Seramai 4 orang delegasi IKRAM telah menghadiri muktamar tersebut iaitu Ustaz Wan Subki Wan Salleh (Naib Presiden), Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor(Aqsa Syarif), Ustaz Noor Syazlie Ramely dan Saudara Naim Jusri.
Muktamar yang bertemakan “Sesungguhnya kamu adalah umat yang satu dan Aku adalah Tuhanmu , maka hendaklah engkau bertakwa”, mengumpulkan para ulama’, wakil-wakil gerakan Islam dunia dan juga wakil pemimpin pembebasan Syria sebagai bentuk perkongsian pendedahan serta perkembangan terkini di Syria dan memupuk kesedaran membantu perjuangan rakyat Syria.
Turut hadir dari Malaysia adalah wakil PAS iaitu YB Nasharudin Mat Isa, Ustaz Zaharudin Mohamad, Ustaz Syed Abdul Kadir Al-Joffree dan Cikgu Hussin Ismail manakala ABIM diwakili Ustaz Mohd Naim Mohd Noor.
RESOLUSI MUKTAMAR
1. Membentuk panel ulama’ terkemuka dan pemikir Islam dengan kerjasama Kesatuan Ulama’ Islam Antarabangsa untuk mengadakan lawatan dengan pemimpin-pemimpin dunia Arab dan Islam untuk menyeru dan mendesak mereka agar menyokong perjuangan rakyat Syria.
2. Mewujudkan kumpulan kerja bersama di antara ulama’ dan pendakwah di negara-negara Arab dan juga dunia Islam di bawah nama (Penyokong Rakyat Syria) untuk bekerjasama dan melakukan modus operandi bagi membantu kebangkitan rakyat Syria.
3. Pembentukan organisasi yang berkekalan bagi menyokong rakyat Syria dari semua aspek samada media, pembangunan sosial dan sebagainya.
4. Membentuk jawatankuasa yang akan bergerak sebagai memastikan setiap keputusan dan cadangan persidangan ini dilaksanakan. Di antara yang menyertai jawatankuasa ini adalah Setiausaha Agung Kesatuan Ulama’ Islam Antarabangsa, Setiausaha Agung Rabitah Ulama’ Syria, dan beberapa individu yang lain lagi.
5. Pembentukan panel Ulama’ Syria yang akan menyelaraskan gerak kerja bersama Majlis Negara Syria. Dan mereka menyeru agar semua kumpulan pembangkang bekerjasama dan berurusan dalam memastikan kemenangan kebangkitan rakyat Syria.
CADANGAN DAN SARANAN MUKTAMAR
1. Keperluan untuk menyatakan sokongan yang sepenuhnya dari sudut bantuan kewangan, moral dan juga ketenteraan kepada rakyat Syria untuk memberi kejayaan dan kemenangan kepada revolusi Syria.
2. Mengembangkan maklumat secara komprehensif untuk menyedarkan kepada dunia berkenaan isu sebenar yang berlaku di Syria. Ia juga untuk menjelaskan isu sebenar yang berlaku akibat masih ramai yang tidak jelas berkenaan isu Syria.
3. Para hadirin muktamar bersetuju bahawa sesungguhnya umat Islam itu bersatu. Maka wajib bagi setiap umat Islam mengambil cakna dan tindakan terhadap saudara mereka yang dizalimi di mana-mana tempat sekalipun terutamanya di Syria.
4. Penyelarasan antara organisasi bantuan kemanusiaan dan pertubuhan amal, Bulan Sabit Merah, Palang Merah, dan organisasi yang bekerja untuk menyokong kebangkitan rakyat Syria melalui pembentukan Suruhanjaya Tinggi yang seragam.
5. Pembentukan Jawatankuasa Bersatu Ulama’ dan pemikir di setiap negara untuk menyokong kebangkitan rakyat Syria, dari sudut penyebaran maklumat dan juga politik.
6. Pembentukan panel peguam dan pakar dalam undang-undang antarabangsa untuk mendakwa Basyar al-Assad dan pembantu-pembantunya terhadap jenayah kemanusiaan yang telah dilakukan.
7. Permintaan kepada pembangkang Syria agar bersatu dan bernaung di bawah payung Majlis Kebangsaan Syria melalui perangkaan pelan strategik termasuk keperluan masa kini dan masa depan.
8. Memanggil kesemua Kementerian Wakaf, Jabatan Masjid, pusat-pusat Islam dan pihak berkuasa yang berkaitan untuk membimbing pendakwah bagi menjelaskan berkenaan peristiwa sebenar apa yang berlaku terhadap rakyat Syria dan kewajipan menyokong mereka.
9. Menyeru agar para ulama’ untuk melawat pelarian-pelarian Syria di Turki, Jordan, Lubnan dan Iraq bagi membimbing, mengukuhkan semangat dan keadaan mereka.
10. Memanggil kesemua doktor-doktor untuk melakukan misi kemanusiaan terhadap mangsa-mangsa regim Basyar samada di dalam negara Syria mahupun luar Syria.
11. Menyeru agar mengkhususkan hari Jumaat ini (6 Julai 2012) sebagai Jumaat kemenangan untuk rakyat Syria. Para khatib Jumaat di negara masing-masing perlu menyebutnya di dalam khutbah dan memperuntukkan malam-malam Ramadan untuk berdoa dan qunut nazilah di seluruh masjid.
12. Menterjemahkan segala maklumat-maklumat daripada laman-laman web dan Facebook berkenaan Revolusi Syria ke dalam bahasa umat Islam dan seluruh dunia.
13. Menyeru agar umat Islam supaya memboikot negara-negara yang menyokong rejim zalim Basyar dari sudut ekonomi, politik dan juga komersial.
14. Sentiasa memperingati dan memberi sokongan kepada kebangkitan rakyat Syria di samping tidak pernah lupa perjuangan rakyat Palestin dan menyakini bahawa kemenangan revolusi di Syria suatu ketika nanti di samping kejayaan revolusi di Mesir, Tunisia dan Libya, adalah permulaan kepada pembebasan Baitulmaqdis di Palestin.
Perkongsian tokoh-tokoh ulama, pengalaman wakil IKRAM dan penyerahan sumbangan rakyat Malaysia melalui IKRAM semasa muktamar akan diperincikan dalam beberapa siri yang akan datang.