Ramadan Membina Jiwa, Syawal Menzahirkan Takwa

“Menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit matahari hingga terbenam matahari.”

Makna literal sebuah puasa Ramadan menunjukkan tindakan infrastruktur juga super struktural. Elemen infrastruktural terletak pada elemen makan dan minum serta faktor masa iaitu dari terbit matahari hingga terbenam matahari. Manakala elemen super struktural pula terletak pada konsep1 “menahan diri”. 

Elemen infrastruktural mengambil kira perkara asas iaitu makan dan minum. Ia nampak seperti biologikal juga bukan? Ternyata inilah asas kehidupan sebenar. Tanpa makan dan minum maka tiadalah kehidupan.

Faktor masa pula memberi rangka masa yang pada hakikatnya bukanlah terletak pada pegangan kita manusia. Kita hanya boleh menganggar tempoh sedang hakikat setempoh masa itu adalah di luar jangka upaya manusia!

Nah, di sini letaknya upaya super struktural iaitu “menahan diri”. Ia adalah kata sifat yang membawa maksud menjaga diri agar tidak terlibat; menguatkan diri supaya sanggup menderita. Justeru, menahan diri merupakan keahlian atau tindakan untuk mengendalikan diri sendiri dalam pelbagai situasi.

Apakah rezeki berpuasa itu hanya sekadar menahan diri daripada makan dan minum sahaja?

Secara psikososialnya, perlakuan menahan diri itu sendiri sudah mempunyai kesukaran, menahan diri daripada makan dan minum itu lebih sukar kerana ia perkara fitrah.

Secara fitrah, manusia dijadikan untuk makan dan minum supaya terus hidup, namun falsafah kehidupan bukanlah hidup untuk makan tetapi makan untuk hidup. 

Etimologi makan untuk hidup ini juga dipandu dengan cara baik mahupun buruk supaya proses dan cara terikut baik, bukan hanya matlamat tetapi cara.

Sekolah Ramadan hanya kedapatan pada satu daripada dua belas bulan dalam setahun. Secara sosiologikal, keadaan ini boleh dilihat sebagai latihan intensif dan disasarkan supaya menjadi rutin. Ini kerana ilmu tanpa amal yang istiqamah adalah sia-sia.

Kita semua maklum bahawa puasa bukanlah hanya menahan diri daripada makan dan minum, akan tetapi puasa adalah juga menahan diri daripada perkataan serta perbuatan yang melalaikan dan keji. 

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 185 bermaksud:

“Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai hidayah (petunjuk) kepada manusia dan keterangan-keterangan tentang petunjuk, pemisah antara yang hak dan yang batil.”

Ramadan itu sekolah untuk semua, sepanjang masa

Benar, puasa Ramadan adalah semacam sekolah kerana dengannya kita dididik secara sistematik dalam hal kebaikan. Ramadan adalah bulan untuk belajar. Belajar apa?

Pertama, belajar peka terhadap lingkungan sekitar. Dengan berpuasa, kita dapat merasakan bagaimana orang yang kurang beruntung menahan lapar dan dahaga setiap hari.

Kita yang berpuasa masih dapat makan dan minum setelah saat berbuka tiba. Bayangkanlah si miskin saat mereka harus menahan lapar dan dahaga selama berhari-hari.

Bulan Ramadan juga memberikan kesempatan besar untuk berbahagi kepada sesama. Bagi yang memberikan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa, mereka akan mendapat pahala sebesar yang didapati orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi pahala orang tersebut.

Pahala tersebut akan diberikan Allah, meskipun yang diberikan untuk berbuka itu hanya sebiji kurma atau seteguk air. Maka, sungguh merugi jika pada bulan penuh berkat ini kita tidak  peka terhadap keadaan sekitar.

Kedua, belajar lebih sabar. Puasa mendidik kita untuk lebih bersabar. Inti puasa ialah menahan hawa nafsu. Semua nafsu seperti nafsu makan minum, nafsu marah, nafsu syahwat kita kendalikan.

“Kesabaran itu ada tiga macam: sabar menghadapi musibah, sabar untuk taat dan sabar menghindari maksiat.” (HR Ibnu Abid Dunya)

Lalu, bagaimana dengan ungkapan yang popular di tengah-tengah masyarakat bahawa “Sabar itu ada batasnya”? Ungkapan itu tak berdasar. Kita harus ikhlas menerima dan menghadapi segala macam masalah yang ada.

Al-Quran mengatakan (maksudnya):

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat. Dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.” (Al-Baqarah: 45)

Jika kita perhatikan ayat di atas, sabar (bersama solat) merupakan media penolong terpenting saat kita disergap masalah.

Dengan demikian, mahukah kita membatasi sabar yang bererti mempersempit dan bahkan menutup peluang untuk keluar daripada masalah yang mengepung? Maka, dengan logik sederhana itu, bagi kaum beriman sabar itu sungguh tidak terbatas.

Ketiga, belajar disiplin. Bulan Ramadan tanpa sedar mengajarkan kita berdisiplin. 

Sebagai contohnya, waktu makan menjadi lebih teratur. Waktu sahur, kita bersegera bangun. Saat berbuka puasa, kita bahkan sudah bersiap-siap di depan makanan beberapa minit sebelumnya. Jika pada hari-hari di luar Ramadan, banyak daripada kita yang makan tanpa jadual yang jelas kerana berbagai-bagai alasan.

Keempat, belajar jujur. Puasa mengajarkan kita untuk jujur. Melalui puasa Ramadan kita dilatih berlaku jujur. Walaupun seseorang itu memiliki kesempatan untuk makan dan minum di tempat terlindung, namun dia tidak dilakukan kerana sedang berpuasa dan yakin bahawa perbuatan apa pun pasti dilihat Allah.

Dengan gambaran di atas, ia sungguh menyenangkan, bukan? Ramadan adalah sekolah dengan kurikulum hebat. Bersyukurlah jika kita masih berkesempatan bersekolah di Madrasah Ramadan. Belum tentu tahun depan kita mempunyai kesempatan yang sama. 

Setelah puasa Ramadan selesai, seharusnya setiap orang menjadi lebih baik kerana sudah ditempa di Madrasah Ramadan. Misalnya, orang yang dulu malas-malasan solat lima waktu, seharusnya menjadi sedar dan rutin mengerjakannya di luar bulan Ramadan.

Untuk itu, sebagaimana murid yang mahu masuk sekolah, fizikal dan mental juga emosional harus dipersiap secara baik dalam menyambut sekolah ini.

Menuju takwa

Alhamdulillah, Ramadan berlalu dan Syawal segera tiba bersilih ganti dengan bulan-bulan mendatang. Kita yang beriman pasti akan menyambut datangnya “bulan pendidikan dan pelatihan” ini dengan penuh iltizam.

Dengan demikian, kehadiran bulan suci Ramadan seharusnya membuat umat Islam senang dan bahagia. Jadi, berpuasalah dengan niat ikhlas untuk mengharap reda Allah. Siapkanlah fizikal, mental dan juga emosional sebaik-baiknya dalam menyambut sekolah ini.

Rugi jika kita bakal mendapatkan pelajaran hebat tapi kita tidak bersiap sedia menerimanya. Oleh itu, jangan sia-siakan Ramadan dan tuailah manis buahnya pada Syawal dan bulan-bulan mendatang dengan penuh iltizam dan istiqamah.

5 perkara penting Ramadan sebagai sekolah tarbiah insan

  1. Allah menganugerahkan Ramadan sebagai medan tarbiah untuk mencari sebuah kemerdekaan. Memerdekakan diri daripada belenggu penjajahan syaitan serta hawa nafsu merupakan makna sebenar di sebalik Ramadan.

Wajarlah ia menjadi kayu ukur untuk memulakan langkah baru dan mengekalkan momentum yang sedia terjana dalam diri semasa berpuasa. Umat Islam perlu istiqamah untuk bebas daripada pengaruh syaitan dan hawa nafsu agar terus hidup sesuci fitrah manusia.

Iltizam juga perlu ditanam untuk memenuhi syarat kehidupan sebagai mukmin sejati yang menjadi khalifah di muka bumi. Hidup ini tidak lain hanyalah bertujuan mengabdikan diri kepada-Nya dan mengakhiri kehidupan dengan husnul khatimah (pengakhiran yang baik).

Ia selari dengan firman-Nya dalam Surah as-Syams ayat 9 yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan jiwanya (daripada belenggu nafsu).”

  1. Allah datangkan Ramadan untuk mendidik kita. Puasa banyak melatih kita untuk mengawal diri dan mengatakan “tidak” kepada sesetengah kehendak yang didambakan. Kita bermujahadah dengan apa yang tidak mampu dibuat sebelum Ramadan.

Justeru, adakah ia benar-benar mengajar kita mempunyai daya kawalan yang baik untuk terus tidak melakukan perkara-perkara terlarang biarpun selepas bulan Ramadan? Mampukah kita mengemudi nafsu dalam melorongkan perkara baik dan buruk mengikut neraca Islam?

  1. Ramadan menuntut kita berusaha menjaga pahala puasa agar tidak berkurangan. Sabda Rasullullah SAW bermaksud: “Berapa banyak orang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa manfaat daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga.”

Demikian juga dengan bulan-bulan seterusnya sepanjang hidup, kita patut berusaha untuk mengelakkan dan mengekang diri daripada segala bentuk kehilangan pahala yang menyumbang kepada dosa. Inilah semangat yang kita harapkan daripada Ramadan. 

  1. Pada bulan Ramadan, rintihan dan pengaduan banyak dihubungkan terus dengan Allah. Allah menjadi sebaik-baik tempat utama untuk kita mengadu dan bergantung pada saat bermunajat dan qiamulail pada malam-malam Ramadan.

Ia merupakan latihan untuk kita bergantung hanya kepada Allah apabila pelbagai ujian dan mehnah berlaku dalam hidup. Itulah fitrah manusia yang memerlukan Allah sebagai tempat pergantungan.

  1. Ramadan yang telah dilalui wajar dijadikan pengajaran dan Syawal yang sedang dirai dilihat sebagai permulaan untuk mengekalkan momentum pelaksanaan amalan-amalan yang baik.

Jika kita boleh meraih dan memelihara pahala pada bulan Ramadan, maka begitulah juga di luar Ramadan. Kebajikan yang telah dilakukan tidak hanya bermusim tetapi perlu ditambah nilai agar pahalanya berterusan berganda. 

Nilai-nilai kasih sayang perlu terus dipupuk agar bercambah sebuah masyarakat yang prihatin dan tidak mementingkan diri. Menghayati erti kemanusiaan perlu dijadikan agenda Syawal kita agar terbit rasa belas ihsan dan kebersamaan sesama insan.

Moga amalan diterima

Akhirnya, semoga Allah menerima setiap amalan kita pada bulan Ramadan dan menjadikan kita manusia yang bertakwa pada masa hadapan. Mudah-mudahan kita dapat belajar dengan baik dan ikhlas selama Ramadan.

Pelajari dan amalkan setiap ilmu yang diperoleh. Untuk itu, siapkan diri kita sebaiknya dan istiqamah dalam menuai ibrahnya.

Mari kita terus menjadikan setiap kedatangan bulan yang mulia ini sebagai “sekolah” untuk keluarga dan anak-anak kita. “Ramadan, marhaban!”

Dr. Rosfazila Abd Rahman
Pensyarah kanan / Penyelidik/ Ketua Pasca Siswazah
Jabatan Pengajian Ketamadunan & Pembangunan Insan, Fakulti Sains Sosial (FSS)
Universiti Islam Selangor (UIS)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia