Selamat Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa 2023

Selamat Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa 2023 | IKRAM

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera!

1. Hari ini, Ahad 3 Disember 2023, ialah Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa. Hari peringatan ini telah diisytiharkan oleh Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1992 melalui Resolusi 47/3.

2. Hari khusus bagi OKU ini diabadikan dalam kalendar untuk mengingatkan kita semua mengenai situasi orang kurang upaya dalam setiap aspek kehidupan politik, sosial, ekonomi dan budaya, dan meraikan hak-hak dan kesejahteraan orang kurang upaya dalam semua ruang lingkup masyarakat dan pembangunan.

3. Tema bagi Hari OKU Antarabangsa tahun ini ialah “Bersatu dalam tindakan untuk menyelamatkan dan mencapai Matlamat Pembangunan Lestari bagi, dengan dan oleh orang-orang kurang upaya.” Di Malaysia, dalam semangat yang sama, pihak kerajaan telah mengangkat tema “Ke Arah OKU Yang Mampan, Membangun Malaysia Madani.”

4. Bersempena dengan Hari Orang Kurang Upaya yang jatuh pada hari ini, seperti biasa IKRAM meletakkan seluruh Bulan Disember ini sebagai masa untuk Sambutan Bulan Orang Kurang Upaya di seluruh negara dan mengaturkan beberapa program baginya.

5. Mungkin ramai kita tidak menyedarinya, namun isu OKU ini bukanlah suatu perkara yang terpencil dalam masyarakat. Sebenarnya berdasarkan kepada anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia, lebih kurang 15 peratus daripada penduduk dunia ini mengalami satu bentuk ketidakupayaan atau yang lain, sama ada bersifat fizikal mahupun mental. Ini merupakan satu angka yang agak besar.

6. Berdasarkan statistik terkini daripada Jabatan Statistik Malaysia pada 30 Oktober 2023, cuma 681,074 orang yang berdaftar sebagai OKU di Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ini bermakna kurang 2 peratus sahaja daripada penduduk negara ini dikenal pasti sebagai OKU, berbanding dengan anggaran OKU sebenar sebanyak 15 peratus.

7. Angka yang kecil ini mungkin disebabkan oleh (1) ramai tidak mengetahui bahawa apa yang dihadapinya sebagai suatu ketidakupayaan, atau (2) mereka tidak melihatnya dari perspektif kebajikan dan memerlukan pendaftaran.

8. Kesedaran masyarakat terhadap pelbagai jenis ketidakupayaan ini amat penting, terutamanya mereka yang terkesan dengannya, kerana ini membolehkan ketidakupayaan ini difahami dan ditangani dengan sebaiknya dan tidak dikesampingkan, atau isu OKU itu sendiri ditanggapi dengan pandangan yang salah.

9. Sebenarnya isu Orang Kurang Upaya ini perlu ditanggapi melangkau lebih daripada perspektif kebajikan dan bantuan langsung, walaupun itu perlu. Masyarakat perlu dididik untuk melihat isu ini secara menyeluruh, merangkumi hak mereka sebagai sebahagian daripada masyarakat, memberikan mereka kesamarataan dalam peluang dan aspirasi, memudahkan mereka dalam aksesibiliti baik secara fizikal mahupun secara maknawi, agar mereka boleh hidup secara normal seperti orang lain dan dapat mandiri. Ini penting memandangkan mereka tidak memilih untuk menjadi OKU tetapi ia adalah suratan takdir.

10. Kedudukan OKU di Malaysia boleh diangkat lebih tinggi lagi dan pembelaan mereka boleh dipertingkatkan lagi. Walaupun kita telah ada Akta Orang Kurang Upaya 2008, Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya, Pelan Tindakan OKU 2016-2022, dan Pelan Strategik Jabatan Kebajikan Masyarakat 2021-2025, terdapat banyak hambatan dalam memberikan OKU hak dan kedudukan yang sewajarnya dalam masyarakat.

11. Pelaksanaan dan penguatkuasaan peruntukan-peruntukan yang telah digariskan perlu dijalankan dengan lebih bersungguh-sungguh. Terlebih penting, perlu ada semakan dan pengukuran yang jelas terhadap pemenuhan tuntutan undang-undang, dan pencapaian usaha-usaha terhadap memartabatkan OKU, supaya ia sentiasa dipantau dan diperbaiki. Kita tidak mahu statusnya kelihatan indah di atas kertas, tetapi buruk dalam realitinya. Contohnya, kadar pengambilan OKU dalam sektor pekerjaan.

12. Satu aspek nyata yang boleh diperbaiki ialah kedudukan Jabatan Pembangunan OKU itu sendiri yang kini diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Sudah tiba masanya Jabatan tersebut wujud sebagai suatu entiti tersendiri sebagai sebuah Jabatan penuh. Malah pada masa hadapan, ia mungkin dipertimbangkan untuk diangkat lebih tinggi lagi.

13. Pihak berwajib juga harus memperuntukkan dana pembangunan yang mencukupi bagi menambah baik infrastruktur membantu aksesibiliti OKU di seluruh negara, program-program latihan dan peningkatan diri termasuk dalam bidang ekonomi dan pendidikan serta kemahiran, bantuan alat keperluan OKU, serta sistem sokongan yang lebih efisien dan efektif dalam jentera pentadbiran.

14. Selain daripada itu, mereka yang membantu OKU, seperti penjaga atau caregivers, sukarelawan dan pertubuhan-pertubuhan yang terlibat secara langsung dengan mereka hendaklah turut disokong dari segi kewangan, kemudahan dan pengiktirafan, kerana kehadiran mereka sedikit sebanyak telah meringankan beban pihak Jabatan dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

15. Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif terlibat dalam isu-isu kemasyarakatan dan sentiasa peka serta prihatin terhadap apa yang dirasai oleh golongan rentan dalam masyarakat kita, IKRAM akan terus bersama mengangkat isu OKU ini melalui kerja-kerja advokasi, pendidikan masyarakat dan bantuan langsung untuk mereka.

16. Sambutan Bulan Orang Kurang Upaya sepanjang bulan Disember ini ialah satu usaha untuk mencapai matlamat ini. Sambutan ini menyasarkan agar masyarakat akan lebih peka dan celik mengenai isu-isu OKU di seluruh pelosok negara, dan bersama-sama meletakkan OKU sebagai warganegara yang akan turut menyumbang kepada masyarakat dan negara, selain diberikan bantuan yang sewajarnya.

Selamat Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa!

Wa billahittawfiq walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh!

Hj Ainullotfi Abdul Latif
Ketua Kluster Masyarakat Progresif
& Pengerusi Kebajikan dan Khidmat Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia