KUALA LUMPUR – Sambutan Bulan Kebangsaan (SBK) 2023 anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mendapat kerjasama lebih 30 buah badan bukan kerajaan (NGO).
“IKRAM mendapat sokongan daripada lebih 30 NGO daripada pelbagai bangsa, agama, budaya dan latar belakang yang akan bekerjasama dalam beberapa aktiviti sepanjang sambutan ini,” kata Presiden IKRAM, Hj Badlishah Sham Baharin dalam ucapannya ketika majlis pelancaran sambutan itu di Datum Jelatek, di sini.
Tambah beliau, kerjasama pelbagai pihak ini amat-amat diperlukan kerana usaha menjayakan agenda perpaduan adalah agenda yang berterusan dan tidak boleh dilaksanakan secara individu.
“Ia memerlukan usaha kolektif berdasar permuafakatan semua pihak baik kerajaan, pihak swasta dan juga pertubuhan bukan kerajaan serta semua ahli masyarakat yang lain,” jelasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perpaduan Negara (KPN), termasuk agensinya seperti Jabatan Perpaduan Nasional dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional (IKLIN) yang sentiasa memberi sokongan padu dalam usaha perpaduan nasional yang dijalankan oleh IKRAM.
“KPN telah menyumbangkan peruntukan dana bagi pelaksanaan SBK dan ini menunjukkan pengiktirafan pihak kementerian atas usaha yang dilaksanakan oleh pihak IKRAM dalam membawa agenda perpaduan negara,” ujarnya.
SBK 2023 dirasmikan pelancarannya oleh Pengarah JPNIN Selangor, Tn Burhanuddin Hj Daud. Beliau menghargai usaha-usaha mempromosikan perpaduan dalam masyarakat dan yakin IKRAM mampu menggerakkan aktiviti tersebut kerana mempunyai banyak cawangan di seluruh negara.
Sebelum perasmian, majlis diserikan dengan Talk Show ‘Walau Kita Berbeza, Tetap Teguh Bersama’ bersama ahli panel Ketua Kluster Perpaduan Nasional IKRAM Dr Sabariah Baharun, Prof Suresh Govind (Sathya Sai International Organisation Malaysia) dan Tai Zee How (Content Creator) dengan hos TV, Hanan Abdul Rahman sebagai moderator.
Usai perasmian, majlis dimeriahkan persembahan tarian kanak-kanak oleh pelajar Amal Hidayah Preschool dengan lagu-lagu patriotik, diikuti dengan Chit Chat bersama Dr Malar (pempengaruh) dan Jason Wee (Pengarah Eksekutif Architects of Diversity) dengan Aqil Junaidi (Content Creator) sebagai moderator.
Seiring dengan majlis, turut diadakan aktiviti untuk kanak-kanak, saringan kesihatan serta reruai pameran dan jualan.
Turut hadir dalam pelancaran SBK 2023 adalah rakan-rakan kerjasama IKRAM antaranya Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT) Brig Jen (B) Dato’ Mohamed Arshad Raji, Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) Ir Stanley Yong Yew Wei, Ketua Pegawai Eksekutif #RasuahBusters Nurhayati Nordin dan Penasihat Better Dads Malaysia, Jason Leong, JKP IKRAM, ahli-ahli serta orang ramai.
Tahun ini merupakan tahun yang ketiga penganjuran Sambutan Bulan Kebangsaan (SBK) oleh IKRAM sebagai salah satu usaha mempromosi dan menyemarak perpaduan dan cinta kepada negara.
Antara aktiviti sempena SBK 2023 adalah penyebaran video pendek perkongsian tentang perpaduan oleh Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, mempromosi lagu ‘Selamanya Malaysia’ dan jingles “Walau Kita Berbeza Tetap Teguh Bersama”, forum Bicara Bina Negara dan program peringkat negeri yang dianjurkan oleh semua IKRAM Negeri.
Rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama juga dijemput untuk memeriahkan program kemuncak dan penutup SBK 2023 iaitu Karnival Kita Anak Malaysia (KAMI) yang akan berlangsung pada Sabtu, 16 September 2023 di IDCC Shah Alam.