SERI KEMBANGAN – Sebanyak 169,710 atau 4.8 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di negara ini telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.
PICKids dilancarkan pada 3 Februari lalu dengan kerajaan menetapkan sela masa selama lapan minggu antara dos pertama dan kedua.
“Sejumlah 13,258,893 atau 56.4 peratus populasi dewasa dalam negara telah menerima dos penggalak Covid-19, setakat semalam,” menurut portal CovidNow.
Sebanyak 22,936,644 individu atau 97.5 peratus daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 98.7 peratus atau 23,212,859 telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sebanyak 2,795,507 individu atau 89.8 peratus daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,874,510 atau 92.3 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Vaksinasi harian menyaksikan 118,875 dos vaksin diberikan meliputi 35,441 dos pertama, 649 dos kedua dan 82,785 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah PICK sebanyak 65,042,686 dos.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan terdapat 155,673 kes aktif Covid-19 di seluruh negara dengan 143,076 individu atau 91.9 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah, sehingga Ahad.
Sebanyak 21,072 kes positif Covid-19 dicatatkan semalam dengan penurunan sebanyak 1,730 berbanding Sabtu iaitu 22,802 kes.
Dengan 11 kematian baharu dilaporkan pada Ahad, ia menjadikan keseluruhan kematian disebabkan Covid-19 iaitu 32,125 orang daripada 3.01 juta kes positif yang dikesan.
“Lima daripada 11 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID),” demikian menurut data KKM di portal GitHub,
Kes kematian yang dilaporkan turut melibatkan sejumlah kes tertunggak berikutan proses pengesahan pesakit Covid-19 meninggal dunia akibat pandemik itu mengambil masa.
“Seramai 6,118 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) manakala 6,292 kes dirawat di hospital dan 187 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).”
Kes ICU membabitkan 78 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 109 lagi memerlukan mesin ventilator.