1. Program Sambutan Tahun Baru Cina Hidayah Centre (CNYOH) 2014 adalah sambutan kali ke-5 di peringkat nasional yang telah dianjurkan Hidayah Centre dengan kerjasama beberapa rakan NGO yang lain iaitu Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA), Multiracial Reverted Muslim (MRM), JAKIM, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Badan Kebajikan Islam Telekom Malaysia (BAKIT), Overseas Chinese Muslim Malaysia (OCMA), Persatuan Darul Fitrah Malaysia dan Restoran Muhammad Chan Abdullah.
2. Program ini bertemakan “Bersegeralah Menuju Kejayaan” akan dirasmikan oleh Ketua Pengarah JAKIM, Yang Berbahagia Dato’ Hj Othman Mustapha dan akan diadakan di Telekom Malaysia Convention Centre, Jalan Pantai Bharu, Kuala Lumpur pada 16 Februari 2014 bermula jam 10.00 pagi hingga 2.00 petang.
3. Program ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia dengan syarat tetamu yang ingin hadir dimestikan membawa rakan-rakan berbangsa Tionghua yang belum Islam untuk berkongsi kegembiraan meraikan perayaan Tahun Baru Cina di samping mengikuti program-program menarik yang diatur. Saudara baru berbangsa Tionghua juga dijemput hadir.
4. Program yang sama di peringkat negeri dan daerah juga telah dan akan berlangsung. Negeri Pulau Pinang telah pun melaksanakan sambutan ini pada 9 Februari 2014 yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Hj Mohd Rashid Hasnon, manakala Hidayah Centre Selangor akan menganjurkan program ini dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Selangor (MAIS) pada 23 Februari 2014 di Dewan Hwa Beng, SRJKC Chee Sen, Subang Jaya.
Objektif program
1. Memperkenalkan konsep kemasyarakatan kepada masyarakat bukan Islam terutamanya kepada rakyat Malaysia yang berbangsa Tionghua berkenaan keindahan Islam sebagai satu cara hidup yang sesuai dipraktikkan oleh semua bangsa.
2. Menyingkir salah anggap terhadap agama Islam yang selama ini digambarkan oleh media-media Barat sebagai agama yang menganjur keganasan dan tiada toleransi.
3. Meraikan dan menyantuni saudara baru berbangsa Tionghua dengan sambutan perayaan Tahun Baru Cina.
Aktiviti
Program ini akan diserikan dengan:
1. Tarian Singa
2. Persembahan Wusyu
3. Sketsa, Muzik dan Kaligrafi Cina
4. Program Silang Budaya untuk Kanak-kanak
5. Cabutan Bertuah dan pemberian Ang Pow
6. Persembahan Multimedia
Harapan kami agar masyarakat Tionghua yang beragama Islam memahami bahawa Islam menerima budaya bangsa lain diamalkan kerana hakikat kejadian bangsa seperti mana firman Allah SWT:
“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kalian daripada lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan kalian berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kalian saling mengenal.” (Al-Quran: Surah Al-Hujurat 49: 13)
Hj Muhammad Abdullah @ Nicholas Sylvester
Pengerusi
Hidayah Centre Foundation