Isu yang berlaku adalah melibatkan pertindanan perintah penjagaan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syari’ah yang kedua-duanya mempunyai bidang kuasa yang serentak dan kompeten (“concurrent and competent jurisdisction”) di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Antara kes yang terlibat adalah melibatkan pasangan M. Indira Ghandhi dan Muhammad Ridzuan Abdullah (K Patmanathan) yang merebut hak jagaan terhadap tiga orang anak mereka selaras dengan perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi pada Mac 2010 dan juga Mahkamah Tinggi Syari’ah pada April 2009.
Kes tersebut dikeruhkan lagi apabila pihak penguatkuasa iaitu Polis Di Raja Malaysia (PDRM) sendiri enggan menguatkuasakan perintah-perintah tersebut lalu atas budibicaranya yang memutuskan untuk mengambil jalan tengah dengan menempatkan si anak di pusat penjagaan untuk “kepentingan dua-dua pihak”.
Tindakan pihak polis tersebut telah mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk pemimpin-pemimpin politik dan NGO sehingga ada yang mencadangkan supaya tindakan undang-undang yang tegas diambil terhadap Ketua Polis Negera kerana ingkar untuk menguatkuasakan perintah-perintah tersebut.
Isu atau kes sebegini adalah lebih kepada isu perundangan berbanding agama dan seharusnya diselesaikan secara perundangan juga.
Isu perundangan yang berlaku adalah melibatkan pertindihan bidangkuasa (“conflict of jurisdiction”) antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syar’iah yang juga mempunyai bidang kuasa yang kompeten dan bertindih di bawah Perkara 121 Perlembagaan yang mengikat kedua-kedua pihak yang betelagah dan juga pihak penguatkuasaan iaitu polis.
Walau bagaimanapun isu perundangan sebegini tidak seharusnya dibiarkan dalam situasi “deadlock” dan tergantung sehingga boleh menjatuhkan kredibiliti dan integriti kepada bukan sahaja sistem keadilan negara (“justice system”) malah turut merendahkan (“undermining”) peranan dan fungsi badan penguatkuasaan utama itu sendiri.
Oleh hal yang demikian, bagi menyelesaikan polemik perundangan sebegini secara “once for all”, dicadangkan agar satu pendekatan yang praktikal dan holistik berdasarkan kepada konsep keadilan serta mengambil kira kepentingan anak dapat diambil oleh badan kehakiman negara dalam menyelesaikan kemelut ini.
Dalam prinsip undang-undang keluarga Islam berkenaan dengan hak jagaan (hadhanah) anak, hak tersebut juga boleh diberikan kepada mana-mana ibu atau bapa sekiranya terbukti kepentingan si anak tersebut terjaga dengan sempurna.
Pada masa yang sama, sebagai unjuran ke hadapan bagi menangani isu perundangan sebegini pada masa hadapan, juga dicadangkan suatu langkah yang lebih proaktif dapat diambil oleh pihak yang berotoriti antaranya seperti berikut:-
(I ) Meminda undang-undang yang berkaitan dan sensitif seperti Seksyen 51 Akta Pembaharuan Undang-Undang (Perkahwinan Dan Pembubaran) 1976 dengan memasukkan elemen-elemen berkaitan dengan inter-parte (dua-dua belah pihak) dalam membuat permohonan, persetujuan dan maslahah atau kepentingan si anak;
(Il) Satu tribunal keluarga diwujudkan bagi menangani isu sebegini dalam kerangka undang-undang sedia ada; dan
(III) Pendekatan mediasi digunapakai dalam merungkai permasalahan dalam suasana perbincangan dalam menghasilkan keputusan yang bersifat menang-menang.
Walau apapun pendekatan perundangan yang bakal diambil oleh pihak-pihak yang berotoriti termasuk badan kehakiman dalam menangani kes sebegini, pertimbangan yang sewajarnya haruslah diberikan kepada persoalan hak dan keadilan terhadap kedua-dua pihak khususnya kepentingan si anak supaya yang Muslim tidak beremosi dan yang bukan Muslim tidak prejudis.
Â
Wan Anwar bin Wan Ibrahim
Peguam Syar’ie
Peguambela & Peguamcara (Malaya)
Peguam Pertubuhan IKRAM Malaysia