Potensi anak dalam kehidupan ibu bapa

Panduan ini juga termasuklah bagi mereka yang sedang khusyuk bermunajat kepada Allah SWT agar dikurniakan ‘anugerah terindah’ dalam rumah tangga. Ini penting agar kita dapat mengetahui yang baik atau sebaliknya itu supaya mampu mempersiapkan diri melakukan yang terbaik buat diri dan keluarga yang dibina.

 

Al-Quran telah menjelaskan bahawa anak mempunyai lima potensi baik dan buruk dalam kehidupan ibu bapanya; perhiasan, ujian hidup, kelemahan, musuh dan kebaikan (penyejuk mata).

 

1. Anak sebagai perhiasan

Allah SWT berfirman:

 

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنْطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالْأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللَّهُ عِنْدَهُ حُسْنُ الْمَآَبِ

 

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak daripada jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga).” (Ali Imran: 14)

 

Pada ayat ini, anak disebut sebagai satu daripada kesenangan-kesenangan dunia. Setiap manusia pasti telah terhias hatinya dengan pelbagai keindahan dunia tersebut. Hanya saja, Allah SWT menawarkan tempat kembali yang lebih baik di sisi-Nya.

 

Anak sebagai hiasan, menghiasi hidup ibu bapanya menjadi warna yang indah. Anak-anak ibarat pelangi. Warna mereka yang berbeza-beza membuat suasana rumah menjadi begitu indah di pandangan mata.

 

Kehadiran mereka selalu dinantikan. Terlihat jelas di pelupuk mata ibu bapanya, apabila ‘anugerah terindah’ itu berjauhan daripadanya sehingga kerinduan pada anak-anak begitu membuak.

 

Untuk itulah, para ibu bapa bersedia melakukan apa saja dan membayar berapa pun untuk mendapatkan keturunan kerana keindahan hidup berkurangan ketika keturunan yang dinanti belum juga hadir.

 

Sungguh anak-anak adalah anugerah terindah kurniaan daripada Allah. Keindahannya tidak dapat diungkap dengan apa pun. Hadirnya mereka menyerikan rumah tangga.

 

2. Anak sebagai ujian hidup

 

Allah SWT berfirman:

وَاعْلَمُوا أَنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ

“Dan ketahuilah, bahawa harta dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.” (Al-Anfaal: 28)

 

إِنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ وَاللَّهُ عِنْدَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ

“Sesungguhnya harta dan anak-anakmu hanyalah ujian (bagimu), dan di sisi Allah-lah pahala yang besar.” (At-Taghabun: 15)

 

Anak juga menjadi ujian hidup bagi ibu bapanya sebagaimana firman Allah dalam dua ayat di atas. Maka, ibu bapa perlu berhati-hati dalam melalauinya. Keindahan itu tidak boleh melalaikan. Kenikmatan kita memandangnya tidak boleh melalaikan daripada tugasan menjadi hamba Allah yang baik.

 

Allah mengingatkan kembali kepada para ibu bapa:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ

“Wahai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu daripada mengingat Allah. Barang siapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang merugi.” (Al-Munafiqun: 9)

 

Seberapa kuat kita menikmati keindahan pelangi, boleh jadi kita akan berhenti menikmatinya sebagaimana pelangi itu akan segera menghilang. Jika tidak berhati-hati, pada waktu kenikmatan itu telah pergi, kita baru sedar betapa banyak kewajipan yang telah diabaikan.

 

3. Anak yang lemah

وَلْيَخْشَ الَّذِينَ لَوْ تَرَكُوا مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةً ضِعَافًا خَافُوا عَلَيْهِمْ فَلْيَتَّقُوا اللَّهَ وَلْيَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا

“Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khuatir terhadap (kesejahteraan) mereka. Oleh sebab itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar.” (An-Nisaa’: 9)

 

Ibu bapa perlu memerhatikan generasi setelahnya. Tidak boleh hadir generasi lemah sepeninggalan mereka. Perhatian yang sewajarnya dititikberatkan ibu bapa  untuk meninggalkan segala hal yang membuatkan mereka kuat adalah merupakan suatu kewajipan.

 

Melalui ayat ini, mengingatkan agar ibu bapa berhati-hati jika meninggalkan dunia ini sebelum mempersiapkan generasi keturunannya sehingga mereka menjadi bebanan kepada masyarakatnya.

 

Antara kelemahan yang perlu difokuskan ialah berkaitan dalam masalah keimanan, masalah pemahaman terhadap Islam serta kelemahan ibadah dan akhlak mereka.

 

Maka para ibu bapa sewajarnya mempersiapkan agama anak-anaknya kerana suatu masa nanti, Allah SWT akan bertanyakan amanah dan tanggungjawab itu.

 

Begitu juga dengan kelemahan dalam masalah ekonomi, kesejahteraan dan fasiliti. Boleh jadi  jika kelemahan ini menjadi alasan jauhnya anak-anak itu daripada Allah SWT, meninggalkan mereka dalam keadaan berkecukupan itu adalah lebih baik daripada meninggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta.

 

Dalam aspek kelemahan ilmu pengetahuan, kelemahan wawasan dalam hidup, kelemahan menjalani kehidupan, ibu bapa seharusnya mempersiapkan bekalan anak-anak mereka dengan ilmu agar anak-anaknya mampu mendepani hidup dengan sebaiknya.

 

Kelemahan fizikal, jiwa dan mental pula adalah kelemahan yang mengakibatkan mereka hanya menjadi pengecut dan takut mendepani kehidupan yang sebenar ini.

 

Ibu bapa juga hendaklah mempersiapkan fizikal mereka sesihat mungkin, menjaga dan membesarkan anak-anak agar mereka tetap bersemangat meneruskan perjuangan.

 

Jiwa dan mental yang kukuh mampu berhadapan dan bertahan dalam keadaan apa pun. Dan semua jenis kelemahan adalah merupakan peringatan yang seharusnya tidak muncul pada generasi yang kita lahirkan, insya-Allah.

 

4. Anak sebagai musuh

Allah SWT berfirman:

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّ مِنْ أَزْوَاجِكُمْ وَأَوْلَادِكُمْ عَدُوًّا لَكُمْ فَاحْذَرُوهُمْ وَإِنْ تَعْفُوا وَتَصْفَحُوا وَتَغْفِرُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (At -Taghabun: 14)

 

Sungguh menakutkan peringatan Allah melalui ayat ini. Allah memerintahkan agar ibu bapa berhati-hati terhadap anak kerana sebahagian mereka akan menjadi musuh.

 

Jika anak telah menjadi musuh ibu bapanya, maka hilanglah sebahagian besar kebahagiaan rumah tangga tersebut kerana ‘perhiasan’ itu kini hanya menjadi suatu bebanan, penyebab ketakutan, kesedihan dan semua kesengsaraan hidup ibu bapanya. 

 

5. Anak yang baik, penyejuk pandangan mata

 

Allah SWT berfirman:

هُنَالِكَ دَعَا زَكَرِيَّا رَبَّهُ قَالَ رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاءِ

“Di sanalah Zakaria berdoa kepada Tuhannya sambil berkata: “Ya Tuhanku, berilah aku daripada sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar doa.” (Ali Imran: 38)

 

Allah SWT juga berfirman:

وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

“Dan orang orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyejuk hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.” (Al-Furqaan: 74)

 

Inilah anak yang diharapkan oleh setiap ibu bapa. Doa adalah harapan dan munajat kepada Yang Maha Menciptakan semuanya. Anak yang baik, anak yang menyejukkan pandangan mata, anak yang menyenangkan hati ibu bapa, itulah yang kita inginkan.

 

Jelaslah segala ini adalah hasil didikan dalam keluarga. Ibu bapa sungguh berperanan besar sedari awal usia sebelum mendirikan rumah tangga; meminta kepada Yang Maha Esa dengan doa yang baik-baik, hingga dikurniakan pasangan, keturunan dan seterusnya bersama-sama mencorakkan bagaimana sewajarnya rumah tangga yang dibina dapat direalisasikan sebagaimana Allah dan Rasul-Nya inginkan.

 

Memang tidak mudah, namun ia juga tidak sukar kerana segalanya itu telah Allah SWT hidangkan buat hamba-Nya melalui ayat-ayat-Nya dalam al-Quran untuk diikuti dan dijadikan pedoman.

 

Dan sebagai ibu bapa, kita perlu menjaga dengan sesungguhnya amanah itu dan menjadikan mereka anak-anak yang bermanfaat dan memberi manfaat kepada manusia lainnya.

 

Moga kita mampu menjadi ibu bapa terbaik yang mencorakkan anak-anak menjadi manusia yang lebih baik di sisi Allah SWT, insya-Allah.

 

Rujukan: Parenting Nabawiyah

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia