Self-Love: Cara Hargai Diri Sendiri dalam Mentaati Allah

Kebahagiaan merupakan impian setiap insan tanpa mengira latar belakang kehidupan. Salah satu faktor penting untuk mendapatkan kebahagiaan ialah dengan mencintai diri sendiri atau ‘self-love.’

Dalam Islam, seseorang yang mencintai diri sendiri perlu memastikan dia mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat serta perlu berusaha memilih perkara-perkara baik sahaja dalam kehidupannya.

Mereka yang mencintai diri sendiri pastinya tidak akan membiarkan dirinya terjerumus ke dalam seksaan api neraka yang sangat dahsyat atas tindakannya yang salah ketika kehidupan di dunia.

Konsep self-love dalam Islam mempunyai dimensi yang sangat luas. Ia tidak hanya terhad dalam kehidupan dunia malah melangkaui kehidupan selepas kematian. Ia juga melibatkan keseimbangan dalam mencintai diri sendiri, mencintai sesama makhluk serta mencintai Pencipta yang Maha Agung.

Ia juga berkisar tentang bagaimana cinta tersebut mampu meningkatkan keimanan dan kebaikan kepada orang lain. Konsep ini berbeza dengan pandangan barat yang hanya memfokuskan hal mencintai diri sendiri dalam ruang lingkup kehidupan di  dunia semata-mata.

Keseimbangan diri dalam Islam

Dalam Islam, mencari keseimbangan antara mencintai diri sendiri dan ketaatan kepada Allah adalah aspek penting dalam kehidupan seorang Muslim. Dalam menjalani kehidupan seharian dan memenuhi kehendak dan keperluan diri, seseorang individu perlu bertanggungjawab atas segala tindakannya kerana ia mempunyai kesan kepada kehidupan akhirat.

Ia menekankan ketaatan kepada Allah SWT serta kesejahteraan diri daripada perspektif akhirat. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang telah diperbuat untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Al-Hasyr 59: 18)

Konsep mencintai diri sendiri dijelmakan melalui sifat bertanggungjawab seseorang Muslim dengan memelihara daripada perkara-perkara keburukan. Allah SWT berfirman (maksudnya):

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Ar-Ra’d 13: 11)

Malah tanggungjawab tersebut diberikan oleh Allah SWT mengikut kapasiti kemampuan seseorang hamba-Nya seperti firman-Nya yang bermaksud:

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Al-Baqarah 2: 286)

Ayat ini memberikan pengertian bahawa dalam semua tuntutan agama, Allah mempertimbangkan kemampuan individu, yang juga mencakupi keperluan untuk mencintai diri sendiri.

Keseimbangan ini membuktikan bahawa dalam usaha untuk taat kepada Allah SWT, seseorang Muslim juga perlu memastikan dia tidak mengabaikan kesihatan dan kesejahteraan diri sendiri.

Hal ini menunjukkan gambaran Islam yang seimbang antara ketaatan rohani dan perhatian terhadap keperluan peribadi dan fizikal. Menjaga kesihatan dan kesejahteraan diri juga termasuk dalam ibadah jika didasari dengan niat kerana Allah SWT.

Peranan ibadah dalam mencintai diri 

Dalam Islam, ibadah seperti solat, puasa dan zikir memiliki peranan penting dalam meningkatkan kecintaan seseorang terhadap dirinya sendiri dalam kerangka yang syarii.

Melalui solat, seorang Muslim mengingati Allah SWT serta mengakui kelemahan dan kekuatan peribadi. Solat juga membuka ruang untuk merefleksikan tindakan seharian serta memohon petunjuk daripada Allah SWT dalam sebarang tindakan.

Ibadah puasa pula dapat menahan diri daripada keinginan nafsu serta lebih memberi fokus kepada aspek spiritual. Seorang Muslim belajar erti disiplin, sabar dan empati terhadap orang lain yang kurang mampu.

Tindakan ini membantu untuk memperkuat karakter peribadi dan meningkatkan harga diri yang merupakan komponen penting self-love. Puasa juga memberi ruang untuk membersihkan mental dan fizikal daripada anasir-anasir buruk dan negatif.

Amalan zikir pula membantu seseorang Muslim mengingati Allah SWT melalui doa dan ucapan syukur. Tindakan ini mampu menjernihkan pemikiran serta membawa ketenangan.

Melalui zikir, seorang Muslim berterusan mengingati kebesaran juga keagungan Allah SWT, seterusnya menanamkan perasaan syukur, kepuasan serta mengurangkan tekanan dan membina hubungan yang kuat dengan Pencipta. Hal ini secara langsung akan memberi kesan positif dalam membantu seseorang menghargai diri sendiri.

Secara keseluruhannya, setiap ibadah mementingkan keseimbangan antara fizikal, mental dan spiritual. Ia menunjukkan bahawa self-love dalam Islam tidak hanya memenuhi kepentingan diri sendiri tetapi juga memperbaiki diri untuk lebih dekat kepada Allah SWT.

Melalui amalan ini, seorang Muslim belajar untuk mencintai diri sendiri dengan cara yang sihat dan produktif sehingga menghasilkan kehidupan yang harmoni dan sejahtera. Walau bagaimanapun, hasil tersebut tidak mampu terlaksana tanpa elemen sabar dan syukur.

Hakikat sabar dan syukur dalam self-love 

Dalam Islam, sabar dan syukur adalah dua komponen penting yang sangat rapat dengan amalan self-love. Kedua-dua sifat ini tidak hanya menguatkan individu dalam menghadapi kehidupan sehari-hari, tapi juga meningkatkan kesedaran spiritual dan kesejahteraan emosi yang merupakan inti daripada self-love dalam konteks Islam. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.” (Al-Baqarah 2: 45)

Ayat ini menunjukkan bahawa sabar adalah satu cara untuk mencapai ketenangan dan kekuatan dalam menghadapi ujian.

Melalui amalan bersyukur pula, ia tidak hanya terhad untuk bersyukur dengan kejayaan-kejayaan yang besar seperti menjadi pekerja cemerlang atau khatam 30 juzuk al-Quran. Namun bersyukur juga sangat perlu bagi perkara-perkara yang kecil seperti berjaya membaca al-Quran selepas solat atau berjaya memasak untuk keluarga.

Tidak salah untuk mengucapkan tahniah dan meraikan diri sendiri atas kejayaan-kejayaan yang kecil tersebut kerana ia mampu untuk menambahkan rasa sayang kepada diri sendiri.

Secara tuntasnya, dapat disimpulkan bahawa integrasi ‘self-love’ dengan ketaatan kepada Allah SWT adalah suatu pendekatan yang memberi manfaat berganda. Setiap individu berhak menghargai diri sendiri tanpa melampaui batas yang ditetapkan oleh agama.

Dengan kata lain, ia mengasihi diri dalam kerangka yang diredai Allah SWT, mampu untuk melaksanakan ibadah dan ketaatan dengan hati yang lebih tenang dan fokus, seterusnya memperkuat hubungan antara individu dengan Penciptanya serta mempromosikan kesejahteraan mental dan spiritual yang lebih tinggi.

Hasliza Talib
Pensyarah Jabatan Kefahaman Islam dan Bahasa Arab
Universiti Islam Selangor

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia