Asalnya hanya 4 imam dijemput pada awal Ramadan. Namun, atas permintaan yang tinggi daripada pihak masjid dan surau tempatan, Aqsa Syarif menjemput lagi 3 orang lagi imam pada minggu kedua Ramadan. Ada baiknya kita mengenali ketujuh-tujuh imam muda dari Gaza dengan lebih dekat kerana perjuangan mereka memberi sumbangan untuk Palestin dengan menjadi imam tarawih di Malaysia sepanjang Ramadan ini.
Imam yang pertama bernama Taha Y.I. Sulaiman (gambar kiri). Pemuda yang berumur 25 tahun ini sudah berkahwin dan telah menghafaz al-Quran secara bersanad. Graduan dalam bidang Pendidikan Bahasa Arab dari Universiti Islam Gaza ini sekarang menjadi guru sambilan, khatib dan juga guru tahfiz. Beliau mahir menggunakan perisian dan komputer serta mahir dalam qiraat, tilawah al-Quran dan qasidah. Imam Taha pernah menjadi johan tilawah al-Quran di Jabalia dan menjadi imam tarawih di masjid di Gaza.
Imam yang ke-2 ialah Muhammad Y.I. Sulaiman, berusia 21 tahun dan sudah berkahwin. Seperti Imam Taha, beliau juga telah menghafaz al-Quran secara bersanad dan merupakan graduan dalam bidang Bahasa Arab dari Universiti Islam Gaza serta mahir dalam qiraat dan tilawah al-Quran.
Seterusnya, Imam Raed M.I. Abu Sya’ban yang berusia 22 tahun masih belajar di Universiti Islam Gaza dalam bidang Accounting in English. Mahir qiraat dan tilawah al-Quran, beliau turut mempunyai bakat bernasyid dan berpengalaman mengendalikan rancangan radio di Gaza. Imam Raed juga pernah mewakili universiti sebagai qari.
Gambar dari kiri: Muhammad, Raed dan Mu’min
Imam ke-4 bernama Mu’min F.A. Hawas berusia 19 tahun. Telah menghafaz al-Quran sejak kecil, Imam Mu’min sedang belajar dalam jurusan Syariah di Universiti Al-Azhar di Gaza dan telah menjadi imam tarawih sejak 5 tahun yang lalu.
Diberi nama Osama I.M. Abu Warda, 23, beliau telah berkahwin dan mempunyai seorang anak serta merupakan graduan Syariah di Universiti Islam Gaza. Pernah menjadi juara hafazan peringkat kebangsaan pada 2008 dan 2010 (Dar Al-Quran Competition), beliau kini adalah seorang guru tahfiz, imam dan khatib serta menjadi pendakwah di beberapa buah masjid di Gaza.
Gambar dari kiri: Osama, Yusuf dan Ibrahim
Seterus, imam ke-6 bernama Yusuf F.F. Abu Eida, 18, merupakan graduan Diploma Hadis di Akademi Islam Khubayb Ibnu Uday. Telah menghafaz 700 hadis, guru tahfiz al-Quran ini juga turut mengajar tilawah dan tajwid serta mengajar kuliah hadis di beberapa masjid di Gaza. Imam ke-7 pula bernama Ibrahim M.R. Hamduya, 22, seorang graduan Syariah dari Universiti Islam Gaza dan kini menjadi seorang guru tahfiz, tilawah dan tajwid al-Quran di Masjid Riyadhus Salihin, Gaza.
Rombongan pertama 4 imam telah tiba di KLIA pada hari pertama Ramadan Sabtu 21 Julai 2012 sementara rombongan kedua 3 imam seterusnya tiba pada hari ke-7 Ramadan, Sabtu 27 Julai 2012.
Semoga usaha membawa imam tarawih anjuran IKRAM, Aqsa Syarif dengan kerjasama The Palestinian Cultural Organization Malaysia (PCOM) dan NGO Palestin, Islamic Jabalia Society (ISJ) ini menambahkan lagi kesedaran masyarakat di Malaysia untuk memberi sumbangan yang berterusan untuk kesinambungan hidup rakyat Palestin, insya-Allah.