RUU 355: Ke arah perlaksanaan hudud atau percaturan politik?

Isu ini adalah yang benar-benar membimbangi seluruh rakyat Malaysia, termasuk non-Muslim kerana mereka merasakan ruang mereka dicerobohi dalam bentuk secara tidak langsung,” demikian tegas YB Dato’ Dr Mujahid Yusuf Rawa, Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH). 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, kewajaran kebimbangan itu bukan sahaja beliau tumpukan kepada non-Muslim tetapi turut yang beragama Islam.

“Kerana saya mewakili 30% non-Muslim dalam kawasan saya. Yang mana saya telah mendapat 80% sokongan daripada non-Muslim. Itulah kewajaran saya melihat dalam konteks tersebut.”

    

Para hadirin forum, YB Dr Mujahid dan Dr Shamrahayu

Dalam forum tersebut Felo Utama IKIM, Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, kebimbangannya adalah apabila undang-undang agama Islam dipaksa diguna pakai ke atas orang bukan Islam.

“Kebimbangan ada kewajaran jika berasas. Kebimbangan yang tidak berasas, saya fikir ia tidak wajar kerana ia tidak bercanggah dengan perlembagaan,” jelasnya.

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zuhdi Marzuki, setiap RUU yang diluluskan dan dibentangkan di Parlimen ada asasnya.

“Pendekatan yang kami (PAS) ambil adalah berdasarkan lunas demokrasi yang mana pada awalnya di bawa ke Dewan Undangan Negeri sebelum di bawa ke parlimen dan tujuannya untuk menyempurnakan hak asasi umat Islam,” kata beliau.

Berbeza pandangan, YB Howard Lee Chuan How, Pengarah Biro Hal Ehwal Antarabangsa Sosialis Muda DAP (DAPSY) berkata, sebagaimana yang tertakluk dalam sistem demokrasi di Malaysia, apa-apa idea, perundangan, pemikiran, usul yang dibawa ke dalam dewan yang mulia, yang termaktub dalam negara ini adalah untuk dibahas, untuk dicabar dan untuk benar-benar difahami, supaya idea itu dapat disempurnakan bersama-sama dengan lebih baik.

“Dan apabila sesuatu yang bersifat keagamaan dan ketuhanan dibawa ke dalam sistem demokrasi parlimen, soalan yang timbul di sini, adakah isu atau usul atau perundangan itu sudi dan rela diperbahaskan malah dikritik? Ini soalan, bukan saya nak kritik atau marah-marah,” jelas beliau yang juga ADUN Pasir Pinji, Perak.

Menurut beliau lagi, sesiapa pun tidak boleh lari dengan fitrah dan lumrah masyarakat Malaysia yang menidakkan dan menyarankan ‘tutup mulut sahaja’.

“Jadi, ini adalah sesuatu yang membawa kebimbangan bukan sahaja orang bukan Islam tetapi orang Islam juga.”

Dr Shamrahayu turut menjelaskan bahawa Akta 355 ini tidak akan mencampuri urusan orang bukan Islam kerana ia untuk yang beragama Islam dan turut menegaskan bahawa selagi negara ini mengamalkan demokrasi, tiada istilah pintu belakang untuk melaksanakan hudud tersebut.

“Secara rumusannya, saya menyatakan bahawa cadangan pindaaan ini berasaskan perlembagaan, tidak bercanggah dengan perlembagaan. Yang utamanya tidak melibatkan orang bukan Islam.”

    

Dr Zuhdi, YB Howard Lee dan Dr Zulfakar

Dalam forum tersebut, Prof. Madya Dr. Zulfakar Ramlee, Pengarah Biro Perundangan IKRAM memberikan analogi yang menarik mengenai isu yang dibincangkan iaitu usaha meminda Akta 355 ini adalah ibarat satu usaha bagi mendapatkan permit atau lesen bagi membina lebuh raya lima lorong (dikiaskan kepada lima Maqasid Syariah), yang mana melalui lima itu, akan menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan harta.

“Tentu ada suka dukanya. Sukanya dapat lebuh raya, melancarkan perjalanan. Dukanya terpaksa membayar tol.”

Jelas beliau lagi dengan lebih menarik, meskipun lebuh raya ini akan membantu melancarkan perjalanan, namun proses dalam memperolehi lesen serta proses bagi membina lebuh raya ini hendaklah mengikut prosedur yang betul seperti perundingan dengan pemilik tanah, membayar pampasan yang sewajarnya kepada pemilik tanah yang diambil, menyediakan stesen minyak dan R&R yang lengkap dan sebagainya, bukan hanya semata-mata mengutip tol atau mendenda mereka yang melanggar peraturan lebuh raya.

Bagi Dr Zuhdi Marzuki pula, pendekatan yang PAS ambil adalah pendekatan dakwah. Apa kebaikan-kebaikannya dan PAS akan berhadapan secara terbuka dengan masyarakat iaitu dengan memberi ruang melakukan perbahasan sebagaimana hari ini.

“Kami melihat di sini keperluan untuk masyarakat bukan Islam bertoleransi untuk memberikan kami hak melaksanakan kewajipan yang kami dipertanggungjawabkan.”

Howard Lee turut menzahirkan kebimbangan yang utama sebagai seorang individu iaitu undang-undang agama adalah berlunaskan ketuhanan dan keagamaan bagi mereka yang menganut sesuatu agama tidak patut dicabar kerana ia adalah kepercayaan individu, undang-undang yang diturunkan oleh Tuhan.

“Adakah RUU 355 ini ke arah perlaksanaan hudud atau semata-mata percaturan politik?” soalnya dalam forum tersebut.

Beliau berkata, inilah soalan-soalan yang timbul hingga mencetuskan kebimbangan kepada masyarakat Malaysia bukan sahaja non Muslim, tetapi Muslim juga sebagaimana jelas Dr Mujahid.

Setiausaha Agung IKRAM, Hj Nahar Md Nor bertindak menjadi moderator forum tersebut yang dihadiri kira-kira 200 orang. Turut hadir Ketua Biro Penyelidikan IKRAM, Prof. Dr. Mohd Nazari Ismail.

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia