Sekiranya gurau senda tentang ‘malam Jumaat’ dirasakan sekadar gurauan tanpa salah, maka sedarlah bahawa kenyataan ini boleh dijadikan bahan bukti atas kesalahan melakukan gangguan seksual di bawah Rang Undang-undang Akta Gangguan Seksual 2021 (RUU AGS 2021).
Ini dianggap sebagai gangguan seksual yang malangnya sudah menjadi normalisasi dalam masyarakat kita. Normalisasi ini perlu diperbetulkan agar terlihat sebagai aib yang memalukan.
Tingkah laku gangguan seksual yang digariskan di bawah Persekutuan Majikan Kerja (1995) menyebutkan, jenis-jenis gangguan seksual terbahagi kepada gangguan secara lisan, gangguan secara isyarat/bukan lisan, gangguan visual, gangguan psikologi dan gangguan fizikal.
Ringkasnya, gangguan seksual merangkumi sebarang kelakuan berunsur seksual yang tidak disenangi dan tidak munasabah sehingga menyebabkan seseorang berasa tersinggung, terhina atau terugut tanpa mengira lelaki atau wanita, dewasa atau kanak-kanak.
Pendedahan Puteri Balqis
Baru-baru ini tular di media sosial tentang pendedahan gangguan seksual yang terjadi kepada seorang pelakon remaja, Puteri Balqis oleh bapa kandungnya ketika berumur lima tahun dan kini pelakon tersebut telah mencecah umur 15 tahun.
Walaupun peristiwa ini terjadi lama semasa usia kecilnya, namun pengalaman perit dan pahit itu telah menghantui dan mengesani dirinya sehingga kini.
Pelakon remaja perempuan itu bersama ibunya telah membuat laporan polis dan bapanya pula turut membuat laporan penafian. Kes ini turut mendapat perhatian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Gangguan seksual yang melibatkan kanak-kanak adalah jauh lebih kritikal kerana ia akan beri impak kepada kesejahteraan kehidupan dewasanya. Malah apa sahaja trauma yang dialami oleh kanak-kanak akan menghantuinya sepanjang hidup.
Dapatan kajian daripada para penyelidik menunjukkan orang dewasa yang melalui zaman kanak-kanak yang traumatik ada kecenderungan lebih besar untuk melakukan jenayah dan mengalami gangguan orientasi seks diluar tabii.
Ini termasuklah berpotensi mengalami isu kesihatan mental, gangguan perkembangan otak serta isu kesihatan fizikal seperti obesiti, keletihan kronik, penyakit kardiovaskular, penyakit autoimun, sindrom metabolik dan kesakitan lain.
Kerajaan telah menunjukkan keseriusan memerangi isu keganasan terhadap kanak-kanak dengan mengadakan undang-undang seksual khas bagi kanak-kanak.
Penting untuk masyarakat tahu bahawa Seksyen 18 Akta Seksual Kanak-kanak menyebut bahawa keterangan kanak-kanak boleh berdiri sendiri tanpa sebarang bukti sokongan seperti rakaman atau laporan perubatan.
Ini sudah tentu dapat mempermudahkan dan melancarkan lagi proses aduan dan juga pendakwaan terhadap pihak tertuduh agar keadilan terbela.
Enggan Buat Aduan
Namun realitinya, majoriti mangsa seksual keberatan, enggan dan tidak tampil membuat aduan. Malah segelintir mangsa akan menarik balik semula aduan akibat tekanan keadaan.
Berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita terhadap 28,852 responden, lebih daripada 60 peratus responden pernah mengalami gangguan seksual, namun hanya 10 peratus sahaja yang berani tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Tinjauan gangguan seksual yang dijalankan oleh Pusat Kajian Keutuhan Tadbir Urus dan Akauntabiliti dengan kerjasama All Women’s Action Malaysia (AWAM) pada tahun 2021 mendapati sebanyak 57 peratus daripada 1,056 responden pernah mengalami sentuhan yang tidak diinginkan iaitu gangguan seksual secara fizikal.
Data-data kajian yang diperoleh secara jelas terang menunjukkan bahawa terdapat kadar kes gangguan seksual yang sangat tinggi di Malaysia yang kita anggap sebagai masih aman dan harmoni.
Ini lebih membimbangkan apabila majoriti mangsa enggan membuat aduan atau menarik balik semula aduan, dan situasi ini harus disiasat agar mangsa mendapat pembelaan dan perlindungan, keadilan dapat ditegakkan seterusnya mewujudkan suasana selamat, sejahtera dan aman dalam masyarakat.
Perlakuan Jijik
Negara pernah digemparkan hingga menimbulkan perdebatan di pelbagai peringkat apabila tercetusnya kes Ain Husniza yang menghadapi gangguan jenaka rogol oleh gurunya. Jenaka lucah tersebut disambut dengan hilai tawa oleh pelajar sekelas yang lain semasa perkara itu berlaku.
Lebih melukakan, pelajar tersebut dan bapanya telah disaman fitnah oleh guru terbabit sehingga mereka terpaksa membuat tuntutan balas untuk membela dirinya.
Kecoh di media sosial dengan pelbagai reaksi netizen dan tidak sedikit yang mempertahankan perlakuan guru terbabit termasuk meninggalkan komentar yang berbentuk kecaman dan berbaur lucah.
Persoalannya, mengapa masyarakat begitu berani dan tidak berasa malu terhadap perlakuan jijik dan tidak senonoh ini lebih-lebih lagi apabila kes melibatkan seorang guru yang diharapkan untuk mendidik dan melindungi pelajar-pelajarnya daripada anasir-anasir yang merosakkan.
Ini adalah situasi yang mencemarkan imej masyarakat dan tidak keterlaluan jika dikatakan ini memberikan gambaran realiti situasi masyarakat kita yang sudah sebati dengan jenaka lucah hingga perkara yang sepatutnya mendatang amarah menjadi bahan gelak tawa.
Sewajarnya isu ini harus diperjuangkan di segenap lapisan masyarakat terutamanya oleh institusi kepimpinan.
Jika ahli-ahli parlimen yang menjadi wakil masyarakat yang terhormat turut membuat komentar seksis dalam sidang parlimen dan tidak dikenakan tindakan kena berkelakuan buruk, bagaimana kita nak mengharapkan kehormatan dijaga dalam masyarakat?
Peranan Masyarakat
Masyarakat tanpa mengira jantina lelaki atau wanita harus dididik supaya setiap warga berperanan agresif memerangi isu ini tidak kira jika ia berlaku di tepi jalan atau di dalam rumah mereka.
Mereka juga harus celik tentang undang-undang agar terbina kesedaran terhadap amalan gangguan seksual.
Dalam konteks ini, media masa dapat menggalas tanggungjawab dalam menyebarkan dan mendedahkan maklumat berkaitan keseriusan perlakuan gangguan seksual, peruntukan undang-undang yang sedia ada, prosedur aduan dan pilihan-pilihan yang ada bagi mangsa atau sesiapa membuat laporan berhubung gangguan seksual.
Sepertimana yang disebut oleh Ahli Parlimen Batu Kawan, YB Kasthurirani Patto dalam Bicara Bina Negara bertajuk ‘Teguh Bersama Memerangi Gangguan Seksual’ anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia:
“Unit Komunikasi Pekerjaan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia harus mengoptimumkan penggunaan platform komunikasi yang sedia ada untuk menguar-uarkan isu gangguan seksual.”
Ini penting agar kesedaran dalam masyarakat lebih besar impaknya dan bersifat menyeluruh.
Dalam pada itu, penguatkuasaan undang-undang yang sedia ada adalah penting agar misi memerangi gangguan seksual berkesan dan dipandang secara serius.
“Jika tidak, ia hanya akan menjadi kosmetik di atas kertas putih. Oleh sebab itu, kita perlu duduk berbincang, beri saranan dan cadangan penambahbaikan agar undang-undang tersebut berkesan kepada masyarakat,” ujarnya.
Tambahnya, jangan sampai mangsa terpaksa memilih jalan ke ‘court of public opinion’ (mahkamah awam) dengan menularkan kesnya apabila merasakan isunya tidak mendapat perhatian dan pembelaan sewajarnya oleh pihak berkuasa.
RUU Akta Gangguan Seksual
Rang Undang-undang Akta Gangguan Seksual 2021 (RUU AGS 2021) telah diluluskan sebulat suara dalam Dewan Negara pada 11 Ogos 2022 yang lalu selepas dirangka sejak lebih 10 tahun yang lalu.
Ia merupakan hasil kerjasama, komitmen dan sokongan pelbagai pihak termasuk kementerian-kementerian dan agensi kerajaan, pakar undang-undang, wakil pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan aktivis.
Menariknya, Pengasas Bersama All Women’s Action Society (AWAM), Puan Betty Yeoh berkata, RUU AGS merupakan hasil usaha perjuangan bertahun-tahun yang telah bermula awal sejak 2001 lagi oleh sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan dan individu yang telah membuat cetusan awal.
Tambahnya, setelah menerima terlalu banyak kes aduan gangguan seksual yang tidak berhasil diselesaikan secara baik melalui undang-undang yang sedia ada, mereka bertindak merangka draf awal sebagai cadangan kepada pihak kementerian untuk direalisasikan sebagai suatu akta.
RUU AGS terlihat sebagai satu kemenangan awal oleh pihak-pihak yang konsisten memperjuangkan isu ini selama bertahun-tahun agar pihak kerajaan dapat menguatkuasakannya secara efektif. Gangguan seksual harus dilihat sebagai jenayah.
Dengan lulusnya RUU ini, ia meniupkan harapan baru kepada mangsa-mangsa gangguan seksual dalam memperjuangkan hak mereka agar kembali dapat tertebus maruah yang tercalar.
Impak gangguan seksual adalah serius kerana ia mampu beri kesan traumatik seumur hidup kepada mangsa-mangsanya akibat tekanan emosi atau penderaan fizikal sekali gus menjejaskan kualiti kehidupan mereka.
Keadaan ini turut melibatkan kecederaan kepada keluarga mangsa yang terlibat dan seterusnya menghalang pembentukan masyarakat yang penyayang dan bersifat insaniah.
Sambut Baik RUU AGS
Kewujudan RUU AGS ini merupakan usaha yang harus disambut baik, namun dilihat masih belum komprehensif untuk mencegah gangguan seksual daripada terus berlaku.
Ini kerana rang undang-undang ini bersifat reaktif dan bukan proaktif. Banyak lagi ruang penambahbaikan yang boleh dibuat agar benar-benar ia dapat mencegah perlakuan gangguan seksual dan melindungi mangsa.
Peguambela dan Peguamcara Gerakan Tampil Bersuara, Tuan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi menegaskan, akta yang sedia ada perlu dikuatkuasakan, malangnya akta-akta ini tidak dapat dikuatkuasakan dengan baik.
“Ada banyak kelompongan dan perlu ada akta khas untuk gangguan seksual supaya perlakuan gangguan seksual dapat dicegah dan berikan pengajaran kepada masyarakat,” jelasnya.
Tidak dapat tidak, dalam soal membanteras isu gangguan seksual yang berlaku, masyarakat perlu memainkan peranan bersama-sama mencegah, menolak, membenci dan memerangi gangguan seksual agar terlihat jijik, kotor, merosakkan dan memusnahkan masa depan.
Sekiranya kita ingin melihat masyarakat subur dengan sifat hormat-menghormati, saling menyayangi dan beretika serta tidak ingin melihat generasi kita dicemari oleh anasir-anasir merosakkan sehingga perlu hidup dalam ketakutan, kehinaan dan terancam, maka perangilah.
Jangan duduk diam dan melihat sahaja. Salah tetap salah walaupun kebanyakan orang melakukannya. Perbetulkan yang salah dan biasakan yang betul. Katakan tidak kepada gangguan seksual!
Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi Strategik dan Multimedia
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Rujukan:
Childhood trauma and metabolic syndrome in men and women – PubMed (nih.gov)