PRN Johor dan NS: Tunaikan Hak, Keluarlah Mengundi

PRN Johor dan NS: Tunaikan Hak, Keluarlah Mengundi | IKRAM

KUALA LUMPUR – “Keluar mengundi ini satu tanggungjawab yang besar, kerana ini adalah hak dan tanggungjawab semua orang dalam demokrasi,” tegas Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia, Hj Badlishah Sham Baharin.

Tambah beliau, rakyat sebenarnya berperanan untuk menentukan siapa pemimpin, apakah dasar, dan juga masa depan sesebuah negeri ataupun negara. 

Jelasnya, tidak keluar mengundi sebenarnya hanya mengecilkan suara rakyat dan memberi ruang kepada keputusan untuk diambil oleh sekelompok kecil sahaja.

“Jadi, kita kena besarkan suara rakyat ini. Keluar mengundi adalah suatu hak yang mesti ditunaikan oleh pengundi di Johor, juga negeri-negeri lain dan seterusnya nanti di seluruh negara. ” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media bagi menyokong kenyataan bersama 134 pertubuhan Cina anjuran Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan di sini.

Dalam sidang media itu, semua pertubuhan Cina itu, termasuk organisasi masyarakat sivil yang hadir memberikan sokongan, menyeru seluruh pengundi Johor dan Negeri Sembilan agar keluar mengundi dan menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara.

“Kami memahami kekecewaan yang dirasai oleh sebahagian rakyat terhadap situasi politik semasa. Namun, tidak keluar mengundi bukanlah jalan penyelesaiannya,” kata Presiden KLSCAH, Ngan Teng Ye.

Katanya, setiap undi akan menentukan kerajaan negeri yang bakal dibentuk bagi tempoh lima tahun akan datang, sekali gus mempengaruhi dasar, pembangunan serta kesejahteraan rakyat.

“Oleh itu, kami menyeru semua pengundi Johor dan Negeri Sembilan, khususnya mereka yang bekerja atau belajar di luar negeri, supaya membuat perancangan lebih awal untuk pulang mengundi dan menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara,” jelasnya.

Disebabkan ramai anak Johor dan Negeri Sembilan yang bekerja dan belajar di sekitar Lembah Klang, syarikat serta para majikan di sini digesa agar memberikan cuti khas atau pelepasan yang sewajarnya kepada para pekerja yang ingin pulang mengundi.

Hj Badlishah Sham berkata, kenyataan bersama ini bertepatan pada masanya, ekoran analisis terbaru bahawa jumlah keluar mengundi terutamanya pengundi Cina dan kaum lain dijangka mencapai hanya lebih sikit daripada 50%, yang menunjukkan bahawa demokrasi tidak berlaku dengan sepenuhnya.

Menurutnya, IKRAM mengadvokasikan “Siasah Rahmah” atau politik nilai (value-based politics) kerana ingin melihat politik ini sebagai amanah untuk menegakkan keadilan, integriti dan juga kesejahteraan rakyat.

“Politik ini sepatutnya bukan dilihat dari segi perebutan kuasa sahaja, ia sebenarnya adalah servant ataupun memberi khidmat kepada rakyat, bukan sebaliknya.” 

Bagi beliau, sepatutnya dalam politik, seseorang ahli politik perlu berkhidmat kepada rakyat dan mengembalikan nilai seperti amanah, adil, ihsan, rahmah dan tanggungjawab. 

“Oleh itu, keluarlah mengundi untuk kita membina Malaysia yang lebih baik, insya-Allah,” gesa Hj Badlishah Sham.

Kenyataan bersama pertubuhan-pertubuhan Cina itu diakhiri dengan seruan kepada seluruh pengundi Johor dan Negeri Sembilan supaya menggunakan hak mengundi masing-masing dan bersama-sama menentukan masa depan negeri melalui undi.

Hadir sama dalam sidang media itu Ahli-ahli Jawatankuasa KLSCAH, Presiden Dong Zong, Datuk Tan Yew Sing dan para AJK, Presiden BERSIH, Hj Muhammad Faisal Abdul Aziz dan S.P. Nathan (ACE), manakala IKRAM turut diwakili Timbalan Presiden, Jusni Yusoff (GBM), Naib Presiden, Dr Sabariah Baharun dan Naib Ketua Wanita IKRAM, Pn Dzilal Abdul Aziz.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia