Ramadan: Hindari dosa kering

Dosa Kering Ramadan

Ramadan merupakan bulan kemuliaan di mana dalamnya penuh dengan keberkatan dan limpahan pahala bagi mereka yang benar-benar menghargainya.

 

Malah beberapa bulan sebelum kedatangan bulan mulia ini pun sudah ada yang menghitung hari dengan penuh semangat dengan harapan dapat bertemu dengan Ramadan serta dapat mengambil manfaatnya.

 

Ada juga sesetengah orang yang seawal mungkin sudah melakukan persiapan bertemu Ramadan dengan mengamalkan puasa-puasa sunat, memberi sedekah, malah ada juga yang sudah membeli peralatan ibadah yang baru sebagai salah satu tanda keterujaan mereka. 

 

Melihatkan fadilat pahala yang sangat banyak ada pada bulan Ramadan, menjadikan bulan ini sangat istimewa lebih-lebih lagi bulan ini hanya tiba sebulan dalam setahun. 

 

Walaupun begitu, malangnya ada juga yang tidak bersungguh-sungguh mengambil peluang yang ada di depan mata. 

 

Kedatangan bulan Ramadan yang sepatutnya dirai sebaiknya hanya berlalu sebagai bulan yang tiada bezanya dengan bulan yang lain. Dosa jari di media sosial masih terus rancak berlari di pad kekunci telefon mudah alih milik masing-masing.

 

Masa yang sepatutnya diisi dengan perkara yang mendatangkan pahala sudah bertukar menjadi dosa kering yang terus-menerus dilakukan tanpa segan silu.

 

Mungkin kerana ia sudah menjadi kebiasaan sebelum tibanya bulan Ramadan, membuatkan kelakuan ini agak sukar dikikis dalam kegiatan harian kita.

 

Pantang sahaja ada isu baru yang panas atau tular, terus sahaja jari menaip komen atau perkataan yang boleh mengundang dosa dan dosa itu akan terus berjalan tanpa disedari selagi tulisan itu masih di situ dan dibaca oleh khalayak ramai. 

 

Begitu juga dengan pancaindera lain seperti mata  yang masih lagi gemar memandang perkara lagha yang tidak berfaedah.

 

Mulut pula masih rancak menceritakan hal orang lain yang tidak diketahui hujung pangkal kebenarannya dan banyak lagi perkara yang sepatutnya ‘diperlahankan’ atau ‘dipadam’ terus sebagai salah satu latihan menjadi Muslim dan Muslimah yang lebih baik.

 

Perlu diingatkan bahawa latihan menjaga pancaindera ini bukanlah semata-mata dilakukan pada bulan Ramadan, tetapi ia perlu berterusan dan istiqamah supaya kebaikan sentiasa mengiringi perjalanan hidup kita.

 

Mungkin pada peringkat awal agak sukar kerana ia sudah menjadi kebiasaan, tetapi apabila kita berjaya mengekangnya sedikit demi sedikit secara istiqamah, lama-kelamaan ia akan menjadi mudah. 

 

Tidak salah sebenarnya bersosial di medan sosial kerana kita juga hidup di zaman teknologi yang segalanya di hujung jari. Malah persaudaraan yang jauh juga dapat didekatkan dengan adanya teknologi masa kini.

 

Namun begitu, dalam kerakusan kita melayani media sosial, jangan dilupa juga dengan perkara yang boleh mengundang dosa dan pahala agar kita tidak tersilap langkah.

 

Ingatlah, apa sahaja yang dilakukan oleh anggota kita akan disoal kelak di akhirat sana termasuklah jari serta anggota deria yang kita gunakan setiap hari. 

 

Masih belum terlambat untuk kita sama-sama mengambil peluang pada bulan mulia ini untuk memperbaiki sedikit demi sedikit kelakuan tidak berfaedah yang menjadi kebiasaan kita sebelum ini.

 

Percayalah, jika betul niat kita untuk berubah ke arah kebaikan, pasti ada jalan yang dilorongkan Allah kepada kita dengan pelbagai cara yang tidak disangka-sangka.

 

Selamat menjalani ibadah puasa. Semoga segala amalan kita diterima oleh Allah dan diberkati.

 

Nik Noorhafizah Hassan
Penulis buku

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia