RCI Tabung Haji: Ulama dan Agamawan Capai 7 Resolusi

RCI Tabung Haji

AMPANG – Lebih 100 alim ulama dan agamawan dari seluruh negara berhimpun dalam Persidangan Khas Ulama & Agamawan: Hifz al-Mal pada Ahad, 16 Ogos lalu.

Persidangan ini bertujuan untuk bermuzakarah mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji serta tanggungjawab menjaga simpanan kira-kira 9.7 juta pendeposit umat Islam.

Prinsip Hifz al-Mal, iaitu menjaga dan melindungi harta, menjadi asas penting dalam persidangan tersebut. Dalam konteks Tabung Haji, prinsip ini membawa tanggungjawab yang sangat besar kerana institusi berkenaan menguruskan simpanan jutaan rakyat yang berhasrat menunaikan ibadah haji.

Antara pengisian utama persidangan ialah sesi “Merungkai RCI Tabung Haji” yang meneliti dapatan RCI daripada sudut profesional. Persidangan kemudiannya diteruskan dengan sesi “RCI Tabung Haji: Kebangkitan Ummah dan Ulama” yang memberi perhatian kepada peranan agamawan dan masyarakat dalam memahami fakta serta mempertahankan amanah umat.

Perbincangan tersebut turut membawa mesej bahawa menjaga institusi Islam bukan bermaksud menutup kelemahan atau menghalang masyarakat daripada bertanya. Sebaliknya, institusi umat akan menjadi lebih kukuh apabila fakta diterangkan secara terbuka, kelemahan diperbaiki dan sebarang kesalahan ditangani mengikut proses undang-undang.

Pegawai Kanan Jabatan Pendidikan Masyarakat Pertubuhan IKRAM Malaysia, Puan Atriza Umar, turut hadir sebagai peserta jemputan dalam persidangan tersebut.

“Kehadiran ini mencerminkan sokongan terhadap usaha meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai amanah, integriti dan tadbir urus institusi yang mengendalikan harta umat,” ujarnya.

Uniknya, persidangan tersebut tidak hanya menghimpunkan golongan agamawan, malah turut melibatkan ahli panel daripada pelbagai latar belakang profesional dan keilmuan. Mereka terdiri daripada akauntan bertauliah, pengulas ekonomi, pengamal undang-undang, asatizah serta ulama pondok.

Gabungan kepakaran tersebut membolehkan isu RCI Tabung Haji dibincangkan secara lebih luas dan seimbang, meliputi sudut agama, kewangan, ekonomi, perakaunan, perundangan, tadbir urus serta tanggungjawab menjaga harta umat.

Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak tujuh resolusi Persidangan Khas Ulama dan Agamawan: Hifz Al Mal yang disepakati iaitu:

  1. Menegakkan Prinsip Hifz al-Mal Sebagai Amanah Syariat
  2. Tindakan Tegas dan Susulan Terbuka Terhadap Dapatan RCI Tabung Haji
  3. Pelan Tindakan Kecemasan Mengembalikan Keyakinan Rakyat (Emergency Trust Restoration)
  4. Usaha Penerangan Berterusan dan Kempen Literasi Kewangan Ummah
  5. Perluasan Usaha RCI Terhadap FELDA dan Agensi-Agensi Berisiko Tinggi
  6. Kebangkitan Ummah dan Peranan Ulama Sebagai Benteng Pengawas
  7. Seruan Penyedaran dan Mobilisasi Rakyat

Selepas persidangan ini, gerakan penerangan mengenai dapatan RCI Tabung Haji dirancang untuk diperluaskan ke seluruh negara. Para alim ulama dan agamawan disarankan berperanan membantu rakyat memahami isu tersebut melalui masjid, surau, sekolah, jabatan kerajaan, kolej, universiti serta pelbagai ruang pendidikan masyarakat.

Usaha penerangan ini penting supaya masyarakat tidak hanya menerima maklumat daripada hantaran media sosial yang belum dipastikan kesahihannya. Sebaliknya, rakyat perlu dibantu memahami fakta, membezakan bukti daripada dakwaan serta melihat isu Tabung Haji dari sudut amanah dan kepentingan pendeposit.

Persidangan tersebut membawa satu peringatan yang jelas bahawa fakta mesti diterangkan, amanah mesti dipertahankan dan kelemahan dalam pengurusan harta umat tidak boleh dibiarkan berulang.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia