Risalah 1: Hukum-hakam Berkaitan Sumpah Laknat

Risalah 1: Hukum-hakam Berkaitan Sumpah Laknat | IKRAM

Sumpah Laknat

1. Hadis dan kaedah fiqh

Daripada Ibnu Abbas RA, sabda Rasulullah SAW:

البيّنةُ على المُدّعي ، واليمينُ على من أَنكرَ

“Bukti itu bagi mereka yang mendakwa, dan (jika pendakwa itu gagal membawakan bukti) bersumpah itu bagi mereka yang menafikan dakwaan itu.” (Hadis hasan riwayat al-Baihaqi dan dikuatkan oleh lafaz-lafaz yang berbeza daripada pelbagai jalur yang sahih)

Hadis ini dijadikan asas kepada kaedah fiqh oleh para ulama.

Dr Abdul Karim Zaidan menyimpulkan daripada perbincangan ulama tentang kedudukan sumpah dalam menyabitkan hukum di mahkamah. Berdasarkan dan selaras dengan maksud hadis ini, beliau menjelaskan bahawa:

“Apabila pendakwa telah menyabitkan dakwaannya dengan pengakuan defendan, dengan saksi yang diterima (pengakuannya oleh mahkamah), ataupun dengan dalil-dalil penyabitan hukum ke atasnya, maka hakim akan memutuskan mengikut dakwaan pendakwa. Jika pendakwa tidak mampu menyabitkan, (barulah) hakim akan membenarkan pendakwa meminta lawannya iaitu si defendan bersumpah, kerana meminta sumpah itu hak pendakwa. Lalu apabila pendakwa menuntut sumpah itu, hakim akan meminta defendan untuk bersumpah. Jika defendan bersumpah, hakim akan menarik balik tuduhan ke atasnya, dan jika defendan enggan, hakim akan menghukum ke atas defendan dengan dakwaan pendakwa…” (rujuk Nizham al-Qadha’ fi al-Syari’ah al-Islamiyyah, hlm. 169)

Imam al-Syafi’e pula berpandangan, prosedur bersumpah turut diguna pakai dalam kes bunuh (lihat Nizham al-Qadha’ fi al-Syari’ah al-Islamiyyah, hlm. 169; penulis merujuk kepada kitab al-Mughni, 9/237-239) tetapi berdasarkan prosedur yang disebutkan di atas.

Dalam konteks ini, akuan bersumpah itu tidak akan mengatasi nilai bahan bukti dan keterangan saksi dalam mahkamah. Sebaliknya, ia hanya terpakai jika hakim menetapkan bukti atau saksi dikira tiada ataupun tidak mencukupi.

Berdasarkan pandangan ini, dapat disimpulkan bahawa:

a) Bagi kes di mana bukti sudah ada dan diterima mahkamah, maka sumpah itu tidak akan terpakai lagi. Prinsip perundangan bahawa sumpah itu lebih lemah daripada bukti dan keterangan saksi disepakati oleh fiqh Islam dan sistem kehakiman moden.

b) Hadis ini bermaksud yang bukti itu lebih diutamakan daripada sumpah. Daripada bahagian fiqh kehakiman, hanya hudud zina dalam masalah li’an antara suami isteri yang mengutamakan (membolehkan/membenarkan) sumpah (sekiranya tiada saksi atau bukti) daripada kewujudan bukti kerana berkaitan hal ehwal dalaman rumah tangga serta perceraian.

c) Sumpah yang dimaksudkan Imam al-Syafi’e dan Dr Abdul Karim Zaidan merujuk kepada sumpah yang dilakukan atas perintah hakim dalam mahkamah atau majlis perbicaraan, bukan sumpah yang dilakukan sendiri di luar mahkamah.

2. Mahkamah dan prosedur akuan sumpah

Mahkamah mempunyai prosedur akuan bersumpah bagi setiap pihak yang memberi keterangan. Maka, meskipun tidak dibuat di masjid, setiap pihak terlibat sama ada daripada pihak pendakwa, pembela atau saksi, akan ditimpa dosa dan laknat daripada sumpahnya jika dia berdusta dalam mahkamah.

Dalam sebuah hadis disebutkan:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ جَاءَ أَعْرَابِيٌّ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الْكَبَائِرُ قَالَ الْإِشْرَاكُ بِاللَّهِ قَالَ ثُمَّ مَاذَا قَالَ ثُمَّ عُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ قَالَ ثُمَّ مَاذَا قَالَ الْيَمِينُ الْغَمُوسُ

Daripada Abdullah bin ‘Amr, beliau berkata: Seorang Arab Badwi datang kepada Nabi SAW lalu berkata, “Wahai Rasûlullâh! Apakah dosa-dosa besar itu?” Baginda SAW menjawab, “Isyrak (menyekutukan sesuatu) dengan Allâh”, beliau bertanya lagi, “Kemudian apa?”, Baginda SAW menjawab, “Kemudian durhaka kepada dua orang tua”, dia bertanya lagi, “Kemudian apa?”, Beliau menjawab, “Sumpah yang menjerumuskan (sumpah yang dusta, untuk kezaliman).” [HR al-Bukhâri, no. 6255]

3. Risiko bersumpah di luar mahkamah

Tindakan bersumpah di luar mahkamah adalah berisiko kerana ia membuka ruang helah di mana seseorang itu menggunakan teksnya sendiri yang mungkin berbeza daripada perkara yang dituduhkan terhadapnya, tetapi orang menyangka ia adalah perkara yang dituduhkan.

Pihak yang menggunakan helah ini menyangka perkara yang disumpahkan itu melepaskan dirinya daripada dosa. Namun, tindakan helah dalam bab yang menzalimi hak orang lain ataupun membolehkan seseorang lari daripada hukuman adil itu dosanya sama sahaja dengan pembohongan, apatah lagi bila disertai sumpah.

Berdasarkan prinsip al-Quran, al-Sunnah dan maqasid syarak, syarak mengharamkan dan membatalkan segala helah untuk membuat dosa (rujuk perbincangan panjang lebar al-Syatibi dalam al-Muwafaqat dan Ibnu Qayyim dalam I’lam al-Muwaqqi’in dan Ighatsah al-Lihfan tentang pembatalan helah).

Menurut dimensi perundangan pula, sumpah yang dilakukan sendiri di luar mahkamah ini tidak akan mengubah apa-apa keputusan dan perjalanan perbicaraan di mahkamah, manakala menurut dimensi hukum-hakam, implikasi dosa dan pahala sumpah yang dilakukan di luar mahkamah itu tetap terpakai.

4. Kesimpulan

Jika yang bersumpah itu berdusta, maka dia mendapat dosa yang akan ditambah kepada sumpah yang dilafazkan dalam mahkamah.

Waliyullah al-Dahlawi dalam Hujjatullah al-Balighah menyebutkan bahawa yang bersumpah dalam prosedur li’an bagi menolak tuduhan berzina dan qazaf oleh suami ataupun isteri kepada pasangannya itu dilakukan dalam masjid kerana berdusta dalam masjid itu dosanya lebih berat, terutamanya jika dilakukan di sekitar mimbar. Hal ini menjelaskan bahawa tindakan bersumpah di masjid menambah beratnya dosa jika seseorang itu berdusta.

Jika pihak yang bersumpah itu bercakap benar dan bukan atas niat helah, maka hukumnya adalah harus. Namun, ia tetap tidak akan mengubah apa-apa keputusan mahkamah.

Perbuatan ini juga boleh dikira memberi kesan kepada kewibawaan mahkamah, ataupun dikira mencabar mahkamah sekiranya perbicaraan masih sedang dijalankan.

Risalah ini dikeluarkan oleh:
Majlis Hal Ehwal Syariah IKRAM
19 Disember 2019

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia