‘Potluck’ dan Perpaduan: 12 Perkara Kuatkan Bangsa

“Anda dipersilakan hadir ke majlis ramah mesra Syawal dan kaedah jamuan adalah secara potluck.”

Mengikut kaedah potluck yang difahami dan diamalkan di Malaysia, periuk bertuah biasanya berbentuk juadah terbaik daripada pembawa untuk disaji dan dihidangkan di majlis dianjurkan.

Maka, secara langsung atau tidak, majlis tersebut akan dimeriahkan dengan sajian berupa kejutan. Kaedah inilah yang membawa kemeriahan berganda kepada sekalian yang hadir.

Terdapat banyak format ‘potluck’ atau periuk bertuah ini. Ada yang membawa secara rawak apa yang dirasakan terbaik. Ada yang menetapkan mengikut huruf pangkal nama. Jika berlaku sedemikian, saya pastinya akan membawa rempeyek dan juga kek Red Velvet!

Ada juga yang menetapkan kategori makanan potluck mengikut kelompok seperti hidangan utama, manisan, minuman, makanan ringan dan juga lauk-pauk seperti rendang, serunding dan juga grill bbq.

Nah, meriah bukan, raya dalam masyarakat majmuk Malaysia yang sedia harmonis dan berwarna-warni?

Perspektif sosiologi

Tahukah pembaca akan asal-usul konsep ini dari perspektif sosiologi? Konsep potluck sangat mirip dengan konsep “potlatch” dalam kajian sosiologi yang dicirikan oleh upacara harta benda diberikan atau dimusnahkan untuk mempamerkan kekayaan, kemurahan hati dan meningkatkan prestij.

Istilah “potlatch” telah diambil daripada perkataan Nootka India yang bermaksud hadiah. Nootka adalah salah satu daripada kumpulan orang Asli di Pantai Barat Laut Pasifik Kanada.

Apakah tujuan potlatch?

Terdapat dua tujuan utama potlatch. Tujuan pertama adalah untuk menanam rasa kagum kepada ketua kumpulan dalam minda para hadirin. Yang kedua adalah untuk menghalalkan hubungan sedia ada, mencipta hubungan baharu dan meraikan kejadian penting yang lain.

Apa yang berlaku pada potlatch?

Terdapat empat aspek utama potlatch. Yang pertama ialah menjemput tetamu daripada kumpulan persaudaraan. Yang kedua, memberi hadiah kepada para hadirin, yang ketiga, memberi ucapan dan yang keempat, kenduri.

Mengapakah potlatch diharamkan?

Ia diharamkan kerana dilihat sebagai peristiwa yang berpotensi mengundang bahaya yang boleh membawa kepada pemberontakan.

Nah, dalam setiap perkara, pasti ada baik buruknya. Misalnya api dan pisau, jika digunakan untuk kebaikan, maka kebaikanlah yang akan terjadi; jika digunakan untuk kejahatan, maka kejahatanlah yang kita dapat.

Saya membayangkan pengamalan potluck ini sebagai wahana perpaduan masyarakat muhibah Malaysia. Analogi situasi ini akan menampakkan setiap individu sebagai nukleus masyarakat membawakan yang terbaik dalam diri masing-masing ketika hadir di khalayak atau dalam situasi masyarakat.

Alangkah moleknya situasi begini jika berlaku secara hakiki! Justeru, ke arah matlamat ini, kita perdalami peri pentingnya mencapai perpaduan dan solidariti dalam masyarakat.

Penulisan saya yang terdahulu mengangkat konsep “bunyaanun marsus” atau “concrete cemented structure” bagi menggambarkan solidariti sesebuah masyarakat dan model perpaduan Ibnu Khaldun sebagai acuan mencapai hakikat situasi ini.

Kekuatan sesuatu bangsa

Menurut Ibnu Khaldun, terdapat 12 perkara yang perlu dielakkan atau dilakukan untuk menguatkan bangsa dan tamadun:

1. Perpecahan yang melemahkan umat sama ada kerana ideologi siasah atau kerana kecenderungan budaya yang berbeza. Dalam hal ini, kelainan pendapat perlu disantuni dengan mengamalkan budaya beradab dalam berbeza pendapat.

2. Kerosakan pegangan dan nilai melalui unsur-unsur kefahaman yang salah dan menyeleweng dalam agama, pentafsiran yang tidak sahih serta pengaruh budaya hiburan yang berlebihan (entertainment culture). Perkara-perkara ini boleh menenggelamkan budaya ilmu dan intelektual dan akan melemahkan bangsa dan umat secara jangka panjang walaupun ada faedah-faedah komersial jangka pendek.

3. Kemerosotan budaya intelektual yang didominasi oleh budaya komersial.

4. Kerosakan nilai yang disebabkan oleh pendedahan kepada nilai-nilai negatif melalui media dan lain-lain yang menghakis nilai-nilai Islam dan nilai-nilai Asia dalam hubungan dengan mereka yang bukan Islam akibat kesan daripada globalisasi yang disalah terima. Kerosakan nilai peribadi contoh yang didominasi dalam anggapan popular oleh budaya pemujaan selebriti (celebrity cult) yang sepatutnya diambil alih oleh budaya mengikut contoh yang baik dan sempurna (uswatun hasanah) yang terdiri daripada para nabi dan rasul alaihimussolatu wassalam dan mereka yang utama dalam sejarah Islam dan juga sejarah dunia.

5. Pengaruh budaya politik yang mungkin berlaku melebihi kewajarannya dilihat dari segi perkembangan budaya dan kehidupan intelektual umat yang perlu ditangani dengan segera.

6. Pengaruh tidak seimbang yang berlaku kerana tidak tunduk kepada epistemologi agama yang seimbang.

7. Paksaan adalah seteru kepada pendidikan yang membawa kepada timbulnya sifat malas, berbohong dan berpura-pura.

8. Faktor kekuatan dalam berfikir dan menjayakan budaya ilmu. Umat Islam mendapat kedudukan yang mulia dan tinggi dalam dunia ini apabila mereka mempunyai kemampuan yang tinggi dalam berfikir dan juga dalam ilmu pengetahuan. Hal ini dapat disaksikan dengan keimanan dan ketakwaan mereka yang tinggi kepada Allah dalam kegiatan berfikir dan ilmu.

9. Ilmu perlu menjadi malakah atau kemahiran dalam diri seseorang sehingga kecekapan yang mendalam berkaitan sesuatu perkara itu menjadi tabiat kedua baginya.

10. Kesabaran dan ketekunan merupakan sifat yang menguatkan dan menjayakan umat dan tamadun. Hal ini dihuraikan oleh Ibnu Khaldun tentang bagaimana pada tahap-tahap awal dalam perkembangan sesuatu bangsa itu, sifat-sifat sabar dan tekun dalam perjuangan yang kuat menjadikan bangsa atau daulah itu kuat.

11. Banyaknya kemewahan, kehidupan yang penuh dengan hiburan dan perhiasan, kehidupan cara homoseks di kota-kota serta politik wang disebabkan mereka yang memimpin tidak lagi mampu mendapatkan kesetiaan dengan sifat-sifat utama yang dibuktikan atau mengajak orang lain kepada perjuangan akan menyebabkan moral masyarakat merosot.

12. Pentingnya adat-adat kebiasaan yang baik dan kuat diterapkan dalam masyarakat dan kehidupan untuk menjadi bahan penguat masyarakat dan tamadun supaya tidak runtuh (el-Muhammady 2009).

Apakah tahap tertinggi asabiah?

Asabiah daripada persepsi umum difahami sebagai terlalu berpuak-puak yang mendorong kepada situasi prejudisme, kronisme, favoritisme dan diskriminasi. Ia boleh menjadi barah dalam masyarakat jika tidak disekat!

Situasi ini berasas sebenarnya kerana asabiah adalah amalan jahiliah yang dituntut oleh Islam agar dihapuskan. “Ketika orang-orang kafir menanamkan dalam hati mereka suatu kesombongan, iaitu kesombongan jahiliah…”

Justeru, maksud asabiah yang hakiki sebenarnya ialah ‘asabiyyah (Arab: عصبية ʻaṣabīya) merujuk kepada perpaduan sosial dengan penekanan kepada kesatuan, kesedaran kumpulan dan kejelekitan sosial (kepaduan atau keeratan sosial).

Maka, apakah tahap tertinggi atau titik akhir ‘asabiyyah?

Daripada Anas bin Malik r.a. bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ، حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

“Tidak beriman (sempurna iman) seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri.” [Riwayat al-Bukhari (13)]

Ini gurindam pasal yang kesebelas:

Hendaklah berjasa,
kepada yang sebangsa.

Hendaklah jadi kepala,
buang perangai yang cela.

Hendaklah memegang amanat,
buanglah khianat.

Hendak marah,
dahulukan hujjah.

Hendak dimalui,
jangan memalui.

Hendak ramai,
murahkan perangai.

(Gurindam Dua Belas Karya Raja Ali Haji)

Dr Rosfazila Abd Rahman
Pensyarah kanan / Penyelidik/ Ketua Pasca Siswazah
Jabatan Pengajian Ketamadunan dan Pembangunan Insan, Fakulti Sains Sosial (FSS)
Universiti Islam Selangor (UIS)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia