Risalah terakhir Dr Badi’ sebelum ditangkap

Umat ini telah dimuliakan Allah dengan memberi peluang memikul risalah samawiyyah yang terakhir, penyempurna akhlak yang mulia untuk seluruh umat manusia dengan mencontohi model insan terpilih yang tiada tolok bandingnya dalam sejarah kemanusiaan, iaitu Muhammad khatamul-mursalin wa imamul-anbiaa’ ajma’ein SAW.

Sesungguhnya Allah Rabbul-‘Izzati telah mengamanahkan kita memikul risalah ini dan diperkuatkan lagi oleh Habibuna al-Mustafa SAW. Dia menyuruh kita membawa risalah ini dengan segala isi kandungannya untuk kebaikan kita dan kebaikan umat manusia seluruhnya. Dia juga mengingatkan kita agar berwaspada daripada segala perkara yang mendatangkan kejahatan kepada kita dan kepada umat manusia seluruhnya. Nas-nas berkenaan dengannya terang dan jelas:

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia.” (Aali ‘Imran: 110)

Ciri pertama yang menjadikan kita layak bergelar khaira ummah (sebaik-baik umat) ialah, ((kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji)). Inilah satu pendirian positif dan menyahut seruan yang membezakan umat ini daripada seluruh umat terdahulu; ketika mana mereka tidak bangkit melaksanakan kewajipan ini, mereka dilaknat dan dijauhkan dari rahmat Allah sebagaimana disebut di dalam firman Allah yang bermaksud:

“Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Mariam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.” (Al-Maidah: 78-79)

Dan dengan menyahut seruan ini, kita harus menanggung implikasinya. Kita akan berhadapan dengan kesusahan, pendustaan, serangan dalam bentuk fizikal, mental dan emosi, fitnah, penangkapan, penjara, malah pembunuhan dan pembakaran hidup-hidup dari musuh-musuh kebenaran dan golongan yang jahat. Perkara ini telah diperingatkan di dalam firman Allah yang bermaksud:

“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.” (Luqman: 17)

Dan Allah akan melaksanakan qadarNya ke atas kita melalui tangan para penjahat, pembunuh dan penumpah darah untuk menyempurnakan ujian supaya Allah mengetahui siapa di antara kita yang benar-benar berjuang, yang benar-benar sabar, yang munafiq, yang berbolak-balik dan yang kembali kepada kebenaran. Mereka yang kembali kepada kebenaran merupakan sebaik-baik orang yang berdosa. Kerana itu, Tuhan Rabbul-‘Izzati berfirman maksudnya:

“Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar dari orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik: Banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati. Dalam pada itu jika kamu bersabar dan bertakwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).” (Aali ‘Imran: 186)

“Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami) dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.” (Muhammad: 31)

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayatNya.” (Al-Baqarah: 155-157)

Dan kemuncak ujian Allah ke atas hambaNya ialah Dia memilih dari kalangan mereka sebagai syuhada’. Dan untuk mewujudkan syuhada’ mestilah ada golongan yang membunuh, menumpahkan darah, melakukan kekejaman terhadap mereka yang berkata “Tuhan kami hanyalah Allah” atau mereka bangkit berdiri di hadapan pemerintah yang zalim, khianat, kejam dan melampau batas, lalu berkata perkataan yang hak, menyuruh mereka berbuat makruf dan mencegah mereka dari munkar, lalu merekapun dibunuh. Hal ini digambarkan di dalam sabda Nabi s.a.w. bermaksud: “Dan lelaki yang berdiri di hadapan pemerintah yang zalim, lalu dia menyuruh dan melarang, maka dia dibunuh.” Ya, dia cuma menyuruh dan melarang. Maka siapakah yang sebenarnya pengganas di sini? Siapakah penjenayah dan siapakah penghulu syuhada’?

“Apa sudah jadi kepada akal kamu? Bagaimana kamu menetapkan hukum (yang terang-terang salahnya itu)?” (Al-Qalam: 36)

Aku ingin berkata kepada keluarga para syuhada’, tahniah kepada kamu kerana Allah telah memilih keluarga kamu sebagai syahid dan syahidah dalam perjuangan di Mesir demi menegakkan kemerdekaan, kebenaran dan kemuliaan. Semoga Allah kurniakan kami dan kamu Baitul Hamd di syurga sebagai balasan di atas keredhaan kamu menerima qadha’ dan qadar Allah, iaitu ketika kita mengucapkan kalimah pujian (Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un).

Ketika itu kita berhak menerima anugerah yang maha hebat ini kerana yang memerintahkan malaikat mencabut nyawa orang-orang yang kita sayangi adalah Dia yang berkata kepada malaikat itu: “Adakah engkau mencabut nyawa anak hambaKu yang beriman (padahal Dia mengetahui apa yang malaikat lakukan)? Engkau cabut nyawa buah hati hambaKu? Malaikat menjawab: “Ya!” Lalu Allah bertanya: “Maka apakah reaksi hambaKu? Apakah ucapannya?” Malaikat menjawab: “Mereka memujiMu dan istirja’ (iaitu berkata:الحمد لله إنا لله وإنا إليه راجعون) Allah berkata: “Binalah untuk hambaKu itu sebuah rumah di syurga dan namakan rumah itu Baitul Hamd.”

Maka untukMu ya Tuhanku segala puji dan syukur sebanyak-banyaknya. Kami semua adalah hamba-hambaMu, anak-anak kepada hamba-hambaMu. Ubun-ubun kami di dalam genggamanMu, terlaksana atas kami ketetapanMu, adil untuk kami keputusanMu. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. ikutan kami. Baginda telah mengajar kami supaya kami berkata seperti mana beliau berkata ketika Engkau mengambil nyawa puteranya yang satu-satunya, “Sesungguhnya mata ini mengalirkan airmata, hati ini terasa duka, sungguh kami sedih berpisah denganmu wahai Ibrahim. Namun kami tidak akan berkata kecuali ucapan yang diredhai oleh Tuhan kami: Ya Allah, kurniakan kami pahala untuk musibah kami dan gantikan kami yang lebih baik daripadanya.” Amin.

Di sini letaknya hakikat Islam yang penting, yang dipacakkan oleh al-Faruq Umar bin al-Khattab r.a. dalam menghadapi situasi seperti ini, ketika disampaikan kepadanya berita syahidnya tentera-tentera di medan perang. Setelah diberitahu beberapa nama yang dikenali, pembawa khabar itu menyambung, “Di sana terdapat beberapa orang syuhada’ yang engkau tidak kenali mereka dan tidak kenali bapa-bapa mereka serta tidak ada orang yang menyaksikan jenazah mereka.” Lalu khalifah yang bersifat tawadhu’ itu berkata: “Apa yang mereka dapat kalau Umar bin Ibu Umar mengenali mereka. Tuhan yang memuliakan mereka dengan anugerah syahid itu mengenali wajah-wajah mereka.”

Adapun para pembunuh dan penumpah darah, maka kami memohon kepada Allah agar menjadikan darah syuhada’ yang suci bersih ini, orang yang luka, cedera dan terbakar sebagai laknat ke atas mereka, ke atas orang yang bersekongkol dengan mereka dan orang yang membantu mereka walaupun dengan separuh kalimah. Laknat ke atas mereka hingga ke hari qiamat, sehingga termaktub di antara dua mata mereka “orang yang putus asa dari rahmat Allah”.

Kami juga memohon daripada Allah Tabaraka wa Ta’ala supaya menjadikan segala pengorbanan, pendirian, ketaatan, ibadah dan doa daripada seluruh muslimin dan muslimat sebagai tebusan untuk membebaskan umat dari segala cengkaman perhambaan kecuali kepada Allah. Semoga umat akan memperolehi semua haknya yang sah, iaitu presidennya yang dipilih melalui pilihanraya yang sah, perlembagaannya yang telah diperakui melalui pungutan suara majoriti, dipersetujui oleh mereka yang pakar, wakil-wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat Mesir, pembuat keputusan dan pemimpin tertinggi majlis revolusi.

Ikhwan Muslimin dan seluruh lapisan rakyat, warganegara Mesir yang ikhlas adalah tentera-tentera kepada bangsa ini. Mereka tidak akan mensia-siakannya, tidak akan membelakanginya, tidak akan teragak-agak untuk berkorban apa saja yang mahal dan berharga demi merrealisasikan kebebasan dan kemuliaannya serta kebenaran yang mereka telah berjanji setia untuk mempertahankannya sepanjang perjalanan yang telah memakan masa yang lama dalam menghadapi Zionis, penjajah, perampas serta orang-orang yang zalim. Semua orang yang zalim tidak pernah mengenali keganasan daripada kita dan tidak pernah dibalas kejahatan mereka melainkan dengan ihsan.

Sejarah kita menyaksikan, umat kita menyaksikan di hadapan umat-umat lain dan Allah sebaik-baik saksi apa yang kami lakukan terhadap orang yang menghukum kami di mahkamah tentera yang hukumannya mencecah lebih daripada 15,000 tahun penjara. Bahkan mereka menggantung kami di kayu-kayu gantung, membunuh kami dengan siksaan yang memeritkan di penjara-penjara dan kurungan-kurungan.

Mereka membunuh kami ketika tunjuk perasaan dan perhimpunan aman, mereka bakar kami bersama rakyat Mesir yang mulia, mereka bakar harta milik kami. Dan sebelum itu mereka bunuh kami melalui tangan-tangan samseng ketika mereka memalsukan pilihanraya. Dan siapakah yang telah memalsukan pilihanraya yang kami menang. Sebanyak  6000 keputusan mahkamah menyebelahi kami, namun yang dilaksanakan hanya satu sahaja.

“Katakanlah (wahai Muhammad): Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar.” (Al-Baqarah: 111)

Maka siapakah yang menghormati mahkamah dan siapakah yang menghinanya? Siapakah yang menghormati undang-undang dan siapakah yang memijak perlembagaan dan undang-undang serta kehendak rakyat Mesir keseluruhannya sekarang dengan kasutnya dan yang mengikut kehendak Nazisme, Fasisme dan Pharaonic? Tetapi negara kezaliman itu satu saat, sedangkan negara kebenaran itu kekal hingga ke hari qiamat. Allah ‘Azza wa Jalla bersumpah dengan Keagungan dan Kebesaran-Nya akan memakbulkan doa setiap orang yang dizalimi.

“Demi sesungguhnya Aku akan menolong kamu walaupun selepas beberapa ketika.” Akan datang saat dan ketika itu dengan yakin, pasti dan segera dengan izin Allah kerana Allah, Dialah al-Haq dan Dia akan menghantarkan kebenaran Rabbani yang tidak akan mampu ditangkis oleh senapang kamu, kapal terbang kamu, senjata api kamu dan senapang kamu. “Bahkan Kami sentiasa mengarahkan yang benar menentang yang salah, lalu dia menghancurkannya, maka dengan serta-merta hilang lenyaplah ia dan (tetaplah) kecelakaan akan menimpa kamu disebabkan apa yang kamu sifatkan (terhadap Kami).” (Al-Anbiaa’: 18)

Adapun kamu wahai orang yang berjiwa merdeka di seluruh dunia, sama ada individu, kerajaan atau institusi, kami meminta agar mereka berdiri dengan teguh bersama kebenaran, kebebasan demi seluruh rakyat di dunia. Sesungguhnya telah berlalu pergi zaman rampasan kuasa tentera, pergi yang tidak akan kembali lagi. Sesungguhnya kamu telah bangkit menentangnya di setiap tempat sebagai tanda setia kepada nilai-nilai kebebasan, keadilan dan hak asasi manusia.

Adapun orang yang memilih untuk berdiri bersama dengan kezaliman, kekerasan, pembunuhan, penumpahan darah, pembakaran orang yang tidak berdosa, aku berkata kepada mereka, sama ada mereka terdiri daripada orang perseorangan, atau pakatan, atau institusi tempatan atau antarabangsa, kerajaan Arab atau bukan Arab, aku katakan kepada mereka: dekat dan sangat dekat dengan izin Allah kamu akan menyesal di atas pendirian ini kerana Allah akan menolong kebenaran. Dia telah berkata, dan kata-kataNya adalah benar. Allah berfirman:

“Dalam sedikit masa lagi mereka akan menjadi orang-orang yang menyesal.” (Al-Mu’minun: 40)

“Dan (ingatlah), orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali.” (Asy-Syu’araa’: 227)

“Mereka akan mengetahui kelak siapakah orangnya yang pendusta, lagi sombong angkuh itu.” (Al-Qamar: 26)

Dan aku yakin, sesiapa yang ingin mengambil pengajaran daripada pendirian dan sifat tsabat, sabar, keperwiraan, hendaklah dia melihat kepada penduduk Palestin. Kita tidak mensucikan mereka, tetapi telah terbukti mereka tidak gentar kepada alat-alat perang Zionis yang mencerobohi kawasan larangan setiap hari. Semua itu tidak sedikitpun dapat mengurangkan keazaman mereka, ketabahan mereka dan penolakan mereka secara total terhadap penjajahan. Lantaran itu Rasulullah SAW telah menyampaikan khabar gembira bahawa mereka akan menang. Mereka tidak akan terkesan oleh orang yang menentang mereka, yang menginjak mereka dan yang membiarkan mereka dizalimi serta enggan menolong mereka.

“Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” (Al-Hajj: 40)

Kita adalah umat yang tsabat kerana sesuatu yang dilakukan kerana Allah akan kekal dan berterusan. Kita adalah umat yang berpuasa enam hari daripada Syawal selepas Ramadhan. Kita adalah umat yang berpuasa hari Isnin dan Khamis. Dan kerana alam ini mempunyai Tuhan yang mentadbir dengan kuasa-Nya semua perkara:

“Oleh itu, sembahlah akan Dia serta berserahlah kepada-Nya dan (ingatlah), Tuhanmu tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.” (Hud: 123)

Dan bagi kebenaran itu ada Tuhan yang melindunginya. Bagi kebatilan pula kehinaan, penyesalan dan kerugian kepada mereka yang berpegang dengannya, di dunia dan akhirat.

“Maka mereka akan menganggukkan kepala mereka kepadamu sambil bertanya secara mengejek: Bila berlakunya? Katakanlah: Dipercayai akan berlaku tidak lama lagi!” (Al-Israa’: 51)

“Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Yusuf: 21)

Allahu Maha Besar. Segala puji bagi Allah. Benarlah janji-Nya. Dia memuliakan tentera-Nya dan menewaskan tentera bersekutu sendiri sahaja.

Selawat serta salam ke atas penghulu kita Muhammad, keluarga dan sahabat Baginda.

Kaherah 13 Syawal 1434 bersamaan 20 Ogos 2013.


Risalah terakhir yang ditulis Mursyid Am IM, Dr Muhammad Badi’ sebelum beliau ditangkap oleh perampas kuasa berdarah.

Sumber: http://zaadut-taqwa.blogspot.com/2013/09/umat-yang-memiliki-matlamat-yang-mulia.html

Sumber asal: http://www.ikhwanonline.com/Article.aspx?ArtID=160435&SecID=213

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia