Ramadan: Memahami Kekosongan dalam Kesempurnaan

Ramadan merupakan bulan kesembilan dalam kalendar Islam. Pada bulan ini, umat Islam di seluruh dunia memenuhi tuntutan agama dalam menyempurnakan salah satu daripada rukun Islam.

Sering kali kita mendengar definisi Ramadan iaitu menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Namun, adakah Ramadan hanya terhad kepada syarat dan larangan Allah semata-mata?

Jika kita lihat dengan lebih mendalam, bulan Ramadan merupakan bulan yang suci, bahkan di dalamnya terdapat lailatulqadar, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Namun, perjalanan Ramadan bukanlah hanya menahan lapar dan dahaga.

Hal ini perlu diperbaiki untuk menjadikan kita lebih faham tentang konsep sebenar bulan puasa. Selain melatih diri memahami tertib dan kelakuan, Ramadan mampu mengajar kita berempati kepada insan yang kurang bernasib baik.

Golongan seperti fakir miskin, para pelarian Syria, mangsa-mangsa pengeboman di Palestin serta insan-insan malang lain yang tidak dapat meraikan Ramadan dengan sempurna, malah turut berduka dengan ujian yang tiada akhir.

Sifat manusiawi 

Walaupun dengan cara yang berbeza, tidak makan dan minum pada siang hari mengajar kita erti kekosongan sekali gus melatih diri untuk lebih bersyukur dengan sekecil-kecil nikmat daripada Tuhan.

Menjadi orang yang mempunyai pelbagai emosi merupakan sifat manusiawi. Namun, keberkatan bulan Ramadan ini mampu membantu kita untuk lebih mengawal emosi terutamanya sifat marah dan terburu-buru dalam kehidupan seharian. 

Salah satunya ialah melalui aktiviti melebihkan ibadat berbanding hal duniawi yang lain. Ramadan bukan seksaan  bagi umat Islam, bahkan ia merupakan hadiah yang diberikan oleh Allah Subhanahuwataala kepada hamba-Nya untuk mendekatkan diri dengan agama dan Yang Maha Mencipta.

Pada zaman sekarang, dunia lebih terbuka dengan penerimaan, apalagi dengan wujudnya media sosial serta dokumentasi video dan gambar. Penerimaan masyarakat yang bukan beragama Islam tentang puasa juga lebih meluas.

Malah, ada antara mereka daripada kalangan masyarakat bukan Islam ini cuba berpuasa, walaupun pada mulanya hanya sebagai cabaran atau sekadar suka-suka. Sebagai umat Islam yang baik, mengajar mereka berpuasa dengan cara yang benar adalah digalakkan.

Akan tetapi, harus diingat, tidak ada paksaan untuk mereka melakukannya. Sungguhpun demikian, saya percaya, sebagai rakan, meraikan keinginan mereka bersama-sama pasti dapat mengeratkan lagi hubungan yang sedia ada.

Mengisi jiwa

Walaupun Ramadan identik dengan mengosongkan perut, namun Ramadan juga sinonim dengan perbuatan mengisi jiwa dengan amal ibadat. Mengejar pahala merupakan perbuatan yang mulia. Namun, janganlah kita zalim terhadap diri sendiri mahupun terhadap orang lain. 

Hadis Riwayat al-Tirmizi (715, Hasan) ada menyebut sabda Nabi SAW (maksudnya):

“Sesungguhnya Allah memberi keringanan kepada orang yang bermusafir dengan separuh solat, wanita hamil dan wanita yang menyusukan anaknya.”

Dalam hal ini, Allah mengurniakan rukhsah (keringanan) kepada hamba-Nya supaya semua hamba-Nya beroleh kemudahan dan kesenangan demi agama yang tercinta.

Golongan musafir, wanita hamil, golongan yang uzur dan wanita yang menyusukan anak diberikan kelonggaran ini. Sungguhpun demikian, ada antara kita yang zalim dalam beribadat sehingga mengabaikan kesihatan diri juga orang lain, contohnya seperti anak dalam kandungan.

Mengejar kesempurnaan pahala harus dilakukan dengan tertib dan adil. Janganlah kerana terlalu inginkan rahmat dan berkat Ramadan, timbul pula kekosongan yang membuahkan penderitaan pada masa depan.

Ramadan merupakan bulan yang mulia. Memahami erti kekosongan makanan di perut dan dahaga air di mulut setidak-tidaknya dapat meningkatkan sabar.

Justeru, yang lebih penting, mendidik kekosongan jiwa dengan amal ibadat serta memahami kekurangan golongan yang tidak bernasib baik pasti akan memekarkan lagi bulan yang mulia ini dengan kesempurnaan yang berpanjangan.

Para Jamaludin

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia