Ketua ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT), Siti Masitah Ab Jalar atau dikenali sebagai Sittah Annur akhirnya insaf dan melakukan istitabah atau perisytiharan taubat secara terbuka.
Ajaran beliau yang tercetus dengan bermimpi serta mengaku sebagai ‘pilihan Tuhan’ telah mendakwa dirinya boleh berhubung terus dengan Allah SWT, malaikat dan Nabi Muhammad SAW yang membawa kepada tertubuhnya ajaran yang dikenali sebagai Perjalanan Mimpi Yang Terakhir.
Beliau juga turut mendakwa bermimpi diperlihatkan dengan bermacam-macam kejadian di syurga dan neraka serta kejadian akhir zaman yang bakal berlaku, dan mendakwa kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga yang bermula di Sabah serta memimpin pasukannya bagi mencari Imam Mahdi untuk melawan musuh.
Naratif akhir zaman
Salah satu faktor yang digunakan oleh ajaran Sittah Annur dan ajaran sesat lain untuk menarik minat pengikut mereka adalah dengan menggunakan imej peristiwa-peristiwa akhir zaman.
Gambaran huru-hara dan momokan ketakutan akhir zaman dijadikan modal bagi meraih sokongan pengikut terhadap ajaran mereka. Ini berlaku sama ada mereka mendakwa sebagai wakil Tuhan, keturunan Imam Mahdi, wakil Imam Mahdi, keturunan bani Tamim dan sebagainya.
Mereka cenderung untuk berbicara hal-hal ghaib akhir zaman yang kononnya mendapat alamat atau petanda-petanda berlaku kiamat langsung daripada Allah SWT dan Nabi SAW serta menyeru kepada pengikut mereka untuk bergantung harap dan berkorban harta, jiwa dan raga kepada ketua.
Mimpi bukan dalil syarak
Islam tidak pernah menolak adanya mimpi iaitu suatu peristiwa yang dialami ketika tidur. Mimpi juga dapat dibahagikan kepada mimpi baik dan mimpi buruk. Selain itu, mimpi juga dikatakan sebagai sebahagian empat puluh enam bahagian daripada kenabian.
Dari Abu Hurairah RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda:
“Apabila telah datang waktunya (kiamat), hampir tidak ada mimpi seorang mukmin yang dusta. Dan mimpi seorang mukmin itu satu daripada empat puluh enam bahagian daripada kenabian.” (Muttafaqun ‘alaih – HR Bukhari, No. 7017 dan Muslim, No. 2263)
Namun begitu, sering kali mimpi dijadikan sebagai hujah dalam menaikkan tokoh-tokoh ajaran sesat dan ajaran yang dibawanya. Hadis di atas sering dijadikan dalil ampuh untuk mendakwa bahawa mimpi mereka benar dan ajaran yang dibawa mendapat perkenan tokoh-tokoh tertentu dalam mimpi.
Ini ditambah pula dengan dakwaan bahwa Nabi SAW datang dalam mimpi mereka bagi membuktikan kesahihan ajaran yang mereka bawa.
Tidak cukup dengan itu, mereka turut mendakwa bahawa mereka dapat bertemu dan berhubung dengan Nabi SAW secara jaga (yaqazah) dan memberikan bermacam-macam amalan dan amanat yang akan disampaikan kepada pengikut mereka.
Ini bukan sahaja terjadi kepada ajaran-ajaran sesat terdahulu seperti Al-Arqam yang pernah dipimpin oleh Ashaari Muhammad tetapi ini juga terpalit pada ajaran sesat terkini seperti yang yang dibawa oleh Sittah Annur iaitu Perjalanan Mimpi Yang Terakhir.
Imam Syatibi (wafat 790H) dalam kitabnya Al-I’tisam menyebut bahawa:
“Selemah-lemah hujah mereka (ahli bid’ah) ialah puak yang dalam mengambil amalan agama bersandarkan mimpi-mimpi. Mereka ini berpegang atau meninggalkan sesuatu amalan berdasarkan mimpi-mimpi tersebut.”
Banteras hadis palsu, cerita khurafat, tahyul
Disiplin ketat dalam menyaring hadis-hadis palsu dan cerita tahyul serta khurafat sangat penting dalam membendung penularan ajaran sesat. Ini ditambah pula dengan waqi’ (realiti) Tanah Melayu yang masih kuat berpegang dengan adat tradisi yang berkait rapat dengan kepercayaan terhadap perkara-perkara ghaib.
Memang menjadi satu cabaran yang besar buat para asatizah kita dalam mengeluarkan cara fikir dan kepercayaan nenek moyang orang Melayu kepada beragama yang tulen yang berpandukan hadis dan al-Quran.
Kelemahan dan sikap playsafe para penguasa agama dalam membasmi kepercayaan purba dan adat istiadat yang bertentangan dengan Islam masih lagi dapat dilihat apabila masyarakat Melayu Islam menjadikan bomoh atau pawang sebagai rujukan dalam masalah kehidupan mereka. Ini termasuklah dalam soal jodoh, zuriat, rumah tangga, perniagaan malah dalam hal-hal kesihatan.
Adat tradisi yang bertentangan ini juga semakin sukar dibendung apabila ada para asatizah yang cenderung mempertahankan adat tradisi ini dengan hujah-hujah palsu dan tidak berkaitan serta beralasan ini amalan nenek moyang yang perlu dipertahankan .
Dari sinilah Islam sangat ketat dalam menolak hadis-hadis palsu dan cerita tahyul dan khurafat yang bertentangan dengan al-Quran, sunnah dan logik akal manusia.
Kelompongan dalam membiarkan perkara ini berlakulah yang menyebabkan ajaran sesat mengelabui mata para pengikutnya lantaran ajaran sesat ini bercampur aduk antara yang benar dengan yang salah.
Beragama dengan akidah yang sihat
Islam datang dengan membawa hujah dan dalil. Ibadah adalah milik Allah SWT dan bukannya rekaan manusia yang diperolehi daripada mimpi. Maka, Allah SWT telah menjadikan setiap apa yang disyariatkan dalam agama dengan dalil dan hujah.
Siapa sahaja yang bermimpi kononnya berjumpa Nabi SAW dalam mimpinya dan mendapat ajaran baharu, ketahuilah bahawa beliau adalah pendusta besar dan tidak boleh dipercayai percakapannya.
Setiap amalan agama yang kita lakukan perlulah hujah dan dalil yang sahih serta mengikut petunjuk Nabi SAW. Tidak cukup amalan tersebut hanya semata-mata baik tetapi jikalau tiada petunjuk daripada ajaran Nabi SAW, maka ia tertolak.
Allah SWT telah mengingatkan kita dalam Surah al-Hasyr ayat 7 yang berbunyi:
“Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (SAW) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya, dan bertakwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang yang melanggar perintah-Nya).”
Hanya pada Allah SWT kita memohon agar sentiasa dikekalkan hidayah, ditunjukkan jalan yang benar dan diberikan kelapangan hati dalam mengikuti sunnah Nabi SAW hingga akhir hayat, insya-Allah.
Khyrul Hycal Hadi
Aktivis IKRAM MUDA Sabah
Institut Penyelidikan Produk Halal, UPM