Pada Jumaat 6 Julai lalu bertempat di Masjid UPM yang dihadiri sekitar 800 hadirin, YDP IKRAM Selangor Prof Madya Hasanuddin Mohd Yunus telah dijemput untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk “Adakah Ini Ramadhanku Yang Terakhir?”
Beliau mengupas ayat Al-Quran yang menjurus kepada kewajipan melaksanakan puasa Ramadhan dalam surah Al-Baqarah bermula ayat 183 hingga 186. Menurut beliau, bulan Ramadhan adalah Bulan Sejarah supaya kita mendalami sejarah manusia yang beriman kepada Allah, mengetahui tujuan hidup kita dan mengisahkan ibadah puasa ini telah dilakukan oleh orang soleh yang terdahulu.
Tambahnya, Ramadhan juga adalah Bulan Masyarakat di mana kita berlumba-lumba mencari orang yang tidak berupaya agar dibantu dan kita akan lebih mendampingi golongan yang susah seperti fakir, miskin, anak yatim dan sebagainya. Katanya, Ramadhan juga Bulan Al-Quran di mana bulan ini kita melipat gandakan bacaan dan mendalami Al-Quran dan merapatkan diri dengan Allah Subhanahu Wa Taala.
Seharusnya kita menjadikan segala ibadah pada Ramadhan ini adalah ibadah yang terbaik yang pernah kita lakukan dengan anggapan bahawa Ramadhan ini adalah Ramadhan yang terakhir buat kita, kerana kita belum tentu akan bertemu dengan Ramadhan pada tahun hadapan.
Sementara itu, pada Khamis 12 Julai lalu, sekitar 400 hadirin termasuk para mahasiswa, ahli IKRAM dan masyarakat setempat hadir di Dewan Serbaguna Masjid UNITEN untuk mendengar ceramah yang bertajuk “Ramadhan Pemangkin Taqwa” oleh Prof Dr Harlina Harlizah Siraj, Pengerusi JK Pembangunan Sosial IKRAM.
Beliau menggariskan tujuan berpuasa menurut Ibnul Qayyim Al-Jauzi iaitu menahan diri daripada nafsu syahwat, menjauhi perkara yg melalaikan, memecahkan perasaan individualistik, menyempitkan ruang laluan syaitan ke dalam tubuh serta merehatkan organ-organ dalam tubuh.
Puasa juga menjadi amalan khusus untuk Allah, iaitu rahsia antara hamba dengan Tuhannya di mana hasil (Key Performance Index – KPI) pada akhir Ramadhan adalah TAQWA. Menurutnya, dengan taqwalah kita rasa takut dan berharap dan sentiasa berhati-hati kerana berada dalam perhatian Allah setiap masa dan ketika.
Menurut Saidina Ali Radhiyallahu Anhu, taqwa itu takutkan Allah, beramal dengan apa yang diturunkan (Al-Quran), redha (berpada) dengan yang sedikit dan bersiap sedia menghadapi kematian. Katanya, taqwa adalah satu profesionalism kerana ia ada tiga unsur iaitu self reflection, self regulation, self correction. Ini menjadikan seseorang itu konsisten dan berintegriti dalam melakukan kebaikan, meninggalkan keburukan dan membaiki kesilapan meskipun ia tidak diperhatikan oleh manusia lain.