Mengikuti amanat Presiden IKRAM, Ustaz Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad dalam sebuah program bagi meniupkan semula semangat keazaman yang tinggi dalam dakwah terutamanya kepada ahli-ahli penggerak jamaah ini.
Dalam ucapannya, beliau telah menyedarkan kita bahawa sifat manusia ini sendiri sememangnya diciptakan lemah walaupun para du’at sendiri merasai kelemahan itu. Kerana itu Allah berfirman:
وَخُلِقَ الْاِنْسَانُ ضَعِيْفًا
“..Dan manusia diciptakan dalam keadaan lemah.” (An-Nisaa’: 28)
Para sahabat ridwanullahi ‘alaihim juga menghadapi saat-saat getir dan payah membuatkan mereka juga rasa lemah tidak berdaya untuk menghadapinya.
Namun, sejarah membuktikan bahawa mereka semua mampu bangkit menghadapi setiap saat kegetiran yang meresahkan. Dengan berbekalkan keimanan dan ketakwaan, membina keazaman yang tinggi bagi mencapai matlamat yang agung, iaitu mendapatkan keredaan Allah Taala.
Peristiwa Perjanjian Hudaibiyah juga merekodkan bahawa meredai sebuah keputusan yang dilihat berat sebelah juga sangat sukar diterima sehingga ada sahabat yang menunjukkan protes terhadap keputusan tersebut.
Namun, dengan tauladan yang dimulai oleh baginda Nabi SAW dengan bertahallul, akhirnya para sahabat juga turut bertahallul walaupun ada yang terluka semasa bercukur kerana menahan marah.
Ini semua detik-detik penting yang mengajar kita untuk menyuntik kembali semangat keazaman yang telah hilang seperti semangatnya kita mula-mula berafiliasi dengan jamaah dakwah ini. Selepas kepayahan itu, Allah khabarkan kegembiraan bagi memberikan motivasi untuk terus beramal.
Siapa sangka selepas Perjanjian Hudaibiyah, dakwah Islam telah berkembang lebih jauh lagi kerana tidak bertumpu kepada peperangan dengan pihak Musyrikin Quraisy sehingga dapat mengumpulkan lebih 10,000 tentera Muslimin semasa Fathu Makkah.
Tatkala tentera Muslimin yang berjumlah 3,000 orang berhadapan dengan tentera Rom seramai 100,000 orang di Mu’tah, daripada Zaid bin Harithah RA, kemudian Ja’far bin Abi Thalib RA dan seterusnya Abdullah bin Rawahah RA gugur satu per satu dalam perang ini berdasarkan pesan Nabi sebelum melancarkan ekspedisi ini.
Namun begitu, Thabit bin Arqam RA melantik Khalid bin al-Walid RA untuk memimpin ekspedisi ini bagi mengeluarkan tentera Muslimin daripada kebinasaan.
Beliau menukar strategi dengan menyusun pasukan Muslimin memanjang ke belakang dan membuat keriuhan di barisan belakang musuh dengan cara hit and run bagi mengelirukan musuh seterusnya taktik ini berjaya mengundurkan tentera Muslimin sedikit demi sedikit.
Menurut Presiden IKRAM, semangat sahaja tidak memadai tetapi perlulah semangat itu disalurkan pada kerangka strategi yang berkesan dan menyeluruh.
Ya benar! Jamaah sudah ada perancangan yang mampan, namun ada dalam kalangan ahli yang kian luntur semangatnya mungkin dek tekanan hidup era pandemik yang merumitkan daripada kebiasaan gerak kerjanya mahupun kehidupan peribadinya.
Masa kian berlalu dan dakwah juga akan terus berkembang, sama ada dengan kita bersamanya ataupun tanpa kita. Bagi kita yang telah membenarkan janji Allah dan yakin atas pertolongan-Nya, keadaan lemah itu menyedarkan kita betapa kita perlukan Allah.
Tidaklah Dia menguji kita sehingga lemah begini melainkan Dia mahu kita benar-benar mengharapkan-Nya. Apabila kita merasa mengharapkan pada-Nya, kita akan kuat dengan kekuatan daripada-Nya kerana kita membenarkan janji kita kepada-Nya, sepertimana dalam firman-Nya:
مِنَ الْمُؤْمِنِيْنَ رِجَالٌ صَدَقُوْا مَا عَاهَدُوا اللّٰهَ عَلَيْهِ ۚ فَمِنْهُمْ مَّنْ قَضٰى نَحْبَهٗۙ وَمِنْهُمْ مَّنْ يَّنْتَظِرُ ۖوَمَا بَدَّلُوْا تَبْدِيْلً
“Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Dan di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak mengubah (janjinya).” (Al-Ahzab: 23)
فَاِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًاۙ
اِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًاۗ
فَاِذَا فَرَغْتَ فَانْصَبْۙ
وَاِلٰى رَبِّكَ فَارْغَبْ ࣖ
“Maka sesungguhnya setiap kesukaran disertai kemudahan. Bahawa sesungguhnya setiap kesukaran disertai kemudahan. Maka apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain). Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau berharap.” (Asy-Syarh: 5-8)
Mohd Syariffudin Abu Kassim