RMK-13: Hidupkan Semangat Patriotik dan Rukun Negara

Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dibentangkan kerajaan bukan sekadar dokumen pembangunan lima tahun, tetapi pelan induk yang menentukan arah perjalanan negara ke hadapan.

Jika sebelum ini rancangan pembangunan sering dikaitkan dengan angka pertumbuhan, bajet dan projek infrastruktur, RMK-13 tampil dengan wajah lebih inklusif.

Ia membawa visi besar untuk menjadikan Malaysia bukan sahaja maju dari segi ekonomi, tetapi juga sejahtera dalam aspek sosial, rohani, alam sekitar dan nilai kemanusiaan.

Pendekatan holistik ini menegaskan bahawa kemajuan sebenar bukan diukur pada pencakar langit atau angka GDP semata-mata, tetapi pada kemampuan setiap rakyat hidup bermaruah, harmoni dan melangkah maju bersama negara.

Namun, visi besar ini sukar dicapai jika kita mengabaikan asas paling penting dalam pembinaan negara iaitu perpaduan nasional. Sejarah telah membuktikan bahawa tamadun yang memiliki teknologi tinggi, kekayaan ekonomi dan tentera yang kuat tetap boleh runtuh jika kesatuan rakyatnya rapuh.

Kekayaan material sahaja tidak mampu menjamin kelangsungan sesebuah tamadun. Rom, Andalus dan Dinasti Abbasiyah membuktikan kejatuhan negara bukan berpunca daripada kemunduran ilmu, tetapi akibat retaknya kesatuan dan rapuhnya nilai moral.

Malaysia sendiri pernah berdepan detik hitam pada 13 Mei 1969, sebuah tragedi yang mengingatkan bahawa perpaduan kaum adalah nadi kelangsungan negara. Daripada pengalaman pahit itu lahirlah Rukun Negara pada 31 Ogos 1970 sebagai asas penyatuan semula rakyat.

Sejak itu, Rukun Negara bukan sekadar teks simbolik, tetapi ideologi kebangsaan yang mengikat rakyat berbilang kaum, agama dan budaya agar bergerak seiring menuju cita-cita bangsa dan negara yang satu.

Prinsip-prinsip yang digariskan dalam Rukun Negara bukanlah retorik kosong, tetapi kerangka konkrit bagi menjamin kelestarian perpaduan dan keharmonian nasional.

Kepercayaan kepada Tuhan misalnya, menegaskan bahawa pembangunan negara tanpa asas kerohanian dan nilai moral hanya akan melahirkan kejayaan yang rapuh. Rasuah, penyelewengan kuasa dan kerakusan berleluasa terjadi apabila akhlak diketepikan dan manusia hilang rasa takut kepada Tuhan.

Kesetiaan kepada Raja dan Negara menuntut rakyat dan pemimpin bersama-sama menjunjung identiti nasional, bukan menangguk di air keruh dengan memainkan isu perkauman. Kesetiaan sejati menuntut kita menjaga keamanan tanah air ini bersama-sama, bukan meruntuhkannya dengan retorik yang membakar prasangka.

Keluhuran Perlembagaan serta Kedaulatan Undang-Undang menegaskan pembangunan hanya boleh berlaku dalam kerangka keadilan, bukan dengan menggadaikan integriti demi keuntungan jangka pendek.

Ia menuntut agar undang-undang menjadi payung yang melindungi semua rakyat tanpa mengira darjat. Rukun ini menegaskan keadilan tidak boleh ditimbang dengan timbangan politik dan kekayaan.

Akhirnya, Kesopanan dan Kesusilaan ialah cerminan adab sebuah bangsa. Tanpa kesantunan dan rasa hormat, masyarakat akan terjebak dalam budaya kebencian, individualisme melampau dan kekerasan sosial.

Bayangkan jika setiap prinsip Rukun Negara benar-benar meresap ke dalam dasar pembangunan dan sanubari rakyat. Ia akan berperanan sebagai kompas moral yang memandu Malaysia untuk membangun dengan jiwa, bukan sekadar dengan batu-bata dan simen.

Realitinya, banyak cabaran menghalang penghayatan Rukun Negara. Rasuah masih berakar, retorik perkauman terus dimainkan, manakala media sosial kerap menjadi medan kebencian.

Indeks Perpaduan Nasional 2023 hanya mencatat skor “sederhana tinggi”,  menandakan masih ada jurang antara kefahaman dengan amalan. Jika benar Rukun Negara adalah kompas moral bangsa, mengapa kita masih bergelumang dengan sifat tamak, diskriminasi dan ketidakadilan? Barangkali kerana terlalu lama ia diperlakukan sebagai slogan, bukan pedoman hidup.

Menghayati Rukun Negara bererti menjadikannya prinsip hidup, bukan sekadar hafalan di perhimpunan. Pendidikan harus menanam kefahaman bahawa kepelbagaian budaya bukan ancaman, tetapi sumber kekuatan yang memperkaya bangsa.

Media dan wacana awam pula mesti mengangkat naratif kepelbagaian sebagai identiti Malaysia, bukan terperangkap dalam retorik sempit. Dalam kehidupan seharian, penghayatan ini boleh diterjemah melalui tindakan mudah: menghormati insan tanpa mengira latar belakang, menjaga adab pertuturan dan menolak prejudis.

Namun, Rukun Negara hanya bermakna jika kepimpinan menjadi teladan. Pemimpin politik, penjawat awam dan tokoh masyarakat mesti menzahirkan Keluhuran Perlembagaan dalam tindakan nyata.

Apabila mereka tampil adil, amanah dan berhemah, rakyat akan lebih mudah menghormati dan mencontohi. Nilai yang dihidupkan melalui teladan jauh lebih berkesan berbanding nilai yang dipaksa.

Menjelang Hari Kemerdekaan ini, kita perlu menginsafi bahawa erti merdeka bukan sekadar bebas daripada penjajah, tetapi juga pembebasan diri daripada sikap perkauman, prejudis dan keangkuhan yang menghakis perpaduan. Merdeka sebenar ialah apabila rakyat berdiri teguh sebagai satu bangsa, membentuk kekuatan kolektif untuk menghadapi cabaran global.

Malaysia berpotensi muncul sebagai model dunia bahawa kepelbagaian bukan punca perpecahan, tetapi sumber kekuatan yang menyatukan.

Inilah roh sebenar kemerdekaan iaitu bukan sekadar mengibarkan bendera, tetapi memperbaharui tekad membina negara bangsa yang bersatu, adil dan progresif.

Dengan perpaduan sebagai teras, cita-cita besar RMK-13 bukan sahaja dapat direalisasikan, malah akan meninggalkan warisan gemilang untuk generasi mendatang.

Basmin Maarof

Pegawai Kanan

Jabatan Komunikasi Korporat

Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia