Peristiwa turunnya wahyu pertama melalui Surah al-’Alaq di Gua Hira’ merupakan detik yang amat bermakna dalam sejarah kemanusiaan. Ia menandakan permulaan era tamadun baharu yang membawa cahaya kebenaran dan petunjuk bagi seluruh umat manusia.
Ketika itu, kuasa-kuasa besar dunia dari tamadun Rom dan Parsi berada di ambang keruntuhan dan sering terjerumus dalam pertelingkahan serta peperangan. Manusia tenggelam dalam keruntuhan moral dan kejahilan yang pekat hingga memusnahkan kemajuan yang sedia terbina.
Namun sejarah telah menyaksikan permulaan baharu peradaban manusia dengan kemunculan pemimpin sepanjang zaman, Nabi Muhammad SAW yang membawa obor Islam dan seterusnya menjadi pencetus kepada ledakan perkembangan ilmu.
Wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW membawa perintah “Bacalah” atau “Iqra’”. Menerusinya, Allah SWT menekankan kepentingan ilmu pengetahuan melalui pembacaan. Nah, inilah kunci utama kepada kejayaan dan kemajuan tamadun Islam pada suatu ketika dahulu.
Arahan “Iqra’” ini membawa satu revolusi ilmu yang memberikan impak besar kepada kemajuan tamadun manusia. Umat Islam ketika itu begitu komited dalam menuntut ilmu sehingga sanggup mengembara jauh untuk mendalami pelbagai disiplin ilmu.
Hasil usaha gigih ini, tamadun Islam mencapai kemuncaknya dengan melahirkan ramai tokoh ilmuwan dan cendekiawan seperti al-Khawarizmi (Bapa Algebra), Ibnu Sina (Bapa Perubatan Moden), al-Biruni (Bapa Geografi) dan ramai lagi tokoh yang menguasai pelbagai bidang secara serentak.
Sumbangan besar mereka dalam bidang sains, perubatan, falsafah, matematik dan pelbagai bidang ilmu lagi masih berbekas sehingga hari ini.
Hal ini membuktikan bahawa budaya membaca dan menuntut ilmu yang diamalkan secara konsisten mampu melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi, berpengetahuan luas, mempunyai pemikiran kritikal dan kreatif serta mampu menyumbang besar kepada pembangunan sesebuah tamadun dan negara.
Justeru, untuk menjadi sebuah bangsa yang maju dan cemerlang, semangat menuntut ilmu yang terdapat dalam arahan “Iqra’” tersebut perlu diteladani.
Budaya membaca perlu dipupuk sejak awal agar dapat melahirkan generasi pencinta ilmu dan seterusnya meneruskan legasi kecemerlangan.
Kepuasan membaca buku berbanding media sosial
Kebanyakan orang mungkin bersetuju bahawa melayari media sosial membawa keseronokan dan mengalihkan perhatian mereka daripada isu-isu tertentu atau kesibukan kehidupan.
Namun, mereka mungkin tidak menyedari bahawa membaca buku juga mampu memberikan terapi yang sama, malah memberikan kepuasan yang lebih bermakna. Sesetengah orang akan merasai kepuasan ini apabila mereka jatuh cinta dengan sebuah buku yang memberikan anjakan paradigma.
Membaca menghadirkan pengalaman yang dapat merangsang pemikiran dan emosi serta membuat seseorang merasai pelbagai perasaan yang tidak dapat diberikan oleh media sosial kerana membaca melibatkan proses mental yang mendalam.
Berbeza dengan media sosial yang kerap kali hanya menyentuh permukaan kehidupan, proses membaca membawa pembaca ke dalam dunia pengembaraan tersendiri.
Di “sana”, pembaca dapat melihat dunia dari perspektif yang berbeza, meneroka konsep-konsep baharu, dan merasai pelbagai emosi melalui cerita dan watak-watak yang disampaikan.
Ketika seseorang terbenam dalam sebuah buku, mereka seakan-akan melupakan masa dan tempat, membiarkan minda mengembara jauh melepasi sempadan realiti seharian.
Oleh itu, membaca mampu memberikan satu bentuk ketenangan dan keseimbangan yang sukar dicari dalam kehidupan yang serba pantas dan sibuk ini di samping mempengaruhi pembinaan watak dan peribadi seseorang.
Anda adalah apa yang anda baca
Terdapat kata-kata tersohor yang menyatakan “You are what you read”, atau anda adalah apa yang anda baca.
Kata-kata ini membawa maksud yang amat mendalam, khususnya dalam konteks budaya membaca dan menuntut ilmu. Penyataan ini merujuk kepada hakikat bahawa apa yang dibaca akan membentuk pemikiran, sahsiah dan tindakan seseorang.
Pembacaan yang sihat dan bermanfaat akan memupuk pemikiran yang kritis, kreatif dan terbuka. Sebaliknya, bahan bacaan yang tidak berfaedah akan menyumbang kepada pemikiran yang sempit dan bersifat negatif.
Pendek kata, apa yang dibaca pada hari ini akan menentukan siapa diri seseorang pada masa akan datang. Justeru, bukalah pintu ilmu dengan membaca sumber-sumber yang berfaedah agar dapat membina sahsiah diri dan bermanfaat kepada masyarakat.
Minda manusia pada asalnya ruang kosong yang akan diisi oleh pelbagai masukan hasil daripada pengalaman hidup yang dilalui termasuk pengalaman hasil pembacaan. Segala input masukan ini akan saling berhubungan dan berkembang lalu meninggikan aras pemikiran melalui kutipan maklumat yang berkualiti.
Justeru, cara yang berkesan untuk mengembangkan pemikiran adalah dengan membaca sebanyak-banyaknya. Semakin banyak idea yang dituang masuk ke dalam otak melalui pembacaan, semakin tinggi kelebihan seseorang untuk menjadi seorang yang serba boleh dalam menghadapi pelbagai situasi dan cabaran hidup.
Pendedahan kepada pelbagai ideologi, gaya bahasa, sejarah, biografi, penulisan ilmiah, pengalaman dan ilmu pengetahuan semakin meluas dengan setiap buku yang dibaca. Dengan mempelajari apa yang telah diteliti oleh orang terdahulu, seseorang dapat melonjak jauh ke hadapan.
Situasi ini memendekkan jalan baginya untuk mencapai kekayaan maklumat yang tersedia dalam era ini dan menjimatkan masa serta tenaga daripada terheret dalam perbincangan yang tidak produktif atau berkesan.
Apa yang dibaca juga mampu mempengaruhi identiti seseorang sebagai seorang individu mahupun anggota sesuatu masyarakat atau bangsa. Membaca bahan-bahan berkaitan sejarah, budaya dan falsafah akan mengukuhkan jati diri serta membentuk identiti yang kukuh.
Ringkasnya, pembacaan merupakan satu pengalaman holistik yang mengasah kebolehan kognitif, emosi, kreativiti dan sahsiah seseorang secara menyeluruh. Ia bukan sahaja membekalkan ilmu dan maklumat, malah bertindak sebagai pemangkin kepada perkembangan minda, perasaan dan imaginasi seseorang.
Oleh itu, sebuah negara yang mahu maju dan berdaya saing perlu membentuk masyarakat yang mengangkat ilmu pengetahuan. Dengan itu, negara mampu melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi, berinovasi, berfikiran kritikal dan terbuka, seterusnya memanfaatkan kapasiti mereka untuk memakmurkan negara.
Inilah praktik legasi tamadun-tamadun cemerlang yang perlu diteruskan agar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan dunia hari ini. Oleh itu, jadilah rakyat yang membaca demi meluaskan wawasan dan memelihara ilmu. Semua itu akan membuatkan anda dapat meneroka dunia seluas-luasnya.
Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia