KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijangka mengadakan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada Khamis.
Perbincangan tersebut dipercayai berkaitan pembentukan Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri ke-10 (PM10).
Mesyuarat khas berkenaan bagi Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu mengenai pembentukan Kerajaan Persekutuan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pihak istana, mesyuarat akan bermula pada pukul 10.30 pagi dan dijangka berlangsung sekurang-kurangnya tiga jam.
Sumber Istana dipetik sebagai berkata, mesyuarat khas itu disifatkan sebagai sangat penting.
Proses tersebut selaras dengan Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan dan bertujuan Yang Di-Pertuan Agong bagi melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.
Dalam pada itu, baginda turut menyeru agar seluruh rakyat terus bertenang sehingga proses untuk membentuk kerajaan baharu selesai.
“Sesungguhnya, masa depan negara tumpahnya darah kita adalah terlalu berharga dan wajar kita rencanakan dengan penuh cermat dan teliti,” titah baginda.
Terdahulu, Istana Negara menitahkan 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menghadap Yang di-Pertuan Agong bermula pukul 10.30 pagi ini, namun hanya tiga wakil BN dan wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang hadir menghadap Seri Paduka Baginda.
Keputusan itu dibuat selepas tiada Ahli Dewan Rakyat memperoleh kepercayaan majoriti mudah 112 sokongan Ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.