Pilihan Raya Turkiye 2023 Cabaran Terbesar Erdogan

Pilihan Raya Turkiye 2023 Cabaran Terbesar Erdogan | IKRAM

Rakyat Turkiye akan mengundi Ahad ini, 14 Mei dalam pilihan raya presiden dan parlimen negara itu, melibatkan 64 juta pengundi yang layak.

Para pemerhati menjangkakan bahawa pilihan raya kali ini akan memberikan ujian paling sukar dalam tempoh 20 tahun kepada Presiden Recep Tayyip Erdogan sebagai pemimpin negara itu.

Ekonomi Turkiye yang sedang bergelut ketika ini telah memberi tamparan kepada Erdogan, manakala pesaingnya, memanfaatkan situasi itu dan berjanji untuk memperbaiki keadaan tersebut.

Namun begitu, Erdogan dan Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) masih mempunyai sokongan padu dalam kalangan sebilangan besar nasionalis dan konservatif agama, khususnya di kawasan Anatolia, yang menganggap kemenangan pembangkang sebagai kembali ke era yang mana mereka berasa tertindas.

Pilihan Raya Turkiye 2023

Pilihan raya presiden dan parlimen Turkiye diadakan pada hari yang sama setiap lima tahun. Tahun ini, pilihan raya mulanya dijadualkan pada 18 Jun tetapi dibawa ke 14 Mei.

Pada Julai 2018, Turkiye beralih daripada sistem parlimen kepada sistem presiden. Dalam sistem baharu itu, pengundi memilih presiden secara terus dan peranan perdana menteri telah dimansuhkan.

Seorang calon memerlukan lebih separuh daripada undi presiden untuk menang. Bagaimanapun, jika tiada siapa yang mencapai 50 peratus undi, dua calon teratas akan bertanding dalam undian penentu dua minggu kemudian.

Pengundi juga akan memilih seramai 600 ahli Perhimpunan Agung Kebangsaan (Parlimen) melalui sistem perwakilan berkadar, dengan memilih senarai parti di daerah mereka.

Prestasi Erdogan

Recep Tayyip Erdogan, 69, adalah penyandang Presiden yang bertanding untuk Perikatan Rakyat (People’s Alliance), gabungan partinya, AKP dan beberapa parti sayap kanan.

Semasa pemerintahannya selama 20 tahun, Erdogan menjadi perdana menteri selama 11 tahun sebelum menjadi presiden pada 2014.

Beliau memimpin transformasi ekonomi dan institusi di Turkiye pada tahun 2000an dan awal 2010an. Ini telah meninggalkan Erdogan dengan banyak respons positif daripada penyokongnya yang mengatakan kehidupan mereka bertambah baik. Beliau juga dilihat sebagai mengukuhkan Turkiye di pentas antarabangsa dan mengembangkan pengaruh negara.

Namun, ekonomi negara yang bergelut sejak 18 bulan lalu telah menghakis popularitinya.

Beliau telah dituduh mengekang kumpulan pembangkang, walaupun penyokong kerajaan berkata langkah itu perlu berikutan percubaan rampasan kuasa 2016 dan ancaman daripada kumpulan ‘pengganas’.

Antara janji utama beliau jika menang ialah penerusan sistem presiden, kadar faedah yang lebih rendah, dan Turkiye yang merdeka dan kuat dengan pengaruh di seluruh wilayah yang lebih luas.

Kilicdaroglu dan Pencabar Lain

Kemal Kilicdaroglu, 74, adalah pencabar utama Erdogan dan calon gabungan enam parti pembangkang, Pakatan Negara (Nation Alliance).

Beliau memperkenalkan dirinya sebagai ‘demokrat’ dan terkenal dengan retorik antirasuah, tetapi dituduh oleh pengkritik sebagai terlalu dekat dengan Barat.

Kilicdaroglu telah mengetuai Parti Rakyat Republikan (CHP), sebuah parti sosial demokratik selama lebih sedekad kekalahan dalam pilihan raya.

Pengkritik berkata, kekalahan pilihan raya itu menunjukkan bahawa beliau tidak cukup kuat untuk mengalahkan Erdogan dan memimpin Turkiye.

Malah, seorang ahli terkemuka perikatannya sendiri, ketua parti nasionalis Iyi, Meral Aksener, pada mulanya menolak pencalonan Kilicdaroglu pada Mac, sebelum menarik balik pendiriannya.

Sebelum terlibat politik, beliau adalah seorang pakar di kementerian kewangan dan kemudian mempengerusikan Institusi Insurans Sosial Turkiye pada tahun 1990an.

Beliau berjanji untuk mengembalikan ‘sistem parlimen yang kuat’, menyelesaikan isu Kurdish, menghantar pelarian Syria pulang ke tanah air, dan bergerak lebih dekat dengan Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat.

Pencabar lain dalam pilihan raya presiden ialah Muharrem Ince, 59, calon Parti Tanah Air, satu-satunya pencabar tanpa pakatan dan beliau berjanji untuk menghantar pelarian kembali ke negara asal mereka dan ‘memulihkan’ sekularisme di Turkiye.

Manakala Sinan Ogan, 55, calon nasionalis Perikatan Leluhur (ATA) daripada tiga parti, turut berjanji untuk menghantar pelarian kembali ke negara asal mereka dan menyokong perpaduan negara bangsa Turki.

Isu Utama Plihan Raya

Dari sudut ekonomi, pemotongan kadar faedah mencetuskan krisis mata wang pada akhir 2021, menyebabkan inflasi memuncak sejak 24 tahun sebanyak 85.51 peratus tahun lepas.

Namun, penyokong Erdogan berkata, beliau telah merevolusikan ekonomi Turkiye, membina infrastruktur dan membangunkan kawasan yang secara tradisinya diabaikan oleh kerajaan sebelumnya.

Dalam pada itu, tragedi dua gempa bumi besar yang melanda tenggara Turkiye pada 6 Februari menyebabkan lebih 50,000 orang terkorban dan kemusnahan yang meluas – pembinaan semula dijangka menelan belanja berbilion dolar.

Dianggarkan 14 juta orang – 16 peratus daripada penduduk – terjejas oleh gempa bumi, dan ia mungkin boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya.

Isu rakyat Turkiye yang berhijrah turut dibangkitkan yang mana semakin ramai orang yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi meninggalkan negara ini untuk kepentingan politik dan ekonomi.

Menurut institusi perangkaan negara itu, seramai 286,000 orang berumur antara 20 dan 29 meninggalkan Turkiye antara 2019 dan 2021.

Selain itu, Erdogan sebagai perdana menteri, telah menarik balik larangan wanita yang memakai hijab bekerja di sektor awam pada 2013, satu langkah yang dipuji ramai sebagai pengesahan tempat mereka dalam masyarakat dan ketaatan agama mereka.

CHP sebelum ini telah menyokong larangan hijab dan Erdogan berkata, larangan itu mungkin dikembalikan – bersama-sama dengan semua pemadaman identiti yang diwakili – jika beliau kalah, sebagai sebahagian daripada langkah yang akan mengancam nilai penyokong tegar AKP.

Dari sudut lain, pengkritik Erdogan menuduhnya mengundurkan demokrasi di Turkiye, terutamanya berikutan percubaan rampasan kuasa 2016 yang gagal, yang menyaksikan beribu-ribu orang ditangkap.

Pengkritik juga mengatakan bahawa kebebasan akhbar telah merosot, dengan 90 peratus daripada semua saluran media Turkiye di bawah kawalan kerajaan Erdogan dan ahli perniagaan yang rapat dengannya.

Dalam pada itu, sentimen antipelarian semakin meningkat, dengan peningkatan laporan keganasan, penderaan dan jenayah antara masyarakat Syria dan Turkiye.

Menurut kerajaan, kira-kira 3.7 juta daripada jumlah 5.5 juta warga asing di Turkiye adalah pelarian Syria. Kerajaan telah dipuji di peringkat antarabangsa kerana dasar pelariannya, tetapi calon-calon pembangkang memainkan sentimen permusuhan yang semakin meningkat terhadap pelarian.

Beberapa tinjauan menunjukkan persaingan sengit antara Erdogan dan Kilicdaroglu. Ini merupakan cabaran terbesar Erdogan dalam pilihan raya presiden. Mampukah beliau mempertahankan kemenangannya? Jawapannya pada 14 Mei ini.

Sumber: Al Jazeera

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia