Kegagalan Dewan Rakyat untuk meluluskan pindaan Perlembagaan berhubung Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun telah membuka satu persoalan besar iaitu sejauh mana komitmen kita terhadap reformasi institusi yang sebenar?
Cadangan ini bukan sekadar retorik politik tetapi merupakan antara langkah penting untuk memastikan sistem demokrasi Malaysia kekal sihat dan seimbang dalam jangka panjang.
Berdasarkan hansard Parlimen bertarikh 2 Mac 2026, seramai 32 orang ahli Parlimen tidak hadir, 44 orang ahli Parlimen tidak mengundi dan 146 orang ahli Parlimen bersetuju. Tetapi disebabkan ia merupakan pindaan perlembagaan, maka Dewan Rakyat memerlukan ⅔ Dewan Rakyat iaitu seramai 148 orang ahli Parlimen yang bersetuju menyokong RUU ini tetapi tidak yang berlaku adalah sebaliknya.
Sejak awal, idea mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun dilihat sebagai mekanisme untuk mengelakkan pemusatan kuasa secara berlebihan. Dalam sistem demokrasi, kuasa yang terlalu lama berada pada satu individu berpotensi melahirkan kecenderungan autoritarian, walaupun ia bermula dengan niat yang baik.

Rajah 1: Demokrasi dan Pilihan Raya
Hakikatnya, demokrasi bukan hanya tentang pilihan raya tetapi juga tentang had kuasa. Cuba kita lihat beberapa contoh negara lain seperti Amerika Syarikat yang telah lama mengamalkan had dua penggal bagi Presiden, bukan kerana mereka tidak percaya kepada pemimpin tetapi kerana mereka memahami sifat kuasa itu sendiri.
Di Brazil, tempoh jawatan Presiden dihadkan kepada dua penggal, setiap satu selama empat tahun seperti mana termaktub dalam perlembagaan negaranya. Indonesia pula menetapkan had dua penggal selama lima tahun, suatu pembaharuan penting yang diperketat selepas kejatuhan era Soeharto.
Di Mexico, Presidennya hanya dibenarkan satu penggal selama enam tahun bagi mengelakkan penguasaan berpanjangan, manakala Filipina turut mengamalkan had satu penggal enam tahun seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan 1987 pascakejatuhan Ferdinand Marcos.
Semua contoh ini memperlihatkan satu kesepakatan bahawa had tempoh adalah instrumen penting bagi mengawal pemusatan kuasa dan memelihara keseimbangan demokrasi. Kuasa yang tidak dibatasi cenderung untuk berkembang dan tanpa sempadan yang jelas, ia boleh menghakis prinsip semak dan imbang.
Dalam konteks Malaysia, cadangan had 10 tahun sebenarnya bersifat sederhana. Ia tidak terlalu singkat sehingga mengganggu kesinambungan dasar dan tidak terlalu panjang sehingga membuka ruang kepada dominasi berlebihan.
Tempoh ini memberi ruang kepada seorang Perdana Menteri untuk merancang dan melaksanakan agenda reformasi secara menyeluruh sambil memastikan proses peralihan kepimpinan berlaku secara berkala kepada orang yang baharu. Namun, kegagalan meluluskan pindaan ini memberi gambaran bahawa reformasi institusi masih berdepan halangan politik.
Walaupun kerajaan hari ini sering menekankan agenda reformasi, isu had tempoh ini seharusnya mendapat sokongan bipartisan tetapi yang berlaku adalah sebaliknya. Ia menimbulkan persepsi bahawa terdapat ketidaksediaan dalam kalangan elit politik untuk melepaskan ruang kuasa secara sukarela.
Perlu ditegaskan, had tempoh bukanlah hukuman kepada pemimpin tetapi perlindungan kepada sistem. Ia memastikan bahawa tiada individu yang menjadi terlalu besar daripada institusi itu sendiri.
Dalam banyak kes di seluruh dunia, kejatuhan demokrasi sering bermula apabila pemimpin berjaya memanjangkan tempoh kuasa mereka atas nama kestabilan. Lama-kelamaan, kestabilan itu bertukar menjadi stagnasi dan akhirnya membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa.
Selain itu, had tempoh juga memberi isyarat jelas kepada generasi pemimpin baharu bahawa sistem politik negara ini terbuka dan dinamik. Tanpa had, laluan ke puncak kepimpinan menjadi terlalu sempit, sekali gus menyekat kemunculan idea dan kepimpinan baharu. Dalam jangka panjang, perkara ini boleh melemahkan daya saing politik dan mengurangkan kualiti kepimpinan negara.

Rajah 2 : Hubungan Patron-Client
Dari sudut rakyat pula, had tempoh memberi jaminan bahawa kuasa politik sentiasa berada dalam keadaan terkawal. Ia mengurangkan risiko pembentukan jaringan patron-client yang terlalu kuat sehingga kesetiaan kepada individu mengatasi kesetiaan kepada institusi.
Dalam wacana sains politik, konsep hubungan patron-client atau politik penaungan sering dikaitkan dengan pola budaya politik masyarakat Melayu sejak era tradisional lagi khususnya pada zaman hierarki pembesar istana.
Hubungan ini merujuk kepada jaringan timbal balik yang bersifat tidak formal antara pihak berkuasa (patron) yang menyediakan perlindungan, sumber atau akses dengan pihak bawahan (klien) yang membalas melalui kesetiaan, sokongan politik atau khidmat tertentu.
Dalam konteks politik moden, konsep patron–client tidak lagi beroperasi secara terbuka seperti dalam struktur feudal tradisional tetapi teradaptasi dalam bentuk yang lebih institusional dan terselindung.
Hubungan ini lazimnya terjelma melalui jaringan sokongan politik, pengagihan sumber pembangunan, pelantikan jawatan serta akses kepada peluang ekonomi yang dikaitkan dengan kesetiaan kepada aktor politik tertentu. Dalam situasi sebegini, keputusan dasar sering dipengaruhi oleh kepentingan politik sempit, bukannya kepentingan rakyat secara keseluruhan.
Kegagalan meluluskan pindaan ini juga seharusnya menjadi cerminan kepada semua pihak bahawa reformasi tidak boleh bersifat selektif. Tidak cukup sekadar memperkenalkan dasar baharu tanpa menyentuh struktur asas yang menentukan bagaimana kuasa itu digunakan dan dihadkan.
Reformasi sebenar memerlukan keberanian politik untuk melakukan perubahan yang mungkin tidak popular dalam kalangan elit tetapi penting untuk masa depan negara.
Malaysia kini berada pada persimpangan penting. Sama ada kita terus mengekalkan struktur yang memberi ruang kepada pemusatan kuasa atau kita berani melangkah ke hadapan dengan memperkukuh prinsip demokrasi melalui had tempoh yang jelas. Pilihan ini bukan hanya soal politik semasa, tetapi soal legasi institusi yang akan diwariskan kepada generasi akan datang.
Tuntasnya, bagi menelusuri kerangka Malaysia Menuju Negara Rahmah, memiliki pemimpin yang kompeten, berintegriti dan berakauntabiliti adalah asas penting. RUU ini bertujuan memastikan sesiapa sahaja yang menjadi Perdana Menteri pada masa hadapan tertakluk kepada had dua penggal demi menjamin tadbir urus yang lebih telus dan seimbang.
Prof. Dr. Hanim Salleh
Ahli Jawatankuasa Pusat (Agenda Nasional)
Pertubuhan IKRAM Pusat Malaysia
Felo Kajian Dasar IKRAM (KADRI)




