Sekalipun Lin dan Hana (bukan nama sebenar) masih muda, namun pertimbangan mereka dalam membuat keputusan boleh dikatakan matang dan berani. Mungkin atas dasar itu, ditokok sedikit hikmah dan banyak kesungguhan, usaha mereka dalam menjalankan perniagaan pelbagai bidang mendatangkan pulangan yang berbaloi.
Baru-baru ini mereka berjaya mendapat projek yang agak lumayan. Barangkali sudah dasar insan yang setiap langkah kakinya terikat dengan hidayah Allah, ketika ramai orang yang apabila mendapat ‘durian runtuh’ boleh runtuh imannya, alhamdulillah, Lin dan Hana pantas berfikir untuk menafkahkan sebahagian rezeki yang mereka peroleh itu untuk membantu agama yang Maha Memberi Rezeki itu kembali.
Antara nama pertama yang terpacul sewaktu berbincang kepada siapa sebahagian wang keuntungan projek mereka itu akan diinfaqkan adalah Ustazah Maznah, mentor dan guru mereka sendiri.
Mereka pun bersetuju untuk menghadiahi wanita yang mereka kasihi itu sebuah kereta Viva bertransmisi automatik.
Pada 17 Januari lalu, Lin dan Hana bertandang ke rumah Ustazah Maznah di Shah Alam. Setelah beberapa ketika bersembang, Hana mula berterus terang.
“Ustazah, boleh tak kami dapatkan salinan kad pengenalan dan lesen memandu ustazah?”
“Untuk apa?” tanya Ustazah Maznah kehairanan.
“Sebenarnya kami bercadang menghadiahkan sebuah kereta untuk ustazah,” Lin mencelah.
Ustazah Maznah kaget. Antara percaya dengan tidak, beliau bertanya, “Eh, betul ke ni? Tapi kenapa hendak bagi kepada ana?”
Lin dan Hana tersenyum. Kemudian mereka silih berganti menerangkan bahawa sebenarnya mereka telah berniat sekiranya salah satu projek perniagaan yang mereka usahakan berjaya, mereka hendak menghadiahkan sebuah kereta kepada Ustazah Maznah. Itu niat mereka.
“Tapi kenapa ana?” tanya Ustazah Maznah sambil matanya masih terkebil-kebil.
“Sebab ustazah naqibah kami, guru kami. Ustazah pun banyak mengajar ke sana ke mari. Kami tidak mampu berbuat begitu. Nanti bolehlah ustazah gunakan kereta ini. Mudah-mudahan kami dapat berkongsi pahala dengan ustazah melalui hadiah ini,” kata Hana panjang lebar.
Akhirnya, pada 31 Januari 2011, Ustazah Maznah diminta pergi ke sebuah pusat jualan Perodua untuk majlis ringkas penyerahan kunci kereta.
Ustazah menerima kunci kereta Viva dengan perasaan yang bercampur-baur. Memang beliau amat teruja, bersyukur dan berterima kasih kepada Lin dan Hana. Tetapi hati kecilnya merintih, “Ya Allah, ujian apakah yang Engkau beri kepadaku ini? Kalau ia dikatakan satu anugerah, rasanya aku tidak layak menerimanya. Siapakah diriku di sisi-Mu? Aku hanya hamba yang cuai dan sarat dengan kelemahan.”
Walau apapun, fikirnya, manusia wajib bersyukur dengan setiap nikmat yang dikurniakan. Insya-Allah, beliau berazam untuk menggunakan pemberian ini sebaik-baiknya.
(Ustazah Maznah memohon doa daripada kita semua agar beliau termasuk dalam golongan hamba yang bersyukur dan terus thabat di jalan dakwah, jalan yang penuh dengan kemanisan iman dan ukhuwah fillah.)