Bayangkan anda sedang scroll Instagram atau TikTok dan tiba-tiba, satu video pendek muncul. Dalam masa 60 saat, anda dihidangkan dengan satu pengajaran Islam yang mendalam, disampaikan dengan cara yang begitu memikat sehingga anda tidak sedar yang anda telah menekan butang “share”.
Inilah realiti kehidupan hari ini, di mana kebijaksanaan berabad-abad Islam telah dikemas kini untuk generasi digital.
“Video Kapsul Dakwah” – istilah ini mungkin asing bagi sesetengah pihak, namun kini sudah menjadi sebutan ramai. Seperti ubat di dalam kapsul yang padat dengan bahan aktif, video-video ringkas ini padat dengan ilmu dan hikmah, namun disampaikan dalam bentuk yang mudah dihadam oleh minda moden kita.
Revolusi senyap dalam dakwah
Fenomena ni bukan sekadar trend yang akan hilang seperti buih teh tarik yang dikacau, namun ia merupakan satu revolusi senyap dalam dunia dakwah Islam.
Mari kita fikir sejenak, jika dahulu, kita perlu menghadiri kuliah selama berjam-jam dan membaca kitab-kitab tebal hanya semata untuk mempelajari satu topik tentang ilmu Islam.
Tapi sekarang, cukup sekadar swipe saja di telefon bimbit dan boom! â kita telah memperolehi segudang ilmu yang boleh ubah perspektif hidup.
Walau bagaimanapun, jangan salah anggap terhadap video kapsul ini. Walaupun berdurasi pendek, namun ia mampu memberikan impak yang luar biasa. Seperti vitamin harian untuk jiwa, setiap dos kecil itu boleh bagi kesan yang besar apabila dikumpul dari masa ke masa.
Dari golongan remaja yang baru hendak kenal agama, sampailah kepada orang dewasa yang ingin mengulang kaji pengetahuan, semua tahap umur boleh dapat manfaat.
Apa yang menyebabkan “Video Kapsul Dakwah” ini menjadi seakan api yang merebak di âhutanâ media sosial? Kenapa tiba-tiba ramai orang tertarik dengan cara penyampaian Islam seperti ini?
Namun apa yang lebih utama, bagaimana fenomena ini telah mengubah landskap dakwah Islam dalam dunia yang semakin digital?
Jom, kita selami lebih dalam tentang fenomena yang telah berjaya membuatkan ramai orang ‘ketagih’ kepada ilmu agama – satu ketagihan yang mungkin diperlukan oleh semua bagi memberikan ruang mencipta ketenangan dalam dunia yang penuh dengan distraksi ni.
Kriteria video kapsul dakwah
Kriteria video kapsul dakwah adalah seperti berikut:
- Pendek tapi Padat
Video kapsul ini biasanya antara 15 saat hingga 1 minit sahaja. Sungguhpun begitu, ia masih boleh menyampaikan mesej yang kuat dan lengkap.
Sebagaimana kajian yang telah dilaksanakan oleh Microsoft, kadar tumpuan manusia pada zaman kini telah menurun kepada lapan saat sahaja. Oleh itu, kaedah pembelajaran melalui video pendek amat sesuai dengan cara otak kita bekerja sekarang.
- Visualisasi yang Menarik
Kajian mendapati otak manusia memproses visual dengan kadar 60,000 kali lagi cepat berbanding teks.
Oleh itu, bermodalkan grafik yang cantik, animasi yang lancar dan transisi yang menarik dan eye-catching, maka kaedah video kapsul dakwah ini dapat menjadikan mesej yang disampaikan lebih melekat dalam ingatan.
- Penceritaan (Storytelling) yang Berkesan (Powerful)
Salah satu kelainan yang ditonjolkan dalam video kapsul ini adalah penggunaan teknik storytelling. Sebagai contoh, penceritaan dimulakan dengan satu situasi yang berkaitan dengan situasi yang ingin dikupas.
Selepas itu, ditonjolkan pula âplot twistâ yang akan membuatkan penonton berfikir. Pada akhir cerita itu pula dimasukkan elemen nasihat untuk dijadikan pedoman.
Teknik ni sebenarnya menggunakan ilmu psikologi iaitu cerita yang ditonton boleh meningkatkan pengeluaran hormon oxytocin dalam otak; hormon yang membuatkan kita berasa empati dan beremosi.
- Bahasa Santai tapi Tepat dan Sampai
Perbualan dalam video kapsul ini juga menggunakan bahasa harian yang ringkas dan mudah difahami.
Walau bagaimanapun, ketepatan maksud mesej yang ingin disampaikan tetap dijaga. Hal ini selaras dengan prinsip dakwah dalam Islam yang sentiasa menekankan ‘hikmah’ atau kebijaksanaan dalam penyampaian.
Dakwah dan perubahan di media sosial
Walaupun video kapsul ini sering dipandang mudah, namun ia bukanlah sekadar mengumpul âLikesâ dan âSharesâ sahaja. Banyak perubahan besar yang telah dibawa oleh fenomena pelaksanaan dakwah terutamanya di media sosial.
- Pendemokrasian Ilmu Islam
Jika dahulu, untuk mendapatkan sesuatu ilmu terutamanya ilmu agama, kita perlu menghadirkan diri ke madrasah atau masjid.
Berbeza dengan zaman kini, setiap orang mempunyai akses kepada video ceramah atau pengajaran agama. Kita boleh belajar pada bila-bila masa dan di mana juga.
Kajian juga mendapati bahawa 62 peratus pengguna Internet di Malaysia menggunakan media sosial untuk mencari info tentang agama. Maka, ia telah membuka ruang dan peluang kepada semua orang untuk belajar.
- Menarik Minat Generasi Muda
Gen Z dan millennials yang selalu dituduh ‘jauh daripada agama’ sebenarnya amat tertarik dengan kaedah dakwah sebegini.
Hasil daripada satu tinjauan yang dijalankan oleh Pew Research Center pada tahun 2022 telah menunjukkan bahawa 73 peratus remaja Muslim di Asia Tenggara menggunakan media sosial untuk belajar tentang Islam.
Fenomena ini mencerminkan perubahan paradigma dalam cara generasi muda mendekati dan memahami agama. Video kapsul dakwah dengan formatnya yang ringkas dan menarik telah berjaya âmenjambataniâ atau mempertemukan titik jurang antara tradisi keagamaan dan realiti digital yang menjadi sebahagian besar kehidupan anak muda hari ini.
- Membuka Ruang Dialog
Ruangan komen pada video-video ini telah berkembang menjadi forum perbincangan mini yang dinamik. Para penonton mempunyai peluang untuk mengajukan pertanyaan, berkongsi pengalaman peribadi dan bahkan melibatkan diri dalam perbahasan intelektual.
Fenomena ini sebenarnya menghidupkan semula tradisi perbincangan ilmu dalam Islam, namun kini dalam bentuk digital yang lebih mudah diakses. Perkembangan ini mencerminkan konsep ‘halaqah’ dalam tradisi keilmuan Islam, di mana pelajar berkumpul mengelilingi guru untuk berdiskusi dan mendalami ilmu.
Dalam konteks moden, ruangan komen ini berfungsi sebagai ‘halaqah digital’, membolehkan pertukaran idea dan pengetahuan berlaku merentasi sempadan geografi dan masa.
Atasi cabaran tersendiri
Walau bagaimanapun, perlu diakui bahawa medium ini juga membawa cabaran tersendiri. Ketiadaan interaksi bersemuka boleh mengakibatkan salah faham atau penyebaran maklumat yang tidak tepat.
Oleh itu, adalah penting bagi penghasil kandungan dan pentadbir platform untuk memantau dan menguruskan perbincangan ini dengan teliti, memastikan ia kekal konstruktif dan beretika.
Video kapsul dakwah mungkin kelihatan seperti sekadar satu trend semasa dalam landskap media digital. Namun hakikatnya, fenomena ini merupakan suatu revolusi senyap yang mentransformasi kaedah pembelajaran dan perkongsian ilmu Islam.
Inovasi ini bukan sahaja menjadikan dakwah lebih mudah diakses, malah ia turut membuka ruang yang lebih luas untuk perbincangan dan pemahaman yang lebih mendalam tentang ajaran Islam.
Konsep ini sebenarnya menghidupkan semangat hadis Nabi Muhammad SAW yang berbunyi, “Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat.” (Sahih al-Bukhari, 3461)
Video-video pendek ini boleh dilihat sebagai manifestasi moden daripada ajaran tersebut, di mana generasi kontemporari menterjemahkan semangat penyebaran ilmu dalam konteks era digital. Ia membuktikan bahawa prinsip-prinsip asas Islam tetap relevan dan boleh disesuaikan dengan perkembangan teknologi semasa.
Walau bagaimanapun, adalah penting untuk mengimbangkan kelebihan format ringkas ini dengan keperluan untuk mengekalkan kedalaman dan ketepatan ajaran Islam.
Para penghasil kandungan dan ulama perlu bekerjasama untuk memastikan bahawa mesej yang disampaikan walaupun ringkas, tetap menepati prinsip-prinsip syariah dan tidak mengurangkan keutuhan ajaran Islam.
Perkembangan signifikan
Kesimpulannya, fenomena video kapsul dakwah ini merupakan satu perkembangan yang signifikan dalam evolusi dakwah Islam. Ia mencerminkan kesyumulan Islam terus kekal relevan dan dinamik dalam menghadapi cabaran zaman moden.
Pendekatan ini bukan sahaja memperluas jangkauan dakwah, tetapi juga menawarkan cara baharu untuk menghayati dan memahami risalah Islam meliputi seluruh alam.
Namun, seperti mana-mana inovasi, ia perlu dimanfaatkan dengan bijaksana dan bertanggungjawab untuk memastikan kesinambungan dan keutuhan ajaran Islam dalam era digital.
Nurul Nisha Mohd Shah (Pensyarah Komunikasi, UiTM Kampus Rembau)
Mohd Radzman Basinon (Pengarah Kreatif, Sixtysix Action Academy)