Politik: Persepsi, Patriarki Halang Wanita Memimpin?

Politik: Persepsi, Patriarki Halang Wanita Memimpin? | IKRAM

Allah SWT menciptakan wanita sebagai manusia yang unik, penyayang dan penuh sifat keibuan untuk menjalankan peranan juga tanggungjawabnya yang besar dan penting dalam kehidupan seharian, termasuk kehidupannya sendiri, keluarga dan masyarakat, sebagaimana sesuai dengan fitrah serta adat mereka.

Selain itu, wanita pada masa kini turut mengambil bahagian dalam mencari nafkah untuk keluarga tanpa mengabaikan tugas asas sebagai ibu dan isteri. Namun, bukan menjadi sesuatu fenomena baharu, wanita terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam politik.

Penyertaan wanita dalam dunia politik bukan sahaja dalam kumpulan pengikut tetapi mereka juga mengambil bahagian dalam pengurusan tertinggi negara sebagai pembuat dasar, polisi dan keputusan sebagaimana hasrat kerajaan memperkasakan wanita.

Realitinya, tahap penglibatan wanita dalam politik adalah satu kayu ukur kepada peningkatan taraf hidup dan pencapaian kemajuan bagi sesebuah negara. 

Di Malaysia, sasaran mempunyai 30 peratus Ahli Dewan Rakyat daripada kalangan wanita masih belum tercapai.

Ini merupakan indikator utama bahawa tahap keterlibatan wanita dalam kepimpinan tertinggi negara masih berada pada tahap yang tidak dapat dibanggakan iaitu masih rendah.

Patriarki Jadi Penghalang

Satu kajian yang dijalankan mendapati bahawa terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada keadaan ini.

Antaranya ialah budaya patriarki yang masih menguasai masyarakat Malaysia, faktor gender iaitu wanita terpaksa berhadapan dengan pandangan masyarakat yang kurang memberikan kepercayaan terhadap kebolehannya dalam kepimpinan.

Kebolehan mereka sebagai pemimpin juga dipertikaikan masyarakat disebabkan faktor agama yang ada kaitannya dengan kepimpinan dan gender.

Dengan erti kata lain, jika wanita yang mahu bergiat aktif dalam politik dan menjadi pemimpin, seringnya diperingatkan tentang larangan agama yang membataskan pergerakan wanita daripada terlibat aktif apalagi menjadi pemimpin dalam pelbagai bidang.

Selain itu, faktor ekonomi juga pendidikan jadi halangan kepada penglibatan wanita dalam kepimpinan negara iaitu pemimpin negara mestilah mempunyai kedudukan ekonomi yang kukuh.

Menyentuh tentang faktor pendidikan, ia merujuk kepada pendedahan dan kemahiran kepimpinan yang masih kurang termasuk juga kepada kaum lelaki. 

Masyarakat hari ini masih berdepan dengan pelbagai persoalan serta cabaran monumental yang memerlukan perubahan struktur dan anjakan paradigma terhadap keterlibatan wanita sebagai pemimpin tertinggi negara.

Tentunya bagi memastikan keberadaannya terus segar dan diyakini oleh semua, pelbagai kajian telah dilakukan demi memahami realiti, mengenal pasti faktor serta menganalisis solusi terhadap fenomena ini.

Peranan Agamawan, Ilmuwan

Faktor agama dan sentimen budaya masyarakat Malaysia merupakan antara penyebab penting yang mempengaruhi tahap keterlibatan wanita dalam kepimpinan tertinggi negara.

Selain itu, golongan yang mempunyai pengetahuan yang kukuh dalam pengajian Islam diharapkan dapat memainkan peranan yang penting dalam membantu meningkatkan keterlibatan wanita dalam kepimpinan tertinggi negara.

Secara prinsipnya, setiap manusia yang diciptakan, lelaki dan wanita diberikan peranan serta tanggungjawab yang sama dalam urusan memakmurkan bumi berdasarkan panduan syarak. Allah SWT telah menegaskan dalam Surah al-Baqarah ayat 30:

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” Mereka berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”

Secara jelasnya, ayat tersebut memberi penerangan bahawa semua manusia adalah sama, iaitu berperanan sebagai pemimpin dan mendapat manfaat di muka bumi. Rasulullah SAW turut menjelaskan dalam sebuah hadis yang bermaksud: 

“Ketahuilah bahawa setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya.” (HR Bukhari, No. 7138)

Oleh yang demikian, pemimpin bertanggungjawab terhadap rakyatnya, dan lelaki itu adalah pemimpin terhadap keluarganya, dan dia bertanggungjawab terhadap mereka semua, manakala wanita juga adalah pemimpin atas rumah suami dan anak-anaknya, dan dia adalah bertanggungjawab untuk semua.

Persepsi Terhadap Wanita

Persepsi sebahagian pihak mengatakan bahawa wanita tidak boleh memimpin dan tidak boleh diletakkan sebagai pemimpin kerana kekurangan dari sudut emosi yang ada pada gender ini.

Tidak terkecuali, terdapat juga pandangan segelintir pihak yang mengatakan Islam melarang wanita menjadi pemimpin.

Ini bermakna, agama dijadikan alasan dan persepsi skeptikal tentang kemampuan wanita yang dianggap terbatas, seterusnya hal ini mendorong kepada dakwaan sesetengah pihak untuk tidak membenarkan wanita menjadi pemimpin.

Menurut sumber Jabatan Perangkaan Malaysia, (April 2021), realitinya wanita dan kepimpinan merupakan satu isu hangat yang sentiasa menjadi buah mulut perdebatan semasa.

Ia tidak dapat dinafikan lagi, memandangkan kadar tenaga buruh wanita meningkat lebih 180,000 orang menjadikan jumlah pada tahun 2022 sebanyak 6.18 juta orang berbanding tahun 2021.

Dalam konteks di Malaysia, wanita merupakan hampir separuh daripada populasi negara iaitu 15.9 juta daripada 32.7 juta penduduk pada 2020.

Walau bagaimanapun, kedudukan wanita dalam kepimpinan negara dalam jawatan tertinggi kepimpinan negara didapati masih rendah dan belum mencapai 30 peratus penyertaan di peringkat kepimpinan serta pembuat dasar sebagaimana yang disasarkan dalam Dasar Wanita Negara 2009 (DWN 2009).

Merujuk contoh di parlimen.gov.my, Ahli Dewan Negara adalah seramai sembilan orang (12.8 peratus) daripada jumlah 65 ahli.

Oleh yang demikian, dapat ditelusuri faktor yang menyebabkan sasaran ini masih belum dicapai ialah ‘gender diversity’ tidak dilihat sebagai satu pendekatan ‘keuntungan’ yang strategik.

Apatah lagi, faktor struktur, amalan dan pemikiran masyarakat masih cenderung ke arah pemikiran patriarki.

Selain itu, terdapat juga kajian yang menunjukkan wujudkan’glass ceiling’ bagi wanita memimpin dalam ranking tertentu walaupun bersedia, berkelayakan dan dikenal pasti berkemampuan.

Sejarah Telah Membuktikan

Menurut para ilmuwan Islam dan sejarawan, wanita pernah menjadi pemimpin tertinggi negara, namun tahap keterlibatannya dalam sejarah Islam masih rendah dan perkara ini masih berterusan di kebanyakan negara di dunia.

Prestasi kepimpinan seseorang pemimpin seharusnya dilihat kepada kebolehan serta kecekapan individu tersebut mengendalikan pentadbiran negara, yang boleh mendatangkan manfaat kepada rakyatnya.

Sejarah telah membuktikan bahawa wanita mampu menjadi pemimpin tertinggi negara sebagaimana beberapa negara dunia pernah memilikinya.

Menerusi sejarah juga, telah terbukti wanita mampu untuk menjadi pemimpin, memimpin dari pelbagai segi dan aspek sepertimana yang golongan lelaki lakukan, malah mampu menjadi pemimpin yang lebih baik daripada golongan lelaki.

Beri Wanita Peluang dan Ruang

Seiring dengan fokus global, iaitu gender tidak lagi boleh dianggap sebagai masalah dalam memimpin mahupun mentadbir tetapi lelaki dan wanita mempunyai peluang yang sama untuk menjadi pemimpin.

Di Malaysia, Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Dasar Wanita 2009 telah menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita bagi setiap parti politik. Ia juga bermatlamatkan usaha untuk memperkasakan modal insan dan kesejahteraan masyarakat secara saksama yang menjadi salah satu daripada enam tonggak di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Tahukah kita, keterlibatan wanita dalam kepimpinan negara diukur melalui bilangan wanita yang dicalonkan dalam pilihan raya?

Merujuk kepada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) telah menyaksikan pencalonan wanita seramai 239 orang (10.24 peratus), iaitu seramai 72 orang (10.48 peratus) di kerusi Parlimen, manakala 167 orang (10.15 peratus) di peringkat DUN.

Pada 2018, sejarah Malaysia telah membuktikan bahawa wanita mampu menjadi pemimpin tertinggi negara dengan mengangkat Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia di bawah kerajaan Pakatan Harapan setelah memenangi PRU-14.

Walau bagaimanapun, kaum wanita masih jauh ketinggalan berbanding kaum lelaki terutamanya dalam kepimpinan politik Malaysia.

Kedudukan wanita dari segi pembuat dasar, bilangan calon dalam pilihan raya, kedudukan wanita dalam kepimpinan tertinggi parti dan jawatan-jawatan sebagai ahli kabinet menteri kerajaan Malaysia berakhir dengan satu kesimpulan yang sama iaitu masih wujud ketidaksamarataan antara kaum wanita dengan kaum lelaki.

Berikutan itu, satu kajian yang pernah dilakukan mendapati perbincangan tentang keterlibatan wanita dalam kepimpinan negara terfokus kepada persoalan hukum dan sejarah.

Wanita mempunyai peranan penting dalam ruang masyarakat. Mereka tidak lagi terkurung dalam ruangannya tersendiri. Malah, ramai di antara mereka telah menjadi pemimpin dalam masyarakat, organisasi tertentu, malah menjadi pemimpin negara. 

Perspektif Syarak

Lelaki dan wanita memiliki potensi dan peluang yang sama untuk menjadi hamba yang ideal (orang yang bertakwa), sebagaimana Allah lakarkan dalam Surah al-Hujurat ayat 13:

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang wanita dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Selain sebagai hamba, manusia adalah khalifah di muka bumi. Dalam hal ini, lelaki dan wanita mempunyai peranan yang sama sebagai khalifah, yang akan bertanggungjawab terhadap tugas khalifah di muka bumi, sebagaimana lelaki dan wanita harus bertanggungjawab sebagai hamba Allah.

Demikian pula lelaki dan wanita sama-sama menjalankan amanat dan menerima perjanjian yang utama dengan Allah sebagaimana yang termaktub dalam Surah Al-A’raf ayat 172:

“Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (sambil berfirman): “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi”. (Kami lakukan yang demikian itu) agar pada hari kiamat kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan).”

Manusia yang dilahirkan di muka bumi ini  berjanji untuk taat dan patuh dengan perintah Allah. Ini bermakna, dari aspek menerima perjanjian asal, tidak terdapat perbezaan antara lelaki dan wanita.

Justeru, Rasulullah SAW telah menegaskan, “Sebenarnya wanita adalah sebahagian daripada lelaki.” (HR Abu Dawud, No. 236, Hasan oleh al-Albani)

Oleh yang demikian, pemahaman ayat dan hadis berkaitan kepimpinan lelaki terhadap wanita perlu diperjelaskan agar masyarakat memahami kebenaran yang sebenarnya.

Atriza Umar
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia