan bahawa umat yang berilmu akan memimpin, sementara umat yang jahil akan dipimpin. Maka tidak hairanlah, seawal wahyu pertama lagi, Islam menetapkan hala tuju kepada pembinaan peradaban berasaskan ilmu.
Iqra’ sebagai simbol tamadun
Perintah “bacalah” bukanlah sekadar merujuk kepada membaca teks secara literal, tetapi membawa makna yang lebih luas iaitu termasuk mengajak manusia memerhati alam, meneliti fenomena, memahami diri, mencari makna di sebalik ciptaan serta yang paling utama, membaca dan menghayati wahyu Tuhan.
Seruan ini mengajak manusia untuk menghubungkan kekuatan akal dengan bimbingan wahyu. Ia selaras dengan pendekatan Islam yang memadukan antara ilmu naqli (wahyu) dan ilmu aqli (rasional).
Tamadun Islam terbina di atas asas kefahaman bahawa ilmu adalah ibadah. Oleh sebab itulah, dalam sejarah, kita menyaksikan bagaimana dunia Islam menjadi pusat ilmu ketika Eropah berada dalam zaman kegelapan.
Institusi seperti Bayt al-Hikmah di Baghdad dan Universiti al-Azhar di Mesir menjadi lambang bagaimana Iqra’ diterjemah menjadi sistem pendidikan dan penyelidikan yang mengubah landskap dunia.
Kesan seruan Iqra’ dalam sejarah Islam
Zaman kegemilangan Islam (kurun kelapan hingga ke-14) adalah manifestasi langsung daripada roh Iqra’. Ilmuwan Muslim menguasai pelbagai bidang ilmu seperti falsafah, sains, perubatan, matematik, astronomi dan teknologi.
Nama-nama seperti al-Khawarizmi, Ibnu Sina, al-Farabi, al-Biruni dan ar-Razi menjadi sebutan bukan sahaja di dunia Islam, malah di seluruh dunia.
Pengaruh Islam ke atas Renaissance Eropah juga tidak dapat disangkal. Karya-karya ilmiah yang ditulis dalam bahasa Arab diterjemah ke dalam bahasa Latin dan menjadi sumber rujukan kepada ilmuwan Barat. Semua ini berpunca daripada satu kata kunci iaitu Iqra’.
Ilmu sebagai jalan mendekati Tuhan
Tafsir Prof. Dr. Hamka dalam Tafsir al-Azhar menyebut bahawa Iqra’ adalah seruan kepada kemajuan akal dan hati. Bacalah dengan rasa tanggungjawab kepada Tuhan, bukan bacaan kosong, sebaliknya bacaan yang membawa kepada amal dan akhlak.
Uniknya dalam Islam, ilmu bukan hanya alat duniawi tetapi juga jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhan. Semakin tinggi ilmu seseorang, sepatutnya semakin tunduk hatinya kepada Pencipta.
Dalam Surah Fatir ayat 28, Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya yang paling takut kepada Allah dalam kalangan hamba-Nya adalah para ulama.” Ini menunjukkan bahawa ilmu yang sebenar adalah ilmu yang membuahkan rasa takwa.
Oleh itu, seruan Iqra’ bukan sahaja membentuk kemajuan di luar sana, tetapi juga membentuk kemajuan dalam peribadi insan. Ia mendidik umat supaya membaca dengan mata hati, berfikir dengan panduan wahyu dan bertindak dengan hikmah.
Membina generasi Iqra’ dalam dunia moden
Dalam dunia moden yang sarat dengan maklumat tetapi “miskin hikmah”, seruan Iqra’ masih sangat relevan. Umat Islam hari ini perlu membina semula budaya ilmu yang bersifat menyeluruh, bukan sekadar membaca untuk hiburan mahupun peperiksaan, tetapi membaca untuk memahami, menginsafi dan membina masyarakat.
Budaya membaca dalam kalangan masyarakat terutamanya umat Islam perlu disemarakkan semula dengan semangat “bacalah dengan nama Tuhanmu” iaitu membaca dengan tujuan yang mulia, bukan semata-mata untuk keuntungan dunia. Penghayatan terhadap nilai ilmu ini mesti bermula di rumah, sekolah, masjid dan dalam masyarakat dari setiap lapisan.
Lebih penting lagi, generasi muda mesti membudayakan sikap sebagai pendahaga ilmu, bukan sekadar menjadi pengguna pasif maklumat. Negara yang mahu menuju kemampanan perlu melahirkan tokoh-tokoh ilmuwan yang mampu menerajui dunia berlandaskan nilai, akhlak dan integriti, sebagaimana para cendekiawan agung pada zaman silam.
Wahyu pertama dalam Islam bukan sekadar satu ayat, tetapi satu falsafah agung yang menjadi asas kepada kebangkitan umat. Ayat pertama Surah al-Alaq membuka pintu kepada permulaan perjalanan ilmu yang besar dan panjang serta kebangkitan sebuah umat. Ia mengajar kita bahawa tamadun dibina bukan dengan kekerasan, tetapi dengan pemikiran dan pendidikan.
Sebagai umat yang mewarisi agama ilmu ini, kita perlu merenung semula makna seruan Iqra’ dalam konteks kehidupan hari ini. Membina tamadun bermula dengan satu langkah kecil: membaca, tetapi membaca dengan mata hati, dengan kesedaran bahawa ilmu adalah amanah dan jalan menuju Tuhan.
Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia