Terkadang kerana seseorang itu rapat dengan seseorang yang mencetuskan isu, sering ia dibela walaupun terang-terang lagi jelas, sesuatu itu adalah bertentangan.
Waktu itu, ia mencari hujah membenarkan apa yang diperbuat oleh ‘temannya’ itu.
Padahal, sewajarnya sampaikanlah sesuatu itu dengan bahasa yang difahami netizen, masyarakat agar tidak timbul kesalahfahaman yang panjang.
Walaupun ia adalah sesuatu yang mencabar, namun ia perlu dilakukan untuk mengelakkan pertelingkahan yang berpanjangan hingga menyebabkan nama baik tercalar.
Apalagi pada zaman segalanya pantas menjadi tular di media sosial, tentu ia sesuatu yang bukan mudah.
Di samping itu, kita juga seharusnya berusaha meletakkan diri kita dalam satu keadaan yang tidak ada apa-apa kaitan atau hubungan.
Untuk menyampaikan sesuatu itu juga, perlu melihat kewajaran dan tahap ilmu masyarakat. Jika tidak, seindah atau semudah mana sekali pun bahasa itu, ia tetap tidak akan sampai maksud sebenarnya.
Akuilah kesilapan
Dalam satu waktu yang lain, apabila kelompok yang tidak dipersetujui atau bahasa lainnya ‘tidak sekepala, tidak sekapal’ terlajak kata, walau boleh jadi ia hanya sarkastik atau gurauan semata, maka kumpulan yang satu lagi ini, hentamannya bagai diri atau kelompoknya seakan tidak pernah salah serta senantiasa benar.
Seperkara lagi, tugas kita pada satu-satu waktu perlu mengikut situasi yang berlaku: membenarkan bahawa apa yang dilakukan seseorang itu adalah benar, jika ia benar dan mengakui apa yang dilakukan seseorang itu adalah salah, jika ia salah. Tiada kompromi dalam hal ini.
Sebenarnya, tidak perlulah mengaitkan dengan isu lain bagi membenarkan pihak yang disokong dan menjatuhkan pihak yang mengingatkan atau menasihati.
Jangan ditelanjangi yang tidak sepatutnya, kerana itulah namanya “meletakkan sesuatu itu pada tempatnya”.
Berhikmahlah
Ketika seseorang itu berbuat silap, tegurlah. Bukan bermakna tegur dan hukuman yang dikenakan kepadanya itu menghapuskan segala kebaikannya yang lalu. Begitu juga sebaliknya.
Jangan dicampuradukkan sesuatu itu kerana sesuatu. Selesaikan satu-satu, tidak perlu diungkit yang lain-lainnya.
Berusahalah menjadi yang sebaiknya di kala sesuatu itu jelas dan kita terkhilaf, maka akuilah, tidak perlu diperbahaskan semata-mata untuk menutup kesalahan yang diperbuat. Begitu juga sebaliknya.
Sebenarnya, inilah tugas kita:
“..dan mereka pula berpesan-pesan kepada kebenaran serta berpesan-pesan kepada kesabaran.” (Al-Asr: 3)
Maka janganlah jadi plastik, hipokrit apalagi positif toksik, demi untuk keselesaan sendiri, kaum kerabat dan kroni.
Berhati-hatilah.