Ramadan hadir umpama madrasah rohani yang mengasuh dan memelihara atma insan agar lebih dekat menuju jalan Tuhan.
Ia bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, tetapi juga waktu termulia untuk menyuburkan rasa syukur, menajamkan kepekaan terhadap penderitaan saudara seagama serta memperindah akhlak dengan menjaga tutur kata dan menjauhi perbalahan.
Dalam membangunkan jiwa takwa, tiga perkara utama perlu direnungkan secara bersepadu iaitu mensyukuri rezeki dan menghindari pembaziran, cakna terhadap isu Palestin dan mencari solusinya serta menjaga pertuturan bagi mengelakkan perpecahan dalam masyarakat.
Setiap butir nasi yang terhidang di atas meja adalah rezeki kurniaan Allah SWT, satu nikmat yang tidak semua orang kecapi. Namun, sering kali kita lalai dan bersikap boros, terutama dalam bulan Ramadan.
Hidangan berbuka yang berlebihan sering berakhir ke dalam tong sampah, sedangkan di sudut lain dunia, saudara kita di Palestin kelaparan dan hidup dalam kesempitan. Islam mengajar kita untuk bersederhana dalam makan dan minum sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-A’raf ayat 31:
يَـٰبَنِىٓ ءَادَمَ خُذُوا۟ زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍۢ وَكُلُوا۟ وَٱشْرَبُوا۟ وَلَا تُسْرِفُوٓا۟ ۚ إِنَّهُۥ لَا يُحِبُّ ٱلْمُسْرِفِينَ
“Wahai anak Adam! Pakailah perhiasan kamu pada setiap kali kamu ke tempat ibadah, dan makan serta minumlah, dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.”
Mensyukuri rezeki bukan hanya bermaksud mengelakkan pembaziran, tetapi juga berkongsi dengan mereka yang lebih memerlukan. Justeru, mengambil ikhtiar dan inisiatif untuk menyumbang lebihan makanan kepada rumah kebajikan atau melalui program berbuka puasa untuk golongan miskin adalah amalan yang luhur.
Lebih daripada itu, kita perlu cakna terhadap nasib umat Islam yang ditindas, khususnya rakyat Palestin. Ramadan adalah waktu terbaik untuk melaksanakan tanggungjawab sosial, termasuk menyokong mereka dalam bentuk bantuan kewangan, boikot produk yang menyumbang kepada kezaliman dan menyebarkan kesedaran mengenai penderitaan mereka.
Mensyukuri rezeki itu harus datang dengan keinsafan bahawa ada mereka yang langsung tidak memiliki sebarang limpah kemewahan atau kemakmuran.
Kegetiran, penderitaan dan kepahitan umat Islam di Palestin bukan sekadar cerita duka yang berlalu begitu sahaja. Setiap hari, saudara-saudara kita di sana kehilangan tempat tinggal, sanak saudara dan hak untuk hidup aman sejahtera.
Dalam menikmati kemewahan Ramadan, kita tidak boleh lalai dan alpa bahawa ada saudara kita yang berpuasa dalam kebimbangan dan kengerian. Kesedaran ini perlu diterjemahkan kepada tindakan yang bermakna.
Sebagai umat Islam yang bertanggungjawab, kita boleh membantu dengan cara yang praktikal seperti menyumbang kepada tabung bantuan Palestin, menyokong kempen boikot dan menyebarkan maklumat yang sahih kepada masyarakat agar dunia lebih memahami hakikat kezaliman yang berlaku.
Namun, dalam menyampaikan mesej ini, kita perlu bijak dan berhemah bagi mengelakkan sikap emosional yang boleh mencetuskan perselisihan faham dalam kalangan masyarakat sendiri. Dakwah yang arif dan berhikmah lebih berkesan daripada ucapan yang dipenuhi dengan luap gelora kemarahan yang tidak terkawal.
Ramadan bukan sahaja tentang mengasuh fizikal daripada rasa lapar dan dahaga, tetapi juga menjaga lidah daripada berkata-kata yang sia-sia atau menyakitkan hati orang lain.
Dalam dunia serba digital hari ini, terlalu banyak perdebatan yang berlaku di media sosial, baik dalam isu agama, politik mahupun perbezaan pendapat seharian. Tanpa kita sedari, kata-kata yang dilontarkan boleh memburukkan lagi perpecahan sesama Muslim.
Allah SWT telah memperingatkan kita dalam Surah al-Hujurat ayat 11:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik) maka amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”
Sikap berbicara dengan baik dan penuh susila adalah kunci untuk menyatukan umat, termasuk dalam menyampaikan mesej tentang Palestin atau mengajak kepada kebaikan.
Sebelum berkata-kata atau menulis sesuatu, tepuk dada tanya selera: Adakah kata-kata ini membawa manfaat? Adakah ia menyakitkan hati sesiapa? Jika tidak, lebih baik kita diam kerana Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):
“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam membangunkan jiwa takwa, kita harus menjadikan Ramadan sebagai bulan muhasabah diri. Bagaimana mungkin kita menyeru keadilan untuk rakyat Palestin, tetapi dalam masa yang sama kita berbalah sesama sendiri?
Bagaimana kita boleh meminta keampunan Allah, sedangkan lidah kita masih digunakan untuk memfitnah, menghina dan menabur kebencian? Kesatuan umat Islam adalah kunci kepada kekuatan kita, dan Ramadan adalah masa terbaik untuk kembali kepada prinsip persaudaraan yang sebenar.
Kesimpulannya, Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga pintu untuk kita memperbaiki diri dan membina peribadi mukmin sejati. Mensyukuri rezeki dengan menghindari pembaziran, cakna terhadap isu Palestin serta mencari solusi dan menjaga pertuturan agar tidak mencetuskan perbalahan adalah langkah-langkah penting dalam membangunkan jiwa takwa.
Ketiga-tiga elemen ini saling berkait dan tidak boleh dipisahkan. Apabila kita mensyukuri rezeki, kita lebih memahami kepayahan orang lain; dengan memahami penderitaan saudara kita di Palestin, kita lebih menghargai keamanan yang kita miliki; dengan menjaga pertuturan, kita dapat memastikan mesej kebaikan dan keadilan disampaikan tanpa menimbulkan perpecahan.
Semoga Ramadan ini menjadi titik perubahan yang membawa kita lebih dekat kepada Allah dan menjadikan kita insan yang lebih bertanggungjawab terhadap diri sendiri, masyarakat dan umat sejagat.