SERI KEMBANGAN – Pasukan Rasuah Busters mengemukakan enam nota kepada kerajaan melalui Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PM10) mendesak reformasi perundangan, institusi dan moral dilakukan dengan segera.
“Ia melibatkan tuntutan pelaksanaan pengasingan kuasa peguam negara dan pendakwa raya, segerakan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan keperluan akta pendanaan politik,” kata Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub.
Beliau berkata, ia turut menuntut transformasi menyeluruh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kebebasan badan kehakiman melalui pindaan Akta Suruhanjaya Kehakiman 2009 dan pelaksanaan penuh Pelan AntiRasuah Nasional (NACP) dan reformasi nilai sebagai teras pembangunan negara.
“Nota ini dikemukakan agar fokus kerajaan terhadap transformasi berkaitan dapat diangkat dan dibincangkan ahli-ahli Parlimen sepanjang tempoh sidang Parlimen yang sedang berlangsung.”
Menurutnya, aspirasi PMX untuk menjadikan Malaysia bersih daripada rasuah akan terlaksana bukan saja daripada kesedaran rakyat untuk mengubah budaya sistemik rasuah melalui perubahan budaya integriti yang sihat, tetapi juga memerlukan tindakan segera.
“Tindakan itu perlu disertakan dengan iltizam politik yang tinggi daripada Dato’ Seri Anwar, menteri-menteri kabinet dan ahli-ahli Parlimen selaku penentu dasar dan penggubal undang-undang demi kepentingan rakyat Malaysia,” ujarnya.
Hussamuddin berkata demikian selaku panelis program Nota Rasuah Busters kepada PMX yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian dan Astro Awani pada Rabu.
Menerusi program itu, lima lagi ahli panel terdiri daripada rakan gabungan Rasuah Busters dan pakar berkaitan turut berhujah dan meminta nota yang dikemukakan diberi perhatian oleh kerajaan.
Mereka antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters, Nurhayati Nordin dan bekas menteri kabinet, peguam bela dan peguam cara yang juga merupakan Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia dan Kumpulan Kajian OIC (OICSG), Tan Sri Syed Hamid Albar.
“Menerusi nota pertama, pihak kami melihat pengasingan kuasa perlu dilakukan demi mengelakkan kebarangkalian pertindihan kuasa peguam negara selaku penasihat undang-undang dan badan eksekutif dengan pendakwa raya,” jelas Hussamuddin secara terperinci.
Katanya, langkah itu bagi memastikan pendakwaan dapat dilakukan secara bebas berdasarkan siasatan tanpa tekanan daripada mana-mana pihak.
“Bagi mengelakkan konflik kepentingan, peranan kedua-duanya perlu diasingkan melalui pindaan perlembagaan.”
Menurutnya, nota kedua menuntut kerajaan menyegerakan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 demi menjamin keselamatan dan imuniti kepada pemberi maklumat yang mendedahkan maklumat dengan bertanggungjawab demi mengawal selia risiko ketirisan.
“Pindaan tersebut bertujuan memperbaiki saluran aduan agar ia diperluas dan melahirkan keyakinan serta mempertahankan hak pelapor yang melaporkan kes dengan bertanggungjawab,” ujarnya.
Dalam pada itu, nota ketiga adalah keperluan akta pendanaan politik bertujuan memperkukuhkan demokrasi negara serta pengagihan sumber kewangan dan pendanaan kepada parti politik secara telus dan adil.
“Pemantauan sumber kewangan dan dana politik dapat dilakukan dengan berkesan dengan wujudnya undang-undang ini.”
Menerusi akta tersebut tambahnya lagi, manipulasi sistem, prosedur, konflik kepentingan, kelemahan kawalan dan ketirisan akan dapat disekat dan mampu menangkis politik rasuah yang menggugat integriti dan akauntabiliti institusi politik.
Seterusnya, menyentuh berkaitan nota keempat yang menggariskan transformasi menyeluruh SPRM, Hussamuddin menegaskan, ia untuk mempertingkat kewibawaan agensi berkenaan dengan meletakkannya di bawah Parlimen dalam usaha mengelakkan wujudnya potensi pendakwaan terpilih melalui pengaruh eksekutif.
“Rasuah Busters berpendirian langkah-langkah reformasi dan pembaharuan struktur SPRM perlu dilaksanakan dengan segera. Kegagalan berbuat demikian akan menjejaskan kredibiliti kerajaan, agensi berkaitan dan komitmen kolektif terhadap tadbir urus dan integriti yang diharapkan,” katanya.
Hussamuddin menjelaskan menerusi nota kelima yang menuntut kebebasan badan kehakiman, pihaknya mahu proses pemilihan hakim dibuat berdasarkan kriteria tepat dan jelas melalui pelantikan yang telus dan bebas tanpa sebarang pengaruh eksekutif.
“Proses yang lebih sistematik akan memperbetulkan sebarang persepsi penyalahgunaan kuasa dalam proses pelantikan.”
Dalam perkembangan berkaitan, Rasuah Busters menegaskan bahawa pengekalan kebebasan badan kehakiman amat penting untuk mencapai objektifnya dalam mengangkat kedaulatan undang-undang dan memastikan keadilan sepenuhnya berfungsi untuk rakyat.
“Komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah adalah bergantung kepada keberkesanan nota keenam iaitu pelaksanaan penuh NACP dan reformasi nilai dan ia harus bergerak seiringan dalam sebarang bentuk pembangunan polisi integriti, governan dan antirasuah oleh kerajaan.”
“Ia adalah sebahagian daripada struktur teras pembentukan rakyat berjiwa patriotik, negara bermaruah dengan ketrampilan kepimpinan yang berkompetensi dan berkualiti,” tegas Hussamuddin
Turut bersama dalam program Nota Rasuah Busters kepada PMX, Exco Transparency International Malaysia (TI-M), Alan Kirupakaran; Ketua Pengawai Eksekutif, Institusi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Dr Tricia Yeoh; peguam dan bekas Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong dan peguam dan Pengasas Center to Combat Corruption and Cronyism (C4), Cynthia Gabriel.