PRU15: Siapa Calon Perlu Diundi Rakyat?

PRU15: Siapa Calon Perlu Diundi Rakyat? | IKRAM

Desas-desus mengatakan bahawa YAB Dato’ Sri Ismail Sabri akan mengumumkan pembubaran parlimen di kaca televisyen dan corong radio akhirnya menjadi kenyataan.

Ia diumumkan pada tanggal 10 Oktober 2022 pukul 3.00 petang dan telah menjadi detik sejarah buat seluruh rakyat Malaysia di setiap peringkat. 

Pembubaran parlimen kali ini telah mendapat pelbagai reaksi negatif kerana ia berlaku dalam suasana negara yang gawat dengan isu pemimpin yang korup, isu ekonomi dan isu banjir.  

Pelbagai respons netizen dan penganalisis politik juga memberi komentar perihal sebab musabab pembubaran parlimen, DUN mana yang akan turut terbubar dan kesan pembubaran terhadap pergolakan politik, ekonomi dan sosial.

Tidak dinafikan, ia merupakan sebuah kejutan buat rakyat Malaysia khasnya dalam menghadapi pelbagai krisis bagi tahun 2022 ini. 

Apa jua yang berlaku dalam tempoh masa sekarang ini, semuanya pasti tertumpu kepada penetapan tarikh penamaan calon, undi awal dan undi sebenar oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) pada 20 Oktober 2022 kelak.

Isu utama yang diharapkan oleh rakyat Malaysia ialah penentuan tarikh penting ini akan memberikan kemudahan kepada semua pengundi khasnya bagi mereka yang bekerja di luar kawasan tempat mereka membuang undi. 

PRU15: Fakta Menarik 

Antara fakta yang menarik untuk dikongsi menjelang PRU15 kali ini menampilkan tiga kategori baharu yang akan menjadi penyumbang utama kepada kenaikan jumlah pengundi.

Kategori tersebut terdiri daripada kategori 18 hingga 20 tahun iaitu kelompok Undi18, kategori 21-25 tahun iaitu pengundi baharu yang tidak berkesempatan mengundi pada PRU14 yang terdahulu, dan seterusnya kategori 26-30 tahun iaitu pengundi baharu yang tidak pernah mendaftar sebelum ini dan didaftarkan secara automatik.

Secara asasnya, setiap kelompok yang disenaraikan ini mempunyai potensi dalam mengubah corak kepimpinan Malaysia pada masa hadapan.

Perlunya pelbagai inisiatif bagi memastikan mereka menjalankan tanggungjawab sebagai negarawan turun dan keluar mengundi. Tidak kira mereka berada di dalam negara atau jauh di pelbagai pelusuk dunia, gesaan dan aksi untuk membuang undi harus dilaksanakan. 

Tambahan lagi, jumlah peratusan keluar mengundi yang dicatatkan pada PRU14 adalah 82.32 peratus daripada 14.9 juta orang pengundi berdaftar.

Dijangka pada PRU15 ini, seramai 21.1 juta pengundi akan membuang undi. Kenaikan angka seumpama ini diharap selari dengan peratusan keluar mengundi. Tinggi harapan kita untuk pastikan Malaysia mendapat peratusan keluar mengundi yang tinggi pada PRU15 kali ini! 

Kriteria Calon Anda

Masa hadapan negara bergantung kepada siapa pemimpin yang kita pilih pada hari ini. Sekecil-kecil usaha untuk keluar mengundi boleh memberikan impak yang besar kepada rakyat dan negara. 

Memilih pemimpin yang korup dan tidak bermaruah tentunya akan menambahkan kerosakan dan keburukan kepada negara. 

Pemimpin yang tidak berwibawa dan rosak akhlaknya akan melahirkan budaya politik yang mundur, membantutkan pembangunan negara, melesukan pelaksanaan dasar serta polisi negara serta membebankan rakyat.

Hal seumpama ini sangat mustahak untuk dibahaskan agar kita dapat mendidik seramai mungkin masyarakat untuk celik dalam memilih pemimpin yang mereka mahukan. 

Pasca pengumuman YAB Dato’ Sri Ismail Sabri perihal pembubaran parlimen tempoh hari, berapa ramai daripada kalangan kita menilai semula setiap janji-janji yang dilontarkan oleh calon yang menang di kawasan DUN dan Parlimen yang kita undi?

Berapa ramai daripada kalangan kita menilai semula setiap manifesto yang dilaungkan oleh parti-parti politik semasa kempen pilihan raya, kemudiannya mereka berjaya membentuk kerajaan? 

Dalam tempoh lebih empat tahun sejak tahun 2018, berapa banyak sumbangan dan khidmat lokaliti yang kita dapat lihat terhadap wakil rakyat yang dipilih di kawasan tersebut?

Mungkin ada sebahagian wakil rakyat, apabila banjir atau musim pilihan raya, baru nampak susuk tubuhnya, tetapi pada hari yang lain, mereka tidak pernah muncul. 

Justeru itu, kita perlu bersikap  proaktif dalam melakukan sedikit semakan dan penilaian yang boleh dijadikan sebagai indikator keberkesanan calon yang akan kita pilih nanti menjelang PRU15 kelak.

Tiga langkah yang dicadangkan adalah seperti berikut:

1. Semak Latar Belakang Calon

Sekarang ini zaman digital dan semuanya boleh diakses dihujung jari sahaja. Kita boleh membuat sedikit penyelidikan ringkas terhadap biodata calon dalam ruangan Google.

Maklumat terperinci juga boleh didapati daripada Facebook, Twitter, LinkedIn dan Instagram calon. Mungkin melalui kaedah ini, ia akan memberikan lebih banyak informasi buat kita yang akan turun mengundi.

Ciri pemimpin yang diidamkan dan dapat membangunkan negara seharusnya berdasarkan nilai integriti dan kewibawaan. Daripada maklumat latar belakang, tentunya kita dapat menilai secara umum jika calon tersebut bebas daripada salah laku, bebas rasuah dan mempunyai kredibiliti.

2. Menilai Komitmen dan Khidmat

Selain itu, kita juga boleh menilai mereka dalam aspek kehadiran ke sidang Parlimen atau DUN. Dalam tempoh mereka menjadi wakil rakyat dahulu, berapa kali mereka hadir ke dewan perbahasan tersebut?

Perkara ini tidak boleh dianggap ringan kerana ia merupakan tugas hakiki bagi seorang penggubal dasar buat negara. Jika mereka hadir hanya pada sesi pembukaan sahaja tetapi tidak hadir pada hari yang lain, kita perlu mengeluarkan namanya daripada senarai pilihan calon terbaik. 

Jika mereka baru sahaja pertama kali bertanding atau pernah bertanding tetapi kalah, anda boleh mengkaji dengan lebih mendalam mengenai pengalaman akademik dan politiknya melalui bacaan dan dapatan lokaliti setempat.

Ada kemungkinan yang mahu bertanding itu merupakan calon luar dan tidak menahu tentang kawasan yang kita diami ini. 

Jadi, kita perlu lebih proaktif dalam menilai setiap latar belakang calon yang mahu kita pilih. Kita boleh menilai melalui parti, tetapi akhirnya peranan individu yang akan menghasilkan impak malah dirasai rakyat tempatan.

Justeru itu, terdapat kewajaran untuk melakukan semakan dan penilaian terhadap calon dengan kadar yang kita rasa sesuai dan tepat. 

3. Menilai Pemikiran dan Intelektual

Jika anda ingat pada awal tahun ini, kita pernah saksikan suatu acara debat antara Anwar Ibrahim vs Najib Razak di Astro AWANI mengenai isu Sapura Energy Bhd (SEB) dan isu melibatkan hala tuju negara.

Bukan itu sahaja, kita pernah saksikan Debat AMK 2022 antara Fahmi Zainol dan Adam Adli sempena dengan pemilihan KEADILAN pada awal tahun ini juga. 

Budaya seperti ini mesti diangkat dengan kadar yang maksimum. Berdebat dengan rasional, berfakta dan berpendirian.

Kita mahu pemimpin yang berani mengutarakan pandangan dan menyelesaikan masalah, maka debatlah platform yang utama untuk dijadikan medan penilaian buat diri sendiri dan para pengundi yang hadir menyaksikannya. 

Cuba anda bayangkan, setiap masjid atau dewan komuniti di dalam taman perumahan menjadi lokasi tumpuan dalam menghangatkan lagi suasana pilihan raya dengan penganjuran program ramah mesra bersama calon dan diskusi dua hala dengan penduduk tempatan.

Tidak dinafikan, budaya seumpama ini harus disegarkan dalam kalangan rakyat agar mereka lebih terbuka dan rasional dalam membuat pilihan. 

Melalui debat, kita boleh memahami cara fikir mereka dalam menyelesaikan masalah yang timbul. Bukan sekadar itu, kriteria yang kita mahu angkat adalah calon yang memiliki daya intelektual dan manusiawi yang tinggi.

Kita perlu angkat mereka yang mengutamakan merit dan bukannya kroni semata-mata, mereka yang ada keazaman kukuh dalam merubah negara ke arah yang lebih baik melalui kepakaran mereka. 

Jadilah pengundi negarawan yang bertanggungjawab, ke arah Malaysia yang sejahtera!

Profesor Dr. Hanim Salleh
Naib Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Rujukan:




3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia