Rukun Negara dan ideologi bitara: Berbayang tanpa bertiang?

Sejak tamatnya era pendudukan Jepun, Malaysia umumnya, mengalami kocakan hubungan etnik yang tajam, akibat prasangka dan prejudis perkauman yang menggerunkan. Kerajaan kolonial British sendiri sukar untuk percaya kemelut hubungan etnik ini dapat diharmonikan.

 

Sentimen dan politik perkauman terus membumikan urat pengaruhnya sehinggalah tercetusnya tragedi berdarah 13 Mei 1969. Selepas tragedi anarkikal ini, semua pihak mula memberikan perhatian terhadap perpaduan kebangsaan dengan lebih tuntas.

 

Di sinilah bermulanya sejarah Rukun Negara, dimasyhurkan secara rasmi pada 31 Ogos 1970 oleh Yang Di-Pertuan Agong. Apakah kita mahu tragedi berdarah 13 Mei 1969 berulang kembali?

 

Perlu ditegaskan di sini, sekiranya kita melupakan peristiwa hitam tersebut, bukanlah mustahil kita akan dihukum semula oleh sejarah hitam yang sama, dan mungkin dalam kemelut perkauman yang lebih kritikal lagi.

 

Erti Rukun Negara

 

Apakah Rukun Negara? Inilah antara persoalan mendasar yang masih tidak begitu difahami oleh rakyat Malaysia. Meskipun kita telah melafazkannya, malah menghafalnya sejak di bangku sekolah lagi, namun apakah kita benar-benar memahami falsafah murni Rukun Negara, lebih-lebih lagi untuk membahaskannya secara membina? Jika rakyat tidak memahami Rukun Negara, tidak mungkin mereka dapat menghayatinya dalam kehidupan kenegaraan.

 

Setelah setengah abad Rukun Negara dilancarkan (1970), fokus terhadap kepentingan dan peranan Rukun Negara semakin diabaikan; sekadar dilafazkan dalam majlis kenegaraan dan acara kebangsaan yang tertentu sahaja. Sebagai rakyat yang prihatin terhadap masa depan negaranya, kita tidak wajar berpuas hati dengan keadaan yang sepasif ini kerana jika dibiarkan, proses pemajuan negara dan pembinaan bangsa Malaysia turut terencat.

 

Perkataan ‘rukun’ ertinya ‘tiang’. Justeru, Rukun Negara bermaksud tiang negara iaitu prinsip kehidupan yang menjadi tiang kepada Malaysia. Inilah pengertian yang paling asas. Diumpamakan sebuah rumah, tanpa tiang rumah akan roboh. Begitu jugalah dengan sesebuah negara. Tiang amat diperlukan sebagai pasak negara.

 

Jika diperhalusi, Rukun Negara itu sendiri memancarkan roh patriotisme dan nasionalisme Malaysia sejati yang sewajarnya dipegang sebagai ideologi negara berlandaskan silaturahim kemalaysiaan. Persoalannya, bagaimanakah Rukun Negara dapat berperanan untuk mencapai matlamat murni di atas?

 

Rukun 1: Kepercayaan kepada Tuhan

 

Pertama, Kepercayaan kepada Tuhan. Agama merupakan sendi peradaban manusia bertamadun. Dalam kehidupan beragama, Tuhan merupakan kuasa tertinggi dan terkudus yang menjadi pusat pengabdian manusia. Perintah dan larangan daripada Tuhan (terpateri dalam agama) secara keseluruhannya menuntut penganutnya (Islam, Kristian, Buddha dan Hindu misalnya) supaya mematuhi kesemua kebaikan dan menjauhi kejahatan (zahir dan tersembunyi).

 

Pada prinsipnya, jika seluruh rakyat Malaysia beramal dengan perintah dan larangan agama masing-masing, pastilah matlamat Rukun Negara, khasnya keamanan dan kemajuan negara, dapat dicapai secara bersepadu.

 

Ini bermakna, rakyat Malaysia yang tidak mempercayai Tuhan (atau tidak mengamalkan ajaran agamanya), mereka telah meruntuhkan tiang negara yang pertama iaitu Kepercayaan kepada Tuhan. Dalam konteks ini, terdapat dua tuas penting yang kita perlu difahami.

 

Tidak politikkan agama

 

Pertama, agama tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana politikus dengan mengambil ingatan bahawa agama dan politik juga tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan Muslim. Justeru, jika nilai-nilai Islamik (dan universalisme semua agama) hendak diperjuangkan menerusi wasilah demokrasi dan politik kepartian, perlembagaan Malaysia tidak menegah hak sedemikian.

 

Akan tetapi, perjuangan tersebut seharusnya dimanifestasikan dengan harmoni dan diprakarsakan dengan penuh hikmah, tanpa mencetuskan prejudis dan prasangka keagamaan yang amat berbahaya terhadap rakyat majmuk agama di negara ini.

 

Kedudukan Islam 

 

Kedua, tidak ramai yang memahami makna kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Status ini diiktiraf oleh Suruhanjaya Reid dan Jawatankuasa Perundingan dan Perpaduan Malaysia kepada agama Islam sebagai menghargai sumbangan Islam dalam memercukan kegemilangan tamadun rumpun Melayu di rantau Nusantara sejak abad ke 12 lagi.

 

Apabila Islam diangkat sebagai agama persekutuan, dengan sendirinya rakyat Malaysia mempunyai dua bentuk ‘agama’ iaitu agama hakiki dan agama rasmi. Ini bermakna setiap rakyat Malaysia mempunyai agama hakiki masing-masing sama ada Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan sebagainya.

 

Pada masa yang sama, seluruh rakyat Malaysia mempunyai satu agama rasmi yang sama iaitu Islam. Meskipun rakyat negara ini agama hakiki yang berbeza, namun mereka dapat diharmonikan dengan satu agama rasmi yang sama.

 

Pemilikan bersama

 

Perlu dinyatakan, perasaan pemilikan bersama terhadap Islam sebagai agama rasmi bagi seluruh rakyat Malaysia, tidaklah menjejaskan agama hakiki mereka sendiri. Kepentingan Islam sebagai agama persekutuan dan agama rasmi Malaysia berperanan penting sebagai penyemai sikap saling menghormati terhadap agama Islam khasnya, serta sesama rakyat Malaysia yang berbilang agama seluruhnya. Kita seharusnya memahami konsep murni ini dan menerimanya dengan berlapang dada demi keharmonian negara.

 

Apalah gunanya rakyat Malaysia membenci agama Islam sebagai agama rasmi mereka sendiri, meskipun mereka mempunyai agama hakiki yang berbeza? Bukankah sentimen anti-Islam, anti-Kristian, anti-Hindu dan anti-Buddha akan mempermusuhkan sesama rakyat Malaysia?

 

Perbezaan dari segi agama hakiki adalah fitrah manusia (tidak ada paksaan dalam beragama), dan persamaan dari segi agama rasmi pula merupakan identiti lumrah bagi negara-negara moden hari ini di seluruh dunia (melainkan negara komunis).

 

Agama punca perpecahan?

 

Malangnya, umumnya rakyat Malaysia masih tidak memahami hakikat ini, bahkan kedengaran suara sumbang lagi jahil yang mengatakan perbezaan agama merupakan punca perpecahan kaum di Malaysia. Terdapat dua sebab mendasarnya.

 

Pertama, mereka tidak memahami kepentingan Islam sebagai agama persekutuan dan agama rasmi seluruh rakyat Malaysia. Terdapat parti politik yang menentang kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dalam perlembagaan sejak 1950-an lagi. Sentimen anti-Islam dipolitikkan sehingga mengakibatkan hubungan antara kaum menjadi tegang, khasnya di Semenanjung Malaysia.

 

Kedua, sebahagian rakyat bukan sahaja tidak memahami agama hakiki mereka sendiri, malah mereka lagilah tidak memahami agama-agama yang lain. Situasi ini sangat parah disebabkan oleh wabak bebalisme agama. Mereka menjadi musuh terhadap perkara yang tidak mereka fahami.

 

Sebenarnya, tidaklah salah jika penganut agama Islam belajar untuk memahami agama-agama yang lain (begitu juga sebaliknya) demi merapatkan jurang perbezaan antara sesama rakyat Malaysia yang berbilang agama.

 

Rukun 2: Kesetiaan kepada Raja dan Negara

 

Kedua, Kesetiaan kepada Raja dan Negara. Rakyat Malaysia mempunyai latar belakang keturunan, sejarah dan kebudayaan yang berbeza, seperti Melayu, Cina dan India (lebih kompleks lagi di Sarawak dan Sabah). Oleh itu, perlulah dibentuk ikatan kemalaysiaan yang dapat memintal seteguh-teguhnya puncak jiwa mereka sebagai bangsa Malaysia.

 

Antaranya, ikrar kesetiaan kepada raja dan negara. Ini bermakna seluruh rakyat Malaysia hanya mempunyai satu raja (Yang Di-Pertuan Agong) dan negara (Malaysia) sebagai aset pemilikan bersama seluruh rakyat negara ini.

 

Penghayatan holistik terhadap Rukun Negara yang kedua ini, bukan sahaja dapat mengikis prasangka dan prejudis perkauman, malah menjadi umbi kekuatan negara dan kesatuan bangsa Malaysia. Mengapa? Kita hanya mempunyai satu bapa pertiwi (Yang Di-Pertuan Agong) dan satu ibu pertiwi (Malaysia).

 

Kita sedar kesetiaan tidaklah dapat dilihat dengan mata kasar kerana kesetiaan merupakan hakikat hati yang tersirat. Sungguhpun begitu, kesetiaan masih dapat dibuktikan secara zahir. Misalnya, rakyat Malaysia yang mendaulatkan bahasa kebangsaan negara ini tidaklah dapat disangsikan lagi kesetiaan mereka kepada Malaysia kerana ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ dan ‘Bahasa Menunjukkan Bangsa’.

 

Rukun 3: Keluhuran Perlembagaan

 

Ketiga, Keluruhan Perlembagaan. Seluruh aspek kehidupan manusia perlulah berlunaskan undang-undang tertinggi, dan falsafah negara moden, ia dinamakan perlembagaan. Perlembagaan merupakan payung pernaungan yang merentangi seluruh dimensi pemerintahan negara dan rakyat.

 

Oleh sebab itu, keunggulan negara dan keutuhan rakyat bergantung kepada keluhuran perlembagaan. Perlembagaan bukan sahaja dilihat sebagai luhur (suci), malah perlu diperluhur sepenuh hati kerana dengan perlembagaan itulah negara yang merdeka dan berdaulat ini ditegakkan.

 

Sebagai tiang seri negara ini, justeru mana-mana pihak yang menentang atau mempersoalkan isi kandungan perlembagaan, ini bermakna mereka telah mencabuli keluhuran perlembagaan, dan natijahnya, mereka tidaklah layak menjadi warganegara Malaysia.

 

Jelas, mereka telah mencabut tunjang keutuhan negaranya sendiri. Di sinilah terletaknya kepentingan prinsip ketiga Rukun Negara tadi iaitu Keluhuran Perlembagaan, sebagai tiang seri negara ini.

 

Rukun 4: Kedaulatan Undang-Undang

 

Keempat, Kedaulatan Undang-Undang. Prinsip ini bertaut rapat dengan keluhuran perlembagaan kerana undang-undang merupakan cabang dan ceraian perlembagaan. Semua undang-undang yang bercanggah dengan perlembagaan persekutuan akan diisytiharkan terbatal dengan sendirinya. Kedaulatan ialah keadilan.

 

Dengan ini, undang-undang mesti ditegakkan secara adil tanpa mengira sesiapa pun, ia mesti dilaksanakan atas prinisp keadilan menerusi proses keadilan untuk memberikan hak keadilan kepada seluruh rakyat. Ini selari dengan jaminan Perlembagaan Persekutuan Malaysia (Perkara 8) bahawa semua rakyat dilayan sama rata dan sama tarafnya di sisi undang-undang.

 

Peruntukan ini dengan jelas bertujuan untuk menjamin keharmonian dalam kehidupan kenegaraan menerusi prinsip keadilan dan proses pengadilan. Kedaulatan undang-undang bukan sahaja penting untuk menyusunaturkan tatacara kehidupan rakyat yang rencam, bahkan untuk menyelesaikan seluruh permasalahan rakyat secara adil dan aman. Oleh itu, sesiapa sahaja yang mencemarkan kedaulatan undang-undang negara ini, merekalah pendosa dan penderhaka Malaysia.

 

Rukun 5: Kesopanan dan Kesusilaan

 

Kelima, Kesopanan dan Kesusilaan. Perlu ditegaskan, meskipun diletakkan sebagai prinsip Rukun Negara terakhir, namun peranan dan kepentingannya tetap setara dengan prinisp-prinsip Rukun Negara yang lain.

 

Keberadaannya dalam Rukun Negara membuktikan betapa kita mementingkan nilai-nilai ketimuran yang kita warisi daripada pusaka sejarah dan peradaban silam; betapa kita menjunjung nilai-nilai kemalaysiaan dalam kerancakan arus kemodenan dan kemajuan negara; betapa kita nekad menghayati nilai-nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan dalam koridor ketamadunan rumpun Melayu dan Asia Raya.

 

Nilai kesopanan dan kesusilaan tersebut perlulah dihayati dalam kesemua aspek kehidupan sebagai neraca keberadaban dan potret peradaban Malaysia, khasnya dalam konteks pembinaan bangsa Malaysia. Bagaimanapun, ini tidaklah bermakna kita menolak kebudayaan asing; mana-mana yang positif dan progresif, sewajarnyalah diteladani.

 

Oleh itu, sekiranya rakyat kita melanggar adab kesopanan dan resam kesusilaan Malaysia, tidak syak lagi mereka telah meranapkan tiang negara yang terakhir, robohnya citra negara dan budaya bangsa yang berdaulat.

 

Kesimpulan

 

Setiap rakyat Malaysia bukan sahaja perlu memahami, malah menghayati kesemua prinsip Rukun Negara sebagai kesan tanda taat setia mereka terhadap Malaysia. Akibat mengabaikannya (biarpun hanya satu daripada prinisp-prinisp tersebut), dengan sendirinya kita telah meruntuhkan satu daripada tiang negara ini.

 

Ini bermakna, wargenagara sedemikian bukan sekadar menjadi duri dalam daging, bahkan tidak layak mendapat hak kerakyatan Malaysia. Hakikatnya, Rukun Negara belum mendarah daging dalam diri kita.

 

Dr Nordi Achie merupakan Pensyarah Kanan di Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia